Mesej utama
– Terdapat bukti terhad yang membandingkan antibiotik topikal dengan antiseptik topikal dalam kalangan orang dengan kebengkakan dan jangkitan telinga tengah (dipanggil otitis media supuratif kronik ). Bukti adalah sangat tidak pasti sama ada antibiotik atau antiseptik topikal lebih berkesan untuk mengurangkan discaj telinga, kecuali antibiotik topikal mungkin lebih berkesan daripada asid borik (antiseptik).
Apakah otitis media supuratif kronik ?
Otitis media supuratif kronik adalah kebengkakan dan jangkitan telinga tengah jangka panjang, dengan discaj telinga (otorrhoea) melalui membran timpanum yang tembus (di mana gegendang telinga berlubang atau koyak di dalamnya). Gejala utama otitis media supuratif kronik adalah discaj telinga (nanah yang keluar dari lubang di gegendang telinga) dan hilang pendengaran.
Bagaimanakah otitis media supuratif kronik dirawat?
Antibiotik (yang membunuh bakteria) adalah rawatan paling lazim diguna untuk otitis media supuratif kronik. Antibiotik boleh sama ada 'topikal' (dimasukkan ke dalam kanal telinga sebagai titisan telinga, salap, semburan atau krim) atau 'sistemik ' (diambil sama ada melalui mulut atau suntikan ke dalam otot atau vena). Antiseptik topikal (antiseptik dimasukkan terus ke dalam telinga sebagai titisan telinga atau serbuk) adalah rawatan yang mungkin untuk otitis media supuratif kronik . Kedua-dua antibiotik dan antiseptik membunuh atau menghentikan pertumbuhan kuman yang mungkin bertanggungjawab untuk jangkitan.
Antibiotik dan antiseptik topikal boleh diguna sendiri atau ditambah kepada rawatan lain untuk otitis media supuratif kronik, seperti antibiotik lain atau pembersihan telinga (dipanggil pembersihan aural). Adalah penting dalam ulasan ini untuk memeriksa sama ada terdapat kesan tidak diingini mengguna antibiotik dan antiseptik seperti kerengsaan kulit di telinga luar, yang boleh menyebabkan ketidakselesaan, sakit, atau gatal. Sesetengah antibiotik dan antiseptik (seperti alkohol) juga boleh menjadi toksik kepada telinga dalam (dipanggil ototoksisiti), yang bermaksud ia boleh menyebabkan hilang pendengaran kekal, pening atau berdesing di dalam telinga (dipanggil tinitus).
Apakah matlamat ulasan ini?
Kami ingin bandingkan antibiotik dan antiseptik untuk rawatan otitis media supuratif kronik . Khususnya, kami ingin tahu sama ada ia menghentikan discaj telinga, dan sama ada mempengaruhi kualiti hidup ia mempengaruhi kualiti hidup, atau pendengaran. Kami juga ingin tahu jika ia menyebabkan sakit, ketidakselesaan, atau kerengsaan dalam telinga; mempunyai kesan yang tidak diingini seperti pening atau perdarahan telinga; atau sebarang komplikasi serius. Kami banding dan rumuskan keputusan kajian-kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan konsistensi keputusan.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami temui 15 kajian, yang memasukkan 2371 orang, yang membandingkan antibiotik dengan pelbagai antiseptik (asid asetik, asid borik, povidone-iodin, dan aluminium asetat). Satu kajian hanya merekrut kanak-kanak, dua kajian hanya merekrut dewasa, dan 12 kajian memasukkan dewasa dan kanak-kanak. Kira-kira 40 dalam setiap 100 orang adalah wanita. Kami bentangkan perbandingan utama di bawah.
Perbandingan antibiotik dengan asid asetik
Kami sertakan tujuh kajian (835 orang. Kami sedikit atau tidak yakin dengan bukti sama ada antibiotik topikal atau asid asetik memperbaik discaj telinga dalam kalangan orang dengan otitis media supuratif kronik . Adalah tidak mungkin untuk mengetahui sama ada terdapat perbezaan antara rawatan bagi sebarang gejala atau kesan lain yang kami minati.
Perbandingan antibiotik dengan asid borik
Kami sertakan dua kajian (532 orang). Antibiotik topikal (‘quinolone’) mungkin lebih baik daripada asid borik untuk mengurangkan discaj telinga selepas satu hingga dua minggu. Ketidakselesaan telinga juga boleh berkurangan (sakit, kerengsaan dan berdarah). ‘Quinolone’ topikal boleh memperbaik pendengaran berbanding asid borik topikal, tetapi perbezaan ini mungkin terlalu kecil untuknya menyedari ada perbezaan.
Perbandingan antibiotik dengan povidone-iodin
Kami sertakan satu kajian (40 orang). Kami sedikit yakin atau tidak yakin dengan bukti sama ada antibiotik topikal atau sistemik atau povidone-iodin memperbaik resolusi discaj telinga dalam kalangan orang dengan otitis media supuratif kronik . Adalah tidak mungkin untuk mengetahui sama ada terdapat perbezaan antara rawatan bagi sebarang gejala atau kesan lain yang kami minati.
Perbandingan antibiotik dengan aluminium asetat
Kami sertakan satu kajian (51 orang) yang menyatakan ia memperbaik dalam discaj telinga pada dua hingga empat minggu, tetapi mereka tidak membentangkan keputusan mereka dengan cara yang boleh kami gunakan. Adalah tidak mungkin untuk mengetahui sama ada terdapat perbezaan antara rawatan bagi sebarang gejala atau kesan lain yang kami minati.
Apakah batasan bukti?
Kajian-kajian adalah kecil dengan banyak yang dilaporkan dengan lemah, dan keputusan adalah jauh berbeza antara kajian-kajian. Kami juga perlukan lebih banyak maklumat tentang kesan mudarat.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Ini adalah kemas kini pertama ulasan yang diterbitkan pada 2020. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).