Langkau ke kandungan utama

Adakah intervensi kesihatan digital, atau intervensi berasaskan teknologi akan membantu dalam pengurusan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja?

Mesej Utama

• Intervensi digital mungkin mempunyai kesan positif yang kecil dalam jangka masa pendek terhadap jisim lemak badan, tetapi kesannya terhadap hasil-hasil lain adalah tidak jelas setakat ini.

• Tiada kajian melaporkan keselamatan berkenaan intervensi ini.

• Kajian-kajian kelak perlu melaporkan hasil-hasil kajian mengikut umur, jantina, bangsa/etnik; termasuk data penuh; kejadian buruk dan hasil -hasil lain; kawalan untuk faktor diet dan aktiviti fizikal dalam analisis; serta memasukkan teori tingkah laku yang menjadi asas kepada intervensi tersebut.

Mengapa obesiti pada zaman kanak-kanak menjadi masalah?

Obesiti pada zaman kanak-kanak merupakan masalah kesihatan awam di seluruh dunia yang bakal meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit jangka panjang seperti diabetes dan penyakit jantung. Di seluruh dunia, lebih daripada 340 juta kanak-kanak dan remaja berumur 5 hingga 19 tahun hidup dengan masalah berat badan berlebihan atau obesiti pada tahun 2016.

Apakah teknologi digital, dan bagaimana ia digunakan dalam pengurusan penurunan berat badan?

Penyelidik sedang meneroka cara baharu untuk menguruskan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja menggunakan teknologi digital, termasuk: peranti boleh pakai (wearable devices), intervensi berasaskan pautan online (web); mesej teks, aplikasi telefon bimbit atau tablet, ‘exergaming’ dan permainan video aktif, dan tele-kesihatan (berjumpa atau berbincang dengan doktor dari rumah menggunakan telefon, komputer, atau tablet). Kelebihan teknologi ini mungkin termasuk:

• boleh diakses pada bila-bila masa, membantu mengekalkan sesuatu tingkah laku dalam jangka masa panjang;
• kos penjagaan yang lebih rendah;
• menggalakkan equiti kesihatan – iaitu mengurangkan perbezaan kesihatan yang tidak adil antara kumpulan masyarakat – kerana alat-alat teknologi tersebut boleh diakses secara umumnya. dan tersedia untuk pengunaan populasi yang besar.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada penggabungan teknologi digital membantu kanak-kanak dan remaja menurunkan berat badan, dan jika alat ini selamat digunakan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang mengkaji tentang teknologi digital, seperti ‘wearables’ (peranti elektronik mudah alih yang kecil dan boleh dipakai atas badan untuk menjejak cara pemakanan, kesihatan dan/atau kecergasan), alat berasaskan pautan online; penghantaran mesej teks, aplikasi mudah alih, exergaming, atau tele-kesihatan, dalam pengurusan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berumur sehingga 19 tahun. Kami mengasingkan kajian-kajian kepada dua cara perbandingan:

• teknologi digital bersama rawatan biasa berbanding rawatan biasa sahaja;
• teknologi digital sahaja berbanding rawatan biasa sahaja.

Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami merangkumkan 15 kajian yang melibatkan sejumlah 911 kanak-kanak dan remaja. Lima kajian melibatkan kanak-kanak berumur 0 hingga 19 tahun. Sepuluh kajian hanya melibatkan mereka yang berumur 10 hingga 19 tahun. Sembilan kajian mempunyai tempoh kajian kurang daripada enam bulan (kajian jangka pendek); enam kajian bertempoh sekurang-kurangnya enam bulan (kajian jangka panjang).

Lapan kajian membandingkan teknologi digital + rawatan biasa dengan rawatan biasa sahaja. Pengunaan teknologi digital mungkin mengurangkan lemak badan purata sebanyak 2.63% pada akhir kajian. Ini adalah peningkatan kecil tetapi penting. Kesan-kesan terhadap hasil-hasil lain adalah tidak jelas.

Tujuh kajian membandingkan intervensi digital sahaja dengan rawatan biasa sahaja. Kesan-kesan terhadap hasil-hasil yang dinilai adalah tidak jelas.

Tiada kajian melaporkan keselamatan berkenaan rawatan ini.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kesan-kesan jangka panjang dalam segi klinikal terhadap pengurangan jisim lemak dengan intervensi digital yang digabungkan bersama rawatan konvensional dalam populasi ini sukar dinilai kerana bukti-bukti yang didapat adalah terhad. Selain itu, kami tidak mempunyai bukti-bukti tentang keselamatan teknologi digital ini, dan tiada maklumat mencukupi untuk menentukan sama ada kumpulan umur yang berbeza mempunyai hasil yang berbeza.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini terkini sehingga 14 April 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Jasmine Lee (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Palacios C, Hernandez J, Ajmal A, Rodriguez AJ, Hassan AY, Metzendorf M-I, Ramella-Roman JC.. Digital health, technology-driven or technology-assisted interventions for the management of obesity in children and adolescents. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 7. Art. No.: CD015968. DOI: 10.1002/14651858.CD015968.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan