Mesej utama
-
Oleh sebab kekurangan bukti yang kukuh, faedah dan risiko menambahkan kemoterapi terus ke dalam rongga perut (kemoterapi intraperitoneal, atau IPC) untuk kanser perut adalah kurang jelas.
-
IPC digabungkan dengan pembedahan boleh membantu orang yang menghidap kanser perut hidup lebih lama, baik pada mereka yang berisiko tinggi untuk menyebarkan kanser dan pada mereka yang disahkan tersebar ke perut. IPC mungkin tidak memberi kesan kepada komplikasi tertentu seperti kebocoran di mana perut disambungkan semula selepas pembedahan (kebocoran anastomotik). Namun, kami sangat tidak pasti mengenai hasil ini, dan hasil keselamatan dan kesejahteraan kurang dilaporkan.
-
Lebih banyak penyelidikan yang berkualiti tinggi, terutamanya dari negara-negara bukan Asia, diperlukan untuk lebih memahami keberkesanan dan keselamatan IPC.
Apakah kanser perut dengan metastasis peritoneal, dan bagaimana ia boleh dirawat?
Kanser perut (kanser gastrik) adalah salah satu jenis kanser yang paling biasa di seluruh dunia. Apabila ditemui lebih awal dan terhad pada perut, kanser peringkat awal itu dirawat dengan pembedahan untuk membuang tumor sepenuhnya (pembedahan radikal).
Kadang-kadang, kanser perut merebak ke rongga perut, yang mengakibatkan keadaan yang disebut metastasis peritoneal. Ini adalah sukar untuk dirawat, dan pembedahan tidak dapat menghilangkan semua kanser. Rawatan bergantung terutamanya pada kemoterapi. Dalam kes-kes tertentu, pembedahan untuk mengurangkan beban tumor (pembedahan sitoreduktif) boleh digunakan.
Kemoterapi standard yang diberikan melalui urat (kemoterapi sistemik) tidak mencapai ke rongga perut dengan berkesan. Untuk memperbaiki rawatan, doktor telah meneroka memberikan kemoterapi terus ke rongga perut (kemoterapi intraperitoneal atau IPC). Kajian awal menggantikan kemoterapi piawai dengan IPC; kajian terkini menambahkan IPC kepada rawatan biasa. Namun, masih tidak jelas sama ada IPC memberikan manfaat atau memudaratkan. Lebih banyak bukti diperlukan untuk membimbing keputusan rawatan.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada IPC boleh membantu orang yang menghidap kanser perut dengan:
-
meningkatkan kelangsungan hidup;
-
melambatkan kemerosotan kanser, seperti berulang atau berkembang; dan
-
meningkatkan kesejahteraan.
Kami juga perlu memeriksa sama ada terdapat sebarang masalah dengan pemberian IPC kepada pesakit kanser perut, seperti:
-
mengakibatkan kesan-kesan yang memudaratkan, termasuk yang serius;
-
mengakibatkan komplikasi seperti kebocoran di mana perut disambungkan semula selepas pembedahan (kebocoran anastomotik), atau jangkitan perut yang serius (abses perut).
Kami meneliti dua kegunaan IPC yang berbeza dalam konteks kemoterapi sistemik, berdasarkan peringkat kanser dan jenis pembedahan.
-
IPC profilaksis: IPC diberikan bersama pembedahan radikal untuk pesakit yang berisiko tinggi mengalami metastasis peritoneal.
-
IPC terapeutik: IPC diberikan bersama dengan pembedahan sitoreduktif untuk pesakit yang disahkan mempunyai metastasis peritoneal.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan IPC dengan tiada IPC di kalangan pesakit yang menjalani pembedahan kanser perut. Kami meringkaskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan terhadap penemuan, berdasarkan reka bentuk kajian, saiz, dan kualiti pelaporan.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui sembilan kajian yang melibatkan 829 orang, kebanyakannya dari China. Tujuh kajian (656 orang) menilai IPC profilaksis, dan dua kajian (173 orang) menilai IPC terapeutik. Tempoh susulan adalah antara 0.2 bulan hingga 83.5 bulan. Lima kajian menerima dana.
Kami sangat tidak pasti terhadap semua hasil disebabkan oleh bukti yang terhad.
-
IPC profilaksis dibandingkan dengan tanpa IPC
-
IPC mungkin membantu pesakit hidup lebih lama (6 kajian, 522 orang).
-
IPC mungkin membawa sedikit atau tiada perbezaan dalam mencegah kanser berulang (1 kajian, 134 orang).
-
IPC boleh membawa sedikit atau tiada perbezaan kepada kebocoran anastomotik (4 kajian, 366 orang) atau abses perut (1 kajian, 105 orang).
-
Tiada kajian yang melaporkan kesan mudarat yang serius, kesejahteraan, atau jumlah kesan sampingan.
-
-
IPC terapeutik dibandingkan tanpa IPC
-
IPC mungkin membantu pesakit hidup lebih lama (2 kajian, 173 orang).
-
IPC boleh membawa sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko kesan mudarat yang serius atau kebocoran anastomotik (1 kajian, 68 orang).
-
Satu kajian mencadangkan bahawa IPC mungkin dapat melambatkan perkembangan kanser (1 kajian, 105 orang).
-
IPC boleh membawa sedikit atau tiada perbezaan terhadap kesejahteraan (1 kajian, bilangan orang yang tidak jelas).
-
Tiada kajian yang melaporkan jangkitan perut atau jumlah kesan sampingan.
-
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Keyakinan kami adalah terhad kerana banyak kajian mempunyai kelemahan, saiz sampel yang kecil, dan sedikit kejadian yang dilaporkan. Di samping itu, kebanyakan kajian tidak melaporkan hasil utama yang kami minati. Hasil ini berkemungkinan tidak menggambarkan hasil daripada semua kajian yang telah dijalankan di kawasan ini, termasuk kajian yang belum mengemukakan hasil-hasilnya.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini setakat 12 Mei 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Pei Kuan Lai (IMU University). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).