Mesej utama
– Kami tidak tahu sama ada intervensi psikologi dan pendidikan (yang direka untuk mengubah suai pemikiran, tingkah laku dan emosi) melalui telerehabilitasi (mendapatkan terapi yang direka untuk membantu orang pulih dan mendapatkan semula pergerakan mereka (juga dikenali sebagai perkhidmatan pemulihan) menggunakan telefon atau komputer) mempunyai kesan ke atas kesakitan, tetapi ia mungkin boleh menambah baik fungsi (sejauh mana individu boleh menggerakkan leher mereka dengan baik).
– Melakukan senaman dan aktiviti fizikal melalui telerehabilitasi boleh mengurangkanurang sedikit sakit leher dibandingkan dengan rawatan yang minimum (contohnya, tiada rawatan atau nasihat).
– Tiada bukti kukuh yang mencukupi untuk menyatakan sejauh mana telerehabilitasi berkesan, dan lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Sakit leher adalah perkara biasa dan boleh mengehadkan aktiviti harian. Telerehabilitasi bermakna mendapatkan perkhidmatan pemulihan (terapi yang direka untuk membantu seseorang pulih dan memulihkan pergerakan mereka) melalui teknologi, seperti panggilan telefon, panggilan video atau aplikasi mudah alih. Ini boleh membantu seseorang menerima penjagaan tanpa pergi ke klinik. Kami ingin mengetahui sama ada menerima rawatan melalui telerehabilitasi boleh mengurangkan sakit leher dan menambah baik fungsi (sejauh mana seseorang boleh menggerakkan leher mereka).
Kami ingin mengetahui sama ada telerehabilitasi lebih berkesan daripada:
– intervensi minimum (seperti penjagaan biasa, pendidikan sahaja, atau berada dalam senarai menunggu);
– rawatan serupa disampaikan secara bersemuka di klinik (dipanggil padanan rawatan bukan telekesihatan); dan
– rawatan peribadi berbeza (dipanggil rawatan bukan padanan).
Kami melihat kepada kesan pengurangan kesakitan, peningkatan fungsi, kualiti hidup dan kesihatan mental pada mereka yang mempunyai berbeza jenis sakit leher.
Kami juga ingin menyemak sama ada telerehabilitasi menyebabkan kesan tidak diingini yang serius atau jika seseorang berhenti rawatan kerana sebarang isu.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan telerehabilitasi dengan rawatan minimum, pemulihan di pusat kesihatan atau jenis rawatan yang lain terhadap orang dewasa yang mengalami sakit leher.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 13 kajian dengan 1042 orang, kebanyakannya adalah wanita. Kajian itu dijalankan di China, Denmark, Jerman, Greece, Itali, Belanda, Korea Selatan, Thailand, dan Turki.
Telerehabilitasi dihantar menggunakan panggilan telefon, aplikasi, video yang dirakam, panggilan video dan tapak web. Program berlangsung antara satu hari hingga 48 minggu.
Keputusan utama
Kami tidak pasti sejauh mana berkesan telerehabilitasi. Anggaran terbaik pada masa ini menunjukkan bahawa ia mungkin membantu sedikit dibandingkan dengan intervensi yang minimum.
Sakit leher kronik (tempoh masa lebih dari 12 minggu)
Telerehabilitasi psikologi atau pendidikan (yang direka bentuk untuk mengubah suai pemikiran, tingkah laku dan emosi) boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan (tetapi bukti sangat tidak pasti), namun berkemungkinan tidak meningkatkan kualiti hidup, atau mengurangkan kemurungan. Walau bagaimanapun, ia mungkin meningkatkan fungsi dan mungkin mengurangkan sedikit kebimbangan dibandingkan dengan intervensi yang minimum.
Telerehabilitasi berasaskan senaman mungkin boleh mengurangkan sedikit kesakitan, tetapi bukti sangat tidak pasti adakah ia mempunyai kesan ke atas fungsi atau kualiti hidup dibandingkan dengan intervensi yang minimum.
Satu kajian telah menguji telerehabilitasi berbilang komponen (kombinasi rawatan berbeza ). Bukti menunjukkan ia mungkin tidak membantu mengurangkan kesakitan dibandingkan dengan intervensi yang minimum.
Beberapa kajian melaporkan kesan tidak diingini, dan tidak ada yang memberikan maklumat tentang individu menghentikan rawatan disebabkan oleh masalah.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak pasti tentang faedah telerehabilitasi kerana:
– tidak ada kajian yang mencukupi membandingkannya dengan rawatan yang lain;
– kualiti kajian berbeza-beza; dan
– kebanyakan kajian adalah kecil, menjadikannya sukar untuk mendapatkan keputusan yang jelas.
Penyelidikan yang direka dengan lebih baik diperlukan untuk mengetahui sama ada telerehabilitasi berkesan untuk sakit leher.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga 11 April 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).