Kebanyakan orang akan mengalami satu atau lebih episod selsema biasa setiap tahun. Selsema biasa adalah salah satu sebab orang ramai kecuali di negara berpendapatan rendah menggunakan antibiotik, lebih lebih lagi jika hingus yang keluar dari hidung mereka berwarna (radang hidung bernanah). Namun begitu, selsema biasa disebabkan oleh virus, yang mana antibiotik tidak memberi manfaat, manakala antibiotik pula boleh menyebabkan kesan sampingan termasuk cirit-birit. Penggunaan antibiotik yang berlebihan akan menyebabkan bakteria membentuk rintangan terhadap antibiotik.
Untuk mengetahui samada antibiotik berkesan untuk selsema biasa, kami telah mengenal pasti kajian-kajian yang membandingkan sekumpulan orang yang mengambil antibiotik dengan sekumpulan orang yang lain yang mengambil ubat yang kelihatan serupa tetapi tidak mengandungi antibiotik (plasebo). Kami menjumpai enam kajian tentang selsema biasa dengan jumlah peserta seramai 1147 orang dan lima kajian tentang radang hidung bernanah dengan jumlah peserta seramai 791 orang. Kebanyakan kajian mengandungi kelemahan yang boleh menyebabkan keputusan berat sebelah, terutamanya kerana kebanyakan peserta berkemungkinan mengalami jangkitan dada atau sinus yang tidak diketahui oleh para pengkaji.
Hasil keputusan mendapati bahawa antibiotik tidak berkesan samada untuk selsema biasa mahupun untuk radang hidung bernanah dan kebanyakan orang terjejas oleh kesan sampingan antibiotik.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Ahmad Sobri Ahmad Shukri (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.