Mesej utama
Untuk orang dengan kanser perut, terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup dan kemungkinan kanser itu kembali sama ada limpa dikeluarkan atau disimpan semasa pembedahan untuk mengeluarkan perut. Kami tidak pasti tentang kesan membuang atau menyimpan limpa pada kematian sejurus selepas pembedahan.
Mengeluarkan perut dan limpa mungkin menyebabkan lebih ramai orang mengalami komplikasi selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, kami sangat tidak pasti sama ada mengeluarkan limpa mengubah peluang memerlukan pembedahan lain, atau tempoh tinggal di hospital. Kami tidak menemui bukti mengenai kualiti hidup.
Kajian masa depan harus menyiasat orang dengan tumor di lokasi yang berbeza dan pada tahap keterukan yang berbeza. Mereka patut melihat kualiti hidup dan kesan yang tidak diingini.
Apakah kanser perut?
Kanser perut adalah penyakit di mana sel-sel yang membentuk lapisan dalam perut menjadi tidak normal dan mula membahagi secara tidak terkawal, membentuk jisim yang disebut tumor.
Bagaimanakah kanser perut diuruskan?
Kanser perut di bahagian atas sepertiga perut sering dirawat dengan melakukan pembedahan untuk mengeluarkan perut (gastrektomi penuh). Mengeluarkan limpa pada masa yang sama dengan perut juga menghilangkan kelenjar limfa berhampiran limpa. Semakin banyak nodus kelenjar limfa yang dapat dikeluarkan, semakin tepat doktor dapat menilai tahap mana kanser telah dicapai, yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kelangsungan hidup dengan mengenal pasti orang yang boleh mendapat manfaat daripada terapi tambahan. Pembedahan rutin limpa semasa gastrektomi total adalah kontroversial: ia berpotensi memberi manfaat kepada orang dari segi kelangsungan hidup; sebaliknya, ia juga mungkin tidak mempunyai manfaat dan mungkin dikaitkan dengan kesan yang tidak diingini.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada mengeluarkan limpa semasa pembedahan untuk kanser perut adalah lebih baik atau lebih buruk daripada meninggalkannya di tempatnya. Kami melihat kepada kesan terhadap kelangsungan hidup, kemungkinan kanser kembali, kematian sejurus selepas pembedahan, komplikasi selepas pembedahan, keperluan untuk pembedahan lain, tempoh tinggal di hospital, dan kualiti hidup.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan mengeluarkan limpa berbanding menyimpan limpa semasa gastrektomi penuh. Kajian boleh dilakukan di mana sahaja, dan diterbitkan pada bila-bila masa dan dalam bahasa apa pun. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan penyelidikan tersebut, dan menilai tahap keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemui?
Kami menemui lima kajian dengan 1002 orang dewasa menjalani pembedahan untuk kanser perut. Kajian-kajian dijalankan di Asia dan Amerika Selatan dan diterbitkan antara tahun 1985 dan 2017. Rata-rata, bahagian wanita dalam kajian adalah antara 20% dan 30%. Empat kajian dengan 908 peserta melaporkan tahap tumor. Tiga kajian dengan 736 peserta melaporkan kedalaman dan jenis tumor. Kajian melaporkan hasil berikut: kelangsungan hidup, kemungkinan kanser kembali, kematian sejurus selepas pembedahan, komplikasi selepas pembedahan, keperluan untuk pembedahan lain, dan tempoh tinggal di hospital.
Keputusan utama
Berbanding dengan menyimpan limpa, mengeluarkan limpa semasa pembedahan untuk kanser perut mungkin menyebabkan lebih ramai orang mengalami komplikasi selepas pembedahan. Tidak jelas jika mengeluarkan limpa mempunyai kesan terhadap kematian sejurus selepas pembedahan, kemungkinan memerlukan pembedahan lain, atau tempoh tinggal di hospital. Mengeluarkan limpa mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kelangsungan hidup dan kemungkinan kanser kembali. Tiada kajian melaporkan kualiti hidup.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami tidak yakin dengan bukti kerana ada kemungkinan orang dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka terima, dan tidak semua kajian memberikan maklumat tentang semua yang kami minati. Tambahan pula, beberapa kajian tidak melaporkan dengan jelas bagaimana ia dijalankan, dan tidak ada kajian yang mencukupi untuk kami memastikan keputusan tentang hasil kami.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Februari 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini.Diterjemah oleh Muhammad Hafizuddin Bin Hamzan (Pegawai Pergigian, KKM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




