Langkau ke kandungan utama

Adakah tirzepatide berkesan untuk rawatan penurunan berat badan bagi orang dewasa yang mengalami obesiti dan adakah ia memberi kesan yang tidak diingini?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

  • Berbanding plasebo (ubat tanpa apa-apa kesan), tirzepatide berkemungkinan membantu orang dewasa yang mengalami obesiti menurunkan berat badan dalam jangkamasa sederhana (sehingga 2 tahun), dan penurunan berat badan ini berkemungkinan dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang (lebih daripada 2 tahun). Tirzepatide mungkin meningkatkan risiko kesan tidak diingini yang tidak serius dalam jangkamasa sederhana dan panjang, tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan tidak diingini yang serius, termasuk yang mengakibatkan pesakit berhenti mengambil tirzepatide. Ia mungkin memberi sedikit atau tiada kesan ke atas kualiti hidup, kemungkinan berlakunya penyakit kardiovaskular dan risiko kematian.

  • Pengeluar tirzepatide terlibat dalam pemberian dana, reka bentuk, operasi dan pelaporan kesemua sembilan kajian yang terlibat dalam kajian ini. Ini menimbulkan kebimbangan tentang konflik kepentingan yang mungkin menjejaskan keputusan kajian. Lebih banyak penyelidikan bebas diperlukan.

Apakah itu obesiti?

Obesiti ialah keadaan di mana seseorang mempunyai terlalu banyak lemak badan, yang boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis jenis 2, penyakit jantung dan beberapa jenis kanser. Pengurusan obesiti selalunya melibatkan perubahan gaya hidup seperti pemakanan yang lebih sihat dan lebih aktif secara fizikal. Dalam sesetengah kes, doktor mungkin memberi ubat untuk menyokong kepada penurunan berat badan.

Apakah itu tirzepatide?

Tirzepatide ialah ubat yang dihasilkan untuk merawat mereka yang hidup dengan obesiti atau mempunyai masalah kesihatan yang berkaitan dengan berat badan. Ia berfungsi dengan meniru dua hormon yang membantu mengawal selera makan, mengosongkan perut, rasa kenyang, mengawal kadar gula dalam darah dan kadar metabolik. Ia diberikan sebagai suntikan secara mingguan. Sesetengah orang yang mengambil tirzepatide mengalami kesan-kesan yang tidak diingini, seperti senak, berasa sakit atau tidak selesa, cirit-birit, dan sembelit. Ubat-ubat lain yang serupa ialah liraglutide dan semaglutide.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sejauh mana tirzepatide berfungsi kepada orang dewasa yang mengalami obesiti dalam jangkamasa sederhana (sehingga 2 tahun) dan jangkamasa panjang (2 tahun atau lebih). Kami mengkaji kesannya terhadap penurunan berat badan, masalah kesihatan berkaitan obesiti, kesan-kesan sampingan, kualiti hidup dan risiko kematian. Kami tidak melihat kepada apa yang berlaku selepas mereka berhenti mengambil tirzepatide.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan tirzepatide dengan plasebo (rawatan palsu), tiada rawatan, perubahan gaya hidup atau ubat penurunan berat badan yang lain. Kami memberi tumpuan kepada kajian yang membandingkan tirzepatide dengan plasebo. Kami memilih kajian yang mengikuti peserta selama sekurang-kurangnya enam bulan. Kami merumuskan keputusan-keputusan ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti-bukti tersebut.

Apakah yang ditemukan?

Kami memilih sembilan kajian yang melibatkan 7111 orang dewasa yang mengalami obesiti, berumur 36 hingga 65 tahun, terutamanya dari negara berpendapatan sederhana dan tinggi. Lapan kajian membandingkan tirzepatide dengan plasebo, dan 1 kajian membandingkan tirzepatide dengan semaglutide. Tirzepatide diberikan sebagai suntikan secara mingguan dalam dos antara 5 mg hingga 15 mg. Perbandingan utama dengan plasebo (8 kajian, 6361 orang) mempunyai penemuan berikut.

  • Tirzepatide berkemungkinan mengakibatkan penurunan berat badan ketara dalam jangkamasa sederhana (sehingga kira-kira 1.5 tahun) dan mungkin mengekalkan kesan ini dalam jangkamasa panjang (sekitar 3.5 tahun).

  • Mereka yang mengambil tirzepatide boleh mengalami kesan sampingan yang tidak serius, tetapi kurang berkemungkinan untuk menghentikan rawatan kerana kesan ini berbanding mereka yang mengambil plasebo. Ada kemungkinan terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan sampingan yang serius.

  • Tirzepatide mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam peristiwa yang melibatkan kardiovaskular, tetapi ia mungkin tidak meningkatkan kualiti hidup atau mengurangkan kadar kematian.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana kebimbangan tentang bagaimana beberapa kajian dijalankan. Penemuan jangka panjang adalah berdasarkan hanya pada satu kajian. Pengilang tirzepatide membiayai semua kajian, yang menimbulkan kebimbangan tentang kebolehpercayaan atas keputusan yang diperoleh. Lebih banyak penyelidikan bebas diperlukan.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Franco JVA, Guo Y, Varela LB, Aqra Z, Alhalahla M, Medina Rodriguez M, Salvador Oscco EL, Patiño Araujo B, Banda S, Escobar Liquitay CM, Bracchiglione J, Meza N, Madrid E. Tirzepatide for adults living with obesity. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 10. Art. No.: CD016018. DOI: 10.1002/14651858.CD016018.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan