Mesej utama
-
Akupunktur boleh mempunyai kesan yang serupa dengan akupunktur palsu dalam mengurangkan keterukan insomnia dan menambahbaik kualiti tidur. Berbanding dengan kawalan tidak aktif, akupunktur nampaknya lebih berkesan dalam mengurangkan keterukan insomnia dan meningkatkan kualiti tidur. Walau bagaimanapun, kami kurang yakin dengan bukti tersebut.
-
Berbanding dengan terapi tingkahlaku kognitif untuk insomnia (CBT-I), akupunktur mungkin kurang berkesan dalam menambahbaik keterukan insomnia dan kualiti tidur.
Insomnia dalam penghidap kanser dan bagaimanakah merawatnya
Insomnia adalah masalah biasa bagi penghidap kanser. Kekurangan tidur ini boleh menjejaskan kehidupan seharian mereka, menjadikan badan dan minda mereka berasa lebih teruk. Cadangan rawatan semasa untuk insomnia dalam penghidap kanser dan mangsa yang terselamat termasuklah pendekatan psikologi (seperti CBT-I), ubat-ubatan (seperti pil tidur), dan kaedah yang lain (seperti senaman fizikal). Walaupun CBT-I (terapi bercakap piawai untuk insomnia) dianggap sebagai rawatan yang paling berkesan, ia tidak tersedia secara meluas di banyak pusat rawatan kanser disebabkan oleh kekurangan pengamal terlatih dan kekangan perlindungan insurans.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada akupunktur lebih baik berbanding 1) kawalan palsu atau plasebo (prosedur “tiruan” yang meniru akupunktur sebenar), 2) kawalan tidak aktif (tiada rawatan atau penjagaan biasa), dan 3) rawatan lain (contohnya CBT-I) dalam menambahbaik tahap keterukan insomnia, kualiti tidur, kejadian buruk (kesan yang tidak diingini atau memudaratkan), serta parameter diari tidur (contohnya masa mula tidur, masa terjaga, jumlah masa tidur, dan keberkesanan tidur).
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan akupunktur dengan rawatan lain untuk insomnia dalam penghidap kanser. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian yang dijalankan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami telah mengenal pasti tiga perbandingan dan lima kajian dengan 402 peserta. Kebanyakan peserta adalah wanita yang menghidap kanser payudara.
Berbanding akupunktur palsu, akupunktur mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan dalam mengurangkan keterukan insomnia atau menambahbaik kualiti tidur, walaupun ia mungkin membawa kepada sedikit penambahbaikan dalam beberapa parameter diari tidur tertentu. Walau bagaimanapun, kami sangat meragui keputusan ini. Akupunktur boleh meningkatkan risiko kejadian buruk, namun keputusan ini adalah sangat tidak pasti.
Berbanding dengan kawalan tidak aktif, akupunktur mungkin lebih berkesan dalam mengurangkan keterukan insomnia, meningkatkan kualiti tidur, dan menambahbaik beberapa parameter diari tidur. Ia boleh meningkatkan risiko kejadian buruk. Walau bagaimanapun, kami sangat meragui keputusan ini.
Dalam kajian yang membandingkan akupunktur dengan CBT-I, akupunktur mungkin kurang berkesan dalam menambahbaik keterukan insomnia, kualiti tidur, masa permulaan tidur, atau keberkesanan tidur, walaupun ia mungkin menambahbaik jumlah tempoh tidur. Ia mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kejadian buruk.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami kurang yakin dengan kebanyakan penemuan kerana kajian tersebut adalah kecil atau keputusannya sangat berbeza. Ada kemungkinan bahawa penyelidikan masa depan boleh mengubah pemahaman kita mengenai topik ini. Kajian yang lebih komprehensif adalah diperlukan untuk memberikan jawapan yang lebih jelas, dan boleh dipercayai.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Wilfred Mok Kok Hoe (Institut Kesihatan Negara). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.