Mesej utama
-
Liraglutide berbanding plasebo (ubat palsu) berkemungkinan meningkatkan bilangan mereka yang kehilangan sekurang-kurangnya 5% berat badan mereka, tetapi kesannya terhadap kesan-kesan sampingan, kualiti kehidupan, dan peristiwa kardiovaskular utama kelihatan kecil atau tidak pasti pada kedua-dua jangkamasa sederhana (6 hingga 24 bulan) dan jangkamasa panjang (lebih daripada 24 bulan).
-
Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad disebabkan oleh cara kajian dilakukan dan beberapa maklumat yang hilang. Pengilang liraglutide terlibat dalam 22 daripada 24 kajian yang dipilih, yang menimbulkan kebimbangan tentang kebolehpercayaan atas keputusan yang diperoleh.
-
Kajian-kajian pada masa hadapan harus melihat kepada hasil jangkamasa panjang dalam kalangan kumpulan yang lebih pelbagai dan bebas daripada penglibatan pengilang liraglutide.
Apakah itu obesiti?
Obesiti adalah keadaan jangkamasa panjang di mana seseorang mempunyai kuantiti lemak dalam badan secara berlebihan. Ia boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti diabetes jenis 2, penyakit jantung dan saluran darah (penyakit kardiovaskular), dan beberapa jenis kanser. Masalah obesiti semakin meningkat di seluruh dunia, meletakkan beban besar pada sistem penjagaan kesihatan. Pengurusan obesiti selalunya melibatkan perubahan gaya hidup seperti pemakanan yang lebih sihat dan lebih aktif secara fizikal. Walau bagaimanapun, kebanyakkan orang mendapati perubahan ini sukar untuk dikekalkan, dan doktor mungkin memberi ubat sebagai sokongan dalam penurunan berat badan.
Apakah itu liraglutide?
Liraglutide ialah sejenis ubat yang membantu seseorang berasa kenyang lebih cepat, jadi mengurangkan rasa ingin makan. Ubat ini pada asalnya digunakan untuk merawat diabetes jenis 2 tetapi telah diluluskan di banyak negara untuk membantu orang ramai menurunkan berat badan. Ia diberikan dalam bentuk suntikan secara harian. Sesetengah orang yang mengambil liraglutide mengalami kesan-kesan yang tidak diingini, seperti berasa tidak sihat atau sakit, cirit-birit dan sembelit. Liraglutide ialah GLP-1 receptor agonist’ (GLP-1RA). Ubat-ubat yang serupa seperti liraglutide termasuk semaglutide dan tirzepatide.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan liraglutide pada orang dewasa yang mengalami obesiti dalam jangka masa sederhana (6 hingga 24 bulan) dan jangka masa panjang (24 bulan atau lebih). Kami meneliti kesannya terhadap berat badan, kesan-kesan sampingan, masalah kesihatan berkaitan obesiti, kualiti kehidupan dan risiko kematian. Kami tidak mengkaji kesan dan akibat selepas mereka yang berhenti mengambil semaglutide.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian-kajian yang mengkaji liraglutide untuk orang dewasa yang mengalami obesiti. Kami mencari kajian-kajian yang mengkaji sebarang dos liraglutide dibandingkan dengan plasebo (ubat palsu), tiada rawatan, perubahan gaya hidup atau ubat penurunan berat badan yang lain. Kami telah memilih kajian-kajian di mana peserta mengambil liraglutide selama sekurang-kurangnya 6 bulan. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan, dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 24 kajian yang melibatkan 9937 lelaki dan wanita yang mengalami obesiti, berumur antara 31 sehingga 64 tahun. Sesetengah orang mempunyai penyakit yang berkaitan dengan berat badan seperti diabetes atau penyakit hati. Kebanyakan kajian membandingkan liraglutide dengan plasebo. Ini berlaku terutamanya di negara-negara berpendapatan sederhana.
Liraglutide dibandingkan dengan plasebo
-
Penurunan berat badan: Mereka yang mengambil liraglutide lebih berkemungkinan kehilangan sekurang-kurangnya 5% berat badan mereka berbanding mereka yang mengambil plasebo dalam jangka masa sederhana (18 kajian, 6651 orang) dan jangka masa panjang (2 kajian, 1262 orang). Walau bagaimanapun, kami tidak pasti tentang kesan liraglutide terhadap peratusan perubahan berat keseluruhan mereka yang terlibat dari awal kajian hingga jangka masa sederhana (16 kajian, 6050 orang) dan mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam peratusan perubahan berat dalam jangka masa panjang (2 kajian, 1262 orang).
-
Kesan-kesan sampingan: Dalam jangka masa sederhana, mereka yang mengambil liraglutide mungkin mengalami lebih banyak kesan-kesan sampingan dalam apa jua bentuk (16 kajian, 8147 orang) dan lebih banyak kesan-kesan sampingan yang serius (20 kajian, 8487 orang) berbanding mereka yang mengambil plasebo. Kami tidak pasti tentang kesan-kesan sampingan yang bersifat ringan hingga sederhana (17 kajian, 7440 orang) atau sama ada kesan-kesan tidak diingini menyebabkan responden berhenti mengambil rawatan (19 kajian, 8628 orang). Dalam jangka masa panjang (2 kajian, 2640 peserta), liraglutide boleh meningkatkan kesan-kesan sampingan dan responden lebih cenderung untuk menghentikan rawatan atas sebab tersebut. Kami tidak pasti tentang kesan sampingan secara keseluruhan dan kesan sampingan yang bersifat ringan hingga sederhana.
-
Kualiti kehidupan : Liraglutide mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kualiti kehidupan dalam jangka masa sederhana (6 kajian, 3733 orang) dan dalam jangka masa panjang (1 kajian, 863 orang)
-
Keputusan lain: Liraglutide mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada peristiwa kardiovaskular utama dalam jangka masa sederhana (6 kajian, 5762 orang). Kami tidak pasti tentang kesannya terhadap peristiwa kardiovaskular utama dalam jangka masa panjang dan ke atas risiko kematian dalam jangka masa sederhana dan panjang.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami cukup yakin bahawa mereka yang mengambil liraglutide dapat menurunkan berat badan lebih banyak daripada mereka yang mengambil plasebo. Walau bagaimanapun, keyakinan kami terhadap bukti yang lain adalah terhad kerana cara kajian dijalankan dan terdapat maklumat yang hilang. Beberapa kajian melihat kepada kesan jangka panjang atau memilih mereka yang berasal dari tempat yang berbeza, jadi hasilnya mungkin tidak terpakai kepada semua orang. Pengilang liraglutide terlibat dalam reka bentuk, kelakuan atau analisis 22 daripada 24 kajian, yang mengehadkan keyakinan kami terhadap keputusan. Lebih banyak kajian bebas diperlukan.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini terkini sehingga Disember 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).