Langkau ke kandungan utama

Adakah semaglutide berkesan sebagai rawatan penurunan berat badan untuk orang dewasa yang obes dan adakah ia memberi kesan-kesan yang tidak diingini ?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Orang dewasa yang obes dapat mengurangkan berat badan dengan pengambilan semaglutide berbanding plasebo (ubat palsu). Walau bagaimanapun, risiko berlakunya kesan-kesan yang tidak diingini mungkin lebih tinggi berbanding pengambilan plasebo selepas 24 bulan. Semaglutide mungkin mempunyai sedikit atau tiada perbezaan — atau mempunyai kesan-kesan yang tidak pasti — pada kualiti hidup, peristiwa kardiovaskular utama dan risiko kematian.

  • Pengilang Semaglutide terlibat dalam 17 daripada 18 kajian yang dipilih, menimbulkan kebimbangan tentang kebolehpercayaan atas keputusan yang diperoleh. Lebih banyak penyelidikan bebas diperlukan yang memberi fokus kepada mereka dari latar belakang dan tempat berbeza.

Apakah itu obesiti?

Obesiti adalah keadaan jangka panjang di mana seseorang mempunyai kuantiti lemak dalam badan secara berlebihan. Ia boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti diabetes jenis 2, penyakit jantung dan saluran darah (penyakit kardiovaskular), dan beberapa jenis kanser. Masalah obesiti semakin meningkat di seluruh dunia, meletakkan beban besar pada sistem penjagaan kesihatan. Pengurusan obesiti selalunya melibatkan perubahan gaya hidup seperti pemakanan yang lebih sihat dan lebih aktif secara fizikal. Walau bagaimanapun, kebanyakkan orang mendapati perubahan ini sukar untuk dikekalkan, dan doktor mungkin memberi ubat sebagai sokongan dalam penurunan berat badan.

Apakah itu semaglutide?
Semaglutide adalah ubat yang meniru hormon yang dikeluarkan semulajadi oleh usus. Ia mengurangkan selera makan, membantu dalam menurunkan berat badan. Ia boleh diberikan dalam bentuk suntikan atau ditelan. Sesetengah orang yang mengambil semaglutide mengalami kesan-kesan tidak diingini, seperti berasa tidak sihat atau sakit, cirit-birit dan rasa senak. Ubat-ubat serupa seperti semaglutide termasuk liraglutide dan tirzepatide.

Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan semaglutide pada orang dewasa yang mengalami obesiti dalam jangkamasa sederhana (6 hingga 24 bulan) dan jangkamasa panjang (24 bulan atau lebih). Kami meneliti kesannya terhadap penurunan berat badan, kesan-kesan yang tidak diingini, masalah kesihatan yang berkaitan dengan obesiti, kualiti kehidupan dan risiko kematian.

Kami tidak mengkaji kesan dan akibat selepas mereka yang berhenti mengambil semaglutide.

Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan semaglutide dengan plasebo (ubat palsu), perubahan gaya hidup atau ubat penurunan berat badan yang lain untuk mereka yang obes. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan, dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti.

Apakah yang ditemukan?
Kami telah memilih 18 kajian yang melibatkan 27,949 lelaki dan wanita, berumur 41 hingga 69 tahun, yang mengambil semaglutide antara 6 bulan sehingga 4 tahun atau lebih lama. Kebanyakkan kajian dijalankan di negara-negara berpendapatan sederhana atas atau tinggi, dan kebanyakannya melibatkan mereka yang berkulit putih dan Asia. Mereka membandingkan semaglutide dengan plasebo, liraglutide dan tirzepatide. Perbandingan utama dengan plasebo telah memberi penemuan-penemuan berikut.

  • Pada kajian dengan jangkamasa sederhana (16 kajian, 10,041 orang): Semaglutide menunjukkan lebih banyak penurunan berat badan dari segi peratusan berat badan, dan lebih ramai orang kehilangan 5% berat badan mereka berbanding plasebo. Mereka mungkin mengalami kesan-kesan tidak diingini yang bersifat ringan hingga sederhana dengan pengambilan semaglutide, tetapi kesan-kesan yang tidak diingini ini mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada mereka yang memutuskan untuk berhenti rawatan. Kesan-kesan tidak diingini yang serius dengan penggunaannya adalah tidak jelas. Semaglutide mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan pada kualiti kehidupan dan mungkin tidak mengurangkan berlakunya peristiwa kardiovaskular utama dan risiko kematian secara signifikan.

  • Pada kajian dengan jangkamasa panjang (2 kajian, 17,908 orang): penurunan dalam peratusan berat badan dan bilangan orang yang kehilangan 5% berat badan mungkin berlaku dengan pengambilan semaglutide. Semaglutide mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan pada kesan-kesan tidak diingini yang serius, dan kami tidak pasti tentang kesannya terhadap kesan-kesan yang bersifat ringan hingga sederhana. Walau bagaimanapun, kesan-kesan yang tidak diingini ini mungkin membuatkan lebih ramai orang memutuskan untuk berhenti rawatan. Semaglutide mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan pada kualiti kehidupan dan mungkin tidak mengurangkan berlakunya peristiwa kardiovaskular utama dan risiko kematian secara signifikan.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami sangat yakin bahawa mereka yang mengambil semaglutide mungkin dapat menurunkan berat badan lebih banyak berbanding mereka yang mengambil plasebo. Walau bagaimanapun, pengilang semaglutide terlibat dalam kebanyakan kajian yang dipilih, jadi keyakinan kami terhadap keputusan adalah terhad. Lokasi kajian dan peserta yang terlibat juga agak serupa, jadi kami tidak pasti bagaimana semaglutide berfungsi untuk mereka dari latar belakang dan tempat berbeza.

Adakah ulasan ini yang terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga 17 Disember 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Bracchiglione J, Meza N, Franco JVA, Escobar Liquitay CM, Novik A V, Ocara Vargas M, Lazcano G, Poloni D, Rinaldi Langlotz F, Roqué-Figuls M, Munoz SR, Madrid E. Semaglutide for adults living with obesity. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 10. Art. No.: CD015092. DOI: 10.1002/14651858.CD015092.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan