Langkau ke kandungan utama

Apakah kebaikan dan kemudaratan antibiotik yang diberikan terus ke dalam telinga dibandingkan antibiotik yang diberikan pada seluruh badan untuk merawat otitis media supuratif kronik ?

Mesej utama

– Antibiotik quinolone topikal (diberikan terus ke dalam telinga) mungkin sedikit lebih berkesan daripada antibiotik sistemik (diberikan pada seluruh badan) dalam menyelesaikan discaj telinga.

– Kami tidak tahu sama ada antibiotik topikal atau sistemik yang lebih baik untuk meningkatkan pendengaran.

Apakah otitis media supuratif kronik ?

Otitis media supuratif kronik, juga dikenali sebagai otitis media kronik, ialah peradangan dan jangkitan pada telinga tengah yang berlangsung selama dua minggu atau lebih. Orang dengan otitis media supuratif kronik biasanya mengalami discaj berulang atau berterusan (cecair yang keluar dari lubang atau koyakan pada gegendang telinga) dan kehilangan pendengaran.

Antibiotik (ubat yang melawan jangkitan bakteria) adalah rawatan yang paling biasa untuk otitis media supuratif kronik. Antibiotik boleh:

– digunakan pada bahagian badan (setempat) dalam bentuk titisan, semburan, salap, atau krim (antibiotik topikal); atau

– merawat seluruh badan (antibiotik sistemik) apabila disuntik atau diambil secara oral (melalui mulut).

Apakah maklamat tujuan ulasan ini?

Kami menyasarkan untuk mengetahui sejauh mana keberkesanan bentuk topikal dan sistemik bagi antibiotik yang sama, atau satu antibiotik topikal berbanding antibiotik sistemik berbeza, pada orang dengan otitis media supuratif kronik, dan sama ada ia menyebabkan kesan tidak diingini . Khususnya, kami ingin mengetahui sama ada antibiotik topikal atau sistemik menghentikan discaj telinga, dan sama ada ia menjejaskan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan (ukuran kepuasan seseorang terhadap kehidupan dan kesihatan mereka), atau pendengaran. Kami juga ingin mengetahui sama ada ianya menyebabkan kesakitan, ketidakselesaan, atau kerengsaan dalam telinga; kesan yang tidak diingini seperti pening atau perdarahan telinga; atau sebarang komplikasi serius. Kami telah membanding dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan ketekalan keputusan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Ini adalah kemas kini ulasan yang telah diterbitkan pada 2021. Kemas kini tidak menemui kajian baharu. Secara keseluruhan, kami menemui enam kajian yang melibatkan 445 orang.

Titisan telinga quinolone berbanding tablet quinolone oral

Empat kajian (325 orang) dinilai dalam perbandingan ini. Berbanding dengan quinolone oral, titisan telinga quinolone mungkin meningkatkan sedikit kebarangkalian kesembuhan discaj telinga setelah satu hingga dua minggu (2 kajian, 210 orang). Tiga kajian (265 orang) melaporkan bahawa mereka tidak mengesyaki ototoksisiti (apabila seseorang mengalami masalah pendengaran atau keseimbangan disebabkan oleh ubat) pada mana-mana orang, tetapi tidak jelas bagaimana ini diukur, jadi bukti sangat tidak pasti. Tiada kajian melaporkan sakit telinga, komplikasi serius atau kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan. Tiada kajian melaporkan keputusan untuk pendengaran, walaupun ia diukur dalam tiga kajian.

Titisan telinga quinolones berbanding aminoglikosida yang disuntik

Empat kajian (60 orang) dinilai dalam perbandingan ini. Kehilangan discaj telinga tidak diukur pada satu hingga dua minggu. Kajian itu tidak melaporkan sebarang "kesan sampingan", yang kami anggap bermakna tiada sakit telinga, ototoksisiti atau komplikasi serius, tetapi bukti sangat tidak pasti. Bukti sangat tidak pasti untuk pendengaran.

Kami tidak tahu sama ada ubat titis quinolone lebih baik atau lebih buruk daripada aminoglikosida yang disuntik untuk merawat otitis media supuratif kronik . Hanya satu kajian yang mengkajinya dan memberikan bukti yang tidak mencukupi.

Titisan telinga quinolones berbanding penisilin oral dengan asid clavulanic (perencat beta-laktamase)

Kami tidak tahu sama ada ubat titis telinga ofloxacin adalah lebih baik atau lebih buruk daripada asid amoxicillin-clavulanic oral untuk merawat otitis media supuratif kronik . Hanya satu kajian yang mengkajinya dan memberikan bukti yang tidak mencukupi. Tidak ada kajian yang melaporkan maklumat mengenai kesan rawatan yang berbeza ke atas discaj telinga setelah empat minggu atau kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan.

Apakah batasan bukti?

Kami memerlukan lebih banyak maklumat tentang pelbagai jenis antibiotik topikal. Kami memerlukan lebih banyak bukti daripada kajian yang direka dengan baik untuk dapat membandingkan kesan antibiotik topikal dan sistemik pada aspek seperti kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan atau sakit telinga . Kami juga memerlukan lebih banyak maklumat tentang kesan yang memudaratkan . Terdapat kekurangan data terkini dan maklumat yang terhad tentang kumpulan orang yang lebih berkemungkinan menghidap otitis media supuratif kronik atau antibiotik berbeza .

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga Jun 2022.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Dikemaskini. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Petikan
Chong LY, Head K, Webster KE, Daw J, Strobel NA, Richmond PC, Snelling T, Bhutta MF, Schilder AGM, Brennan-Jones CG. Topical versus systemic antibiotics for chronic suppurative otitis media. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 6. Art. No.: CD013053. DOI: 10.1002/14651858.CD013053.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan