Mesej utama
– Kami tidak pasti sama ada antibiotik topikal mengurangkan discaj telinga bagi orang dengan bengkak dan jangkitan telinga tengah (dipanggil otitis media supuratif kronik).
– Antibiotik topikal boleh mengurangkan discaj telinga dibandingkan dengan plasebo (larutan garam), tetapi kami sangat tidak pasti. Antibiotik topikal yang digunakan sebagai tambahan kepada antibiotik yang diberikan melalui mulut boleh mengurangkan discaj telinga.
– Secara keseluruhannya, kami sangat tidak pasti jenis antibiotik topikal yang paling berkesan.
Apakah otitis media supuratif kronik ?
Otitis media supuratif kronik, juga dikenali sebagai otitis media kronik, ialah bengkak dan jangkitan pada telinga tengah yang berlangsung selama dua minggu atau lebih. Orang dengan otitis media supuratif kronik biasanya mengalami discaj dari telinga yang sukar untuk dihilangkan atau berulang (nanah yang keluar dari lubang atau koyakan di gegendang telinga) dan kehilangan pendengaran.
Bagaimanakah otitis media supuratif kronik dirawat?
Antibiotik topikal (ditberi ke dalam saluran telinga sebagai titisan telinga, salap, semburan atau krim) adalah rawatan yang paling biasa digunakan untuk otitis media supuratif kronik. Antibiotik topikal membunuh atau menghentikan pertumbuhan bakteria (kuman) yang mungkin bertanggungjawab untuk jangkitan. Antibiotik topikal boleh digunakan sendiri atau ditambah kepada rawatan yang lain untuk otitis media supuratif kronik, seperti antiseptik (yang juga membunuh kuman) atau pembersihan telinga (aural toileting) atau antibiotik sistemik (antibiotik yang diambil sama ada melalui mulut atau suntikan ke dalam otot atau urat).
Apakah matlamat ulasan ini?
Kami ingin mengetahui sejauh mana antibiotik topikal berkesan untuk orang dengan otitis media supuratif kronik, dan sama ada ia menyebabkan kesan yang tidak diingini. Kami juga ingin mengetahui sama ada satu jenis antibiotik topikal lebih bermanfaat atau memudaratkan daripada yang lain. Khususnya, kami ingin mengetahui sama ada antibiotik topikal menghentikan discaj telinga, dan adakah ia mempengaruhi kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, atau pendengaran. Kami juga ingin mengetahui sama ada ianya menyebabkan kesakitan, ketidakselesaan, atau kerengsaan dalam telinga; mempunyai kesan yang tidak diingini seperti pening atau pendarahan telinga; atau sebarang komplikasi serius. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan ketekalan keputusan.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami menemui satu kajian baru (100 peserta). Secara keseluruhannya, kami menemui 18 kajian memeriksa sekurang-kurangnya 1783 orang, tetapi sukar untuk menentukan dengan tepat bilangan orang yang disertakan kerana sesetengah kajian tidak melaporkan bilangannya dengan jelas. Dua kajian melibatkan "terutamanya kanak-kanak," tiga kajian melibatkan hanya dewasa, manakala selebihnya kelihatan melibatkan kedua-dua kanak-kanak dan dewasa. Tiada kajian melaporkan penglibatan orang yang dianggap risiko tinggi menghidap otitis media supuratif kronik (contohnya, orang dengan sumbing lelangit (di mana bumbung mulut bayi tidak bercantum semasa kehamilan) atau Down's syndrome; atau orang yang sistem imunnya tidak berfungsi dengan baik untuk melawan kuman). Kajian menggunakan pelbagai jenis antibiotik dan gabungan antibiotik.
Perbandingan antibiotik topikal dengan plasebo atau tiada rawatan
Satu kajian (50 orang) membandingkan antibiotik topikal untuk mencuci telinga (air garam). Antibiotik topikal mungkin mengurangkan discaj telinga lebih daripada mencuci telinga dengan garam apabila dinilai satu hingga dua minggu selepas rawatan, tetapi kami sangat tidak pasti. Bukti sangat tidak pasti tentang kesan yang tidak diingini dan kemerosotan ukuran pendengaran. Kajian tidak mengukur kualiti hidup dan melaporkan bahawa tiada komplikasi yang serius.
Perbandingan antibiotik topikal sebagai tambahan kepada sistemik (oral atau disuntik) antibiotik
Empat kajian (438 orang) membandingkan rawatan antibiotik topikal (ciprofloxacin) sebagai tambahan kepada antibiotik sistemik (oral atau suntikan), tetapi satu kajian tidak melaporkan data. Antibiotik topikal tambahan oral boleh mengurangkan discaj telinga lebih daripada antibiotik oral sahaja pada satu hingga dua minggu dan dua hingga empat minggu. Satu kajian menyatakan tiada kesan yang tidak diingini . Kajian tidak mengukur kualiti hidup dan tidak melaporkan sebarang komplikasi serius.
Perbandingan pelbagai antibiotik topikal
Lapan kajian (794 peserta ditambah 40 telinga) dibandingkan antibiotik aminoglycoside (gentamicin, neomycin, atau tobramycin) dengan antibiotik quinolone (ciprofloxacin atau ofloxacin). Quinolones mungkin mengurangkan discaj telinga lebih baik daripada aminoglikosida, tetapi bukti sangat tidak pasti. Satu kajian (100 orang) mengukur sakit telinga dan melaporkan tiada perbezaan antara kumpulan, tetapi bukti sangat tidak pasti. Dua kajian mengukur kehilangan pendengaran, tetapi bukti sangat tidak pasti.
Apakah batasan bukti?
Terdapat beberapa batasan dengan kajian. Sebagai contoh, keputusan berbeza secara meluas antara kajian, terdapat sejumlah kecil orang disertakan, terdapat kekurangan data terkini dan maklumat terhad tentang kumpulan orang yang lebih berkemungkinan menghidap otitis media supuratif kronik .
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Ini adalah kemas kini pertama ulasan diterbitkan pada 2020. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Dikemaskini. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).