Mesej utama
• Nukleoplasti boleh mengurangkan sakit leher/lengan yang disebabkan oleh hernia cakera tetapi mengakibatkan sedikit atau tiada kesan terhadap fungsi leher atau kualiti hidup dibandingkan rawatan konservatif selepas tiga bulan.
• Kami tidak tahu sama ada nukleoplasti mempunyai sebarang kesan terhadap sakit, fungsi leher, kualiti hidup atau pemulihan, dibandingkan frekuensi radio berdenyut (rawatan yang menggunakan denyutan kecil tenaga elektrik untuk menyasarkan saraf dan mengurangkan sakit) atau pembedahan.
• Bagi semua rawatan, tiada kesan memudaratkan dan tidak diingini yang serius dilaporkan.
Apakah hernia cakera di leher?
Cakera ialah kusyen lembut di antara tulang-tulang belakang. Hernia cakera adalah apabila cakera di leher membonjol atau tergelincir keluar dari tempatnya. Hal ini boleh membawa kepada saraf di leher tersepit atau rengsa, yang seterusnya menyebabkan sakit. Sakit boleh merebak dari leher ke bahu, lengan atau tangan. Orang juga mungkin berasa kebas, kesemutan atau lemah di kawasan tersebut. Sakit jenis ini biasanya disebabkan oleh haus dan lusuh biasa apabila kita berusia, tetapi ia juga boleh berlaku selepas kecederaan.
Bagaimana hernia cakera di leher dirawat?
Sakit disebabkan oleh hernia cakera boleh diuruskan dengan rawatan konservatif, seperti berehat, ubat sakit, fisioterapi, kolar cervikal (penyokong leher lembut atau keras yang membalut leher anda untuk sokongan kepala anda dan memastikan leher anda tidak bergerak), atau gabungan semua ini. Jika rawatan konservatif tidak berkesan dan sakit berterusan, rawatan invasif minimum atau pembedahan boleh dipertimbangkan.
Nukleoplasti ialah prosedur invasif minimum di mana bahagian kecil nukleus seperti gel cakera dikeluarkan untuk melegakan tekanan pada saraf di sekelilingnya. Prosedur ini dilakukan menggunakan anestesia tempatan (untuk kebaskan kawasan tersebut) dan berpandukan oleh sinar-X untuk ketepatan. Kesan sampingan sementara prosedur boleh melibatkan masalah menelan, sakit kepala, kekejangan otot dan sakit leher. Dalam kes yang jarang berlaku, komplikasi yang lebih serius boleh berlaku, seperti kerosakan pada paip makanan (esofagus), kecederaan pada saluran darah di leher atau kerosakan saraf yang serius.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada nukleoplasti adalah lebih baik daripada plasebo (rawatan palsu atau 'dummy'), rawatan konservatif, pembedahan, atau frekuensi radio berdenyut untuk mengurangkan sakit lengan/leher, meningkatkan fungsi leher dan hasil yang lain.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan nukleoplasti kepada plasebo, tanpa rawatan, rawatan konservatif, intervensi tanpa pembedahan dan pembedahan. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemui?
Kami menemui empat kajian yang melibatkan 259 orang dengan sakit leher disebabkan oleh herniasi cakera. Semua peserta berumur antara 16 dan 65 tahun. Mereka dirawat di hospital atau klinik. Para penyelidik menjejaki kemajuan peserta selama tiga hingga 12 bulan selepas rawatan. Kajian-kajian tersebut membandingkan nukleoplasti dengan:
• rawatan konservatif (satu kajian, 120 peserta);
• frekuensi radio berdenyut (satu kajian, 34 peserta);
• pembedahan (dua kajian, 105 peserta).
Keputusan utama
Berbanding dengan rawatan konservatif , satu kajian dengan 120 orang menemui bahawa nukleoplasti:
• boleh mengurang sakit dengan ketara semasa susulan jangka pendek (3 bulan);
• boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam fungsi berkaitan leher;
• boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup.
Kajian yang menilai rawatan konservatif melaporkan bahawa tiada seorang pun peserta dalam mana-mana kumpulan mengalami sebarang peristiwa memudaratkan dan tidak diingini. Ia tidak melaporkan masa pemulihan pesertai. Tiada sesiapa yang menarik diri daripada kajian itu.
Kami tidak tahu sama ada nukleoplasti mempunyai sebarang kesan terhadap sakit, fungsi atau pemulihan berbanding frekuensi radio berdenyut kerana hanya terdapat satu kajian dengan sangat sedikit peserta.
Kami tidak tahu sama ada nukleoplasti mempunyai sebarang kesan terhadap sakit, fungsi, kualiti hidup atau pemulihan berbanding pembedahan kerana hanya terdapat dua kajian kecil.
Kemudaratan
Bagi semua rawatan, tiada kesan memudaratkan dan tidak diingini yang serius dilaporkan. Kesan sampingan ringan dan sementara dalam kumpulan nukleoplasti melibatkan masalah menelan. Dalam kumpulan yang menerima frekuensi radio berdenyut, sesetengah orang mengalami sakit kepala dan kekejangan otot selepas rawatan. Dalam kumpulan pembedahan, sesetengah orang mengalami komplikasi sementara yang berkaitan secara langsung dengan pembedahan, seperti sakit leher.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami mempunyai sedikit atau tiada keyakinan terhadap bukti untuk semua hasil kerana kajian dijalankan dengan buruk, mempunyai terlalu sedikit peserta, atau memberikan maklumat yang tidak lengkap tentang hasil.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 24 Februari 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




