Realiti maya untuk pemulihan strok

Soalan ulasan
Kami mahu membandingkan kesan realiti maya berbanding rawatan alternatif atau tiada rawatan untuk pemulihan selepas strok dengan menggunakan fungsi lengan dan hasil lain seperti berjalan pantas dan kebolehan menguruskan aktiviti harian selepas strok.

Latar belakang
Ramai orang yang mengalami strok mempunyai kesukaran bergerak, berfikir, dan merasa. Ini sering menyebabkan masalah dalam aktiviti harian seperti menulis, berjalan, dan memandu. Realiti maya dan permainan video interaktif adalah antara jenis terapi yang diberikan kepada orang selepas mengalami strok. Terapi ini melibatkan penggunaan program berasaskan komputer yang direka untuk mensimulasikan objek dan peristiwa kehidupan sebenar. Realiti maya dan permainan video interaktif mungkin mempunyai beberapa kelebihan terhadap pendekatan terapi tradisional kerana mereka dapat memberi peluang kepada orang untuk mengamalkan kegiatan harian yang tidak bolatau tidak dapat diamalkan dalam persekitaran hospital. Selain itu, terdapat beberapa ciri program realiti maya yang mungkin menyebabkan pesakit akan menghabiskan lebih banyak masa dalam terapi: sebagai contoh, aktiviti mungkin lebih bermotivasi.

Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti 72 kajian yang melibatkan 2470 orang selepas strok. Pelbagai program realiti maya telah digunakan, dengan kebanyakannya bertujuan meningkatkan fungsi lengan atau kemampuan berjalan. Bukti adalah terkini sehingga April 2017.

Keputusan utama
Dua puluh dua kajian menguji sama ada penggunaan realiti maya berbanding terapi konvensional menyebabkan pertambahan keupayaan menggunakan lengan dan mendapati bahawa penggunaan realiti maya tidak membuahkan fungsi yang lebih baik (bukti berkualiti rendah). Apabila realiti maya digunakan sebagai tambahan kepada penjagaan atau pemulihan biasa bagi meningkatkan jumlah masa yang diperuntukkan untuk terapi, terdapat peningkatan pada fungsi lengan (bukti berkualiti rendah). Enam kajian menguji sama ada penggunaan realiti maya berbanding terapi konvensional meningkatkan kelajuan berjalan. Tiada bukti menyatakan realiti maya lebih berkesan dalam kes ini (bukti berkualiti rendah). Sepuluh kajian menjumpai beberapa bukti bahawa realiti maya menghasilkan keupayaan yang lebih baik untuk menguruskan aktiviti harian seperti mandi dan berpakaian (bukti berkualiti sederhana). Namun demikian, kesan positif ini ditemui sejurus selepas berakhirnya rawatan dan ia tidak jelas sama ada kesan tersebut bertahan lama. Keputusan harus ditafsirkan dengan berhati-hati kerana, walaupun terdapat banyak kajian, mereka secara umumnya bersaiz kecil dan tidak berkualiti tinggi. Sebilangan kecil pengguna realiti maya melaporkan rasa sakit, sakit kepala, atau pening. Tiada kesan buruk yang serius telah dilaporkan.

Kualiti bukti
Kualiti bukti secara umumnya berkualiti rendah atau sederhana. Kualiti bukti untuk setiap hasil adalah terhad disebabkan bilangan peserta kajian yang sedikit, keputusan yang tidak konsisten merentasi kajian, dan pelaporan kajian yang buruk.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save