Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan risiko antiseptik topikal untuk merawat jangkitan telinga tengah jangka panjang (otitis media supuratif kronik )?

Mesej utama

• Akibat kurangnya kajian-kajian, kami sangat tidak pasti tentang manfaat dan risiko antiseptik topikal dalam rawatan otitis media supuratif kronik (jangkitan telinga tengah jangka panjang).

• Kami perlukan lebih banyak maklumat tentang kemungkinan kesan mudarat antiseptik topikal, kerana ini tidak dilaporkan dengan baik dalam kajian-kajian.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Otitis media supuratif kronik(CSOM) adalah jangkitan dan bengkak jangka panjang (kronik) telinga tengah, dengan discaj telinga (otorea) melalui membran timpanum yang berlubang (gegendang telinga). Gejala utama adalah discaj telinga dan hilang pendengaran.

Antiseptik topikal (antiseptik yang dimasukkan terus ke dalam telinga sebagai titisan telinga atau serbuk) kadangkala digunakan untuk merawat CSOM. Antiseptik topikal membunuh atau menghentikan pertumbuhan mikro-organisma yang mungkin bertanggungjawab untuk jangkitan. Antiseptik topikal boleh diguna sendiri atau ditambah dengan rawatan lain untuk CSOM, seperti antibiotik atau pembersihan telinga (pencucian telinga). Meletak antiseptik topikal boleh menyebabkan kerengsaan kulit di telinga luar, yang mengakibatkan ketidakselesaan, sakit atau gatal. Sesetengah antiseptik (seperti alkohol) boleh menjadi toksik kepada telinga dalam (ototoksisiti), yang bermaksud ia boleh menyebabkan hilang pendengaran yang tidak dapat diperbaiki (sensorineural), pening atau berdesing di telinga (tinnitus).

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui manfaat dan risiko antiseptik topikal berbanding plasebo (ubat dummy) atau tiada rawatan untuk CSOM. Kami juga ingin tahu sama ada satu antiseptik topikal lebih berkesan daripada yang lain. Kami mengumpul dan menganalisis kesemua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini. Ini adalah kemaskini ulasan terbitan 2020, dengan satu kajian baharu ditambah.

Apakah keputusan utama ulasan?

Kami sertakan sejumlah enam kajian dalam ulasan itu. Jumlah bilangan orang dalam kajian tidak jelas, kerana dua kajian hanya melaporkan berapa banyak telinga yang dirawat. Walau bagaimanapun, terdapat 435 peserta ditambah 222 telinga (antara 111 dan 222 peserta) yang tidak dapat diambil kira dalam bilangan peserta . Empat kajian membandingkan antiseptik topikal dengan tanpa rawatan atau plasebo, dan dua kajian membandingkan dua antiseptik topikal yang berbeza . Pelbagai jenis antiseptik diguna, ada yang berbentuk titisan telinga dan yang lain sebagai serbuk. Tiada kajian mengukur kualiti hidup berkaitan kesihatan atau sakit telinga .

Antiseptik topikal (asid borik) berbanding plasebo atau tanpa rawatan (dengan rawatan latar belakang pencucian telinga)

Tiga kajian (297 peserta ditambah 174 telinga) membandingkan antiseptik topikal dengan plasebo/tiada rawatan.

Berdasarkan bukti daripada satu kajian (bilangan peserta tidak jelas, 174 telinga), kami tidak tahu sama ada satu penambahan antiseptik (povidone iodine ditambah hidroksipropil metil-selulosa) menyelesaikan discaj telinga pada satu hingga dua minggu berbanding tanpa rawatan.

Satu lagi kajian (180 kanak-kanak) membandingkan antiseptik topikal (asid borik dalam titisan telinga alkohol) tanpa antiseptik topikal. Semua kanak-kanak juga dibersihkan telinga mereka setiap hari menggunakan batang bulu kapas (pengelap kering). Adalah tidak jelas jika antiseptik (asid borik) membawa kepada peningkatan resolusi discaj telinga pada empat minggu atau tiga hingga empat bulan berbanding tanpa antiseptik. Kajian yang sama (254 peserta) juga melaporkan tiada perbezaan nyata antara kumpulan pendengaran atau disyaki ototoksisiti (masalah pendengaran atau keseimbangan yang timbul akibat pengambilan ubat), tetapi bukti sangat tidak pasti.

Kajian ketiga (43 kanak-kanak; 58 telinga) tidak menemui bukti jelas antiseptik memberi sebarang kesan ke atas komplikasi serius, tetapi tidak diketahui jika ini dinilai sebelum, semasa, atau selepas rawatan.

Antiseptik topikal (povidone iodine) berbanding tiada rawatan/ plasebo, di mana kedua-dua kumpulan kajian menerima antibiotik sistemik

Satu kajian (32 peserta) membandingkan satu antiseptik (povidone iodine) dengan plasebo (salina). Semua peserta juga menerima antibiotik oral (amoxicillin) dan pencucian telinga. Kajian ini mendapati povidone iodine topikal, apabila diberi sebagai tambahan kepada antibiotik dan pencucian telinga, boleh meningkatkan bilangan orang dengan resolusi discaj telinga antara satu hingga dua minggu, berbanding plasebo serta antibiotik dan pencucian telinga. Kami tidak tahu jika povidone iodin meningkatkan ototoksisiti yang disyaki. Dalam laporan kajian-kajian, para penulis kajian menyatakan tiada ototoksisiti dalam kalangan peserta kumpulan antiseptik topikal, tetapi ini tidak jelas untuk kumpulan plasebo . Tiada maklumat tentang resolusi discaj telinga selepas empat minggu, pendengaran, atau komplikasi serius .

Apakah batasan bukti?

Terdapat maklumat terhad tentang kumpulan populasi atau rawatan tertentu. Bukti dalam ulasan itu juga datang daripada kajian yang tidak dijalankan baru-baru ini.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti adalah terkini hingga Jun 2022.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Head K, Chong LY, Bhutta MF, Daw J, Veselinović T, Morris PS, Vijayasekaran S, Schilder AGM, Brennan-Jones CG. Topical antiseptics for chronic suppurative otitis media. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 6. Art. No.: CD013055. DOI: 10.1002/14651858.CD013055.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan