Mesej utama
-
Secara keseluruhan, kami telah menemui bahawa blok sakit berbeza adalah sama untuk menguruskan sakit selepas pembedahan kanser payu dara.
-
Kadar komplikasi adalah rendah di antara semua teknik blok sakit.
Apakah analgesia sekawasan, dan bagaimana ia berfungsi?
Analgesia sekawasan adalah teknik blok sakit yang digunakan dalam pembedahan kanser payu dara. Ia melibatkan suntikan ubat mengebaskan sakit berhampiran dengan saraf spesifik di dalam kawasan payu dara untuk menghalang isyarat sakit semasa dan selepas pembedahan. Tidak seperti opioid, yang menjejaskan seluruh badan, analgesia sekawasan hanya menyasarkan saraf tertentu. Teknik analgesia sebahagian yang berbeza menyasarkan saraf berbeza, seperti yang ditunjukkan di bawah.
-
Blok paravertebral: berhampiran dengan tulang belakang
-
Blok satah spinae erektor: sepanjang otot belakang
-
Blok saraf pektoral: di kawasan dada
-
Blok satah anterior serratus: berhampiran dengan bahagian tepi dada
Mengapakah ini penting untuk wanita yang menjalani pembedahan kanser payu dara ?
Sakit selepas pembedahan payu dara boleh mengakibatkan masalah, yang membawa kepada penginapan lebih lama di hospital, dan juga mengakibatkan sakit jangka panjang. Opioid, yang biasanya digunakan untuk melegakan rasa sakit, mempunyai kesan-kesan sampingan seperti loya dan muntah. Analgesia sekawasan adalah penting disebabkan ia berkesan untuk mengurangkan sakit sambil mengelakkan risiko berkaitan dengan opioid.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Ulasan ini melihat kepada sejauh mana teknik analgesia sekawasan berfungsi dan sejauh mana ia selamat. Kami telah membandingkan beberapa jenis blok saraf berbeza untuk melihat kesan terhadap tahap sakit dan kemungkinan komplikasi.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian perubatan berkualiti tinggi yang telah membandingkan beberapa jenis blok saraf berbeza untuk pembedahan kanser payu dara. Kami telah menganalisis kesan gabungan sakit dan komplikasi dengan menggunakan kaedah statistik lanjutan. Kami telah menilai blok satah spinae erektor, blok saraf pektoral, dan blok satah anterior serratus kepada blok paravertebral.
Apakah yang kami temui?
Kami telah menyertakan 39 kajian yang melibatkan 2348 wanita. Kajian tersebut telah dijalankan antara 2013 dan 2023. Keputusan hasil tersebut yang paling penting telah diringkaskan di bawah.
-
Untuk mengurangkan sakit semasa berehat dua jam selepas pembedahan, blok saraf pektoral adalah sedikit lebih berkesan berbanding dengan blok paravertebral, tetapi perbezaan ini tidak bermakna secara klinikal. Berbanding dengan blok paravertebral, blok satah spinae erektor adalah sama berkesan, dan blok satah anterior serratus kemungkinan mempunyai keberkesanan yang sama.
-
Untuk mengurangkan sakit semasa pergerakan dua jam selepas pembedahan, blok saraf pektoral mungkin lebih berkesan berbanding dengan blok paravertebral. Blok satah spinae erektor dan blok paravertebral mungkin mempunyai kesan sama.
-
Untuk mengurangkan sakit semasa berehat 24 jam selepas pembedahan, blok saraf pektoral adalah sedikit lebih berkesan berbanding dengan blok paravertebral, tetapi perbezaan ini tidak bermakna secara klinikal. Berbanding dengan blok paravertebral, blok satah spinae erektor dan blok satah anterior serratus adalah sama berkesan.
-
Untuk mengurangkan sakit semasa pergerakan 24 jam selepas pembedahan, berbanding dengan blok paravertebral, blok satah spinae erektor mungkin mempunyai kesan yang sama, blok saraf pektoral mungkin sama berkesan, dan blok satah anterior serratus mungkin sama berkesan, tetapi keputusan terakhir adalah sangat tidak pasti.
-
Untuk mengurangkan sakit semasa berehat 48 jam selepas pembedahan, satu kajian telah melaporkan tiada perbezaan antara blok satah spinae erektor, tetapi keputusan adalah sangat tidak pasti.
-
Untuk mengurangkan sakit semasa pergerakan 48 jam selepas pembedahan, blok saraf pektoral dan blok satah spinae erektor mungkin sama berkesan berbanding dengan blok paravertebral, tetapi kedua-dua keputusan adalah sangat tidak pasti.
-
Dalam tiga kajian yang telah merekodkan komplikasi analgesia sekawasan, tiada komplikasi berlaku.
Secara keseluruhan, kami telah menemui bahawa teknik analgesia sekawasan yang berbeza adalah sama berkesan untuk menguruskan pengurusan sakit, dan kesemuanya mempunyai kadar komplikasi yang rendah.
Apakah batasan bukti?
Sesetengah faktor telah mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertama, beberapa perbandingan telah menyertakan beberapa kajian dan peserta, yang menjadikan keputusan kurang dipercayai. Kedua, kajian kadangkala mempunyai penemuan berbeza, yang menjadikannya lebih sukar untuk membuat kesimpulan yang jelas. Ketiga, kami telah mengecualikan beberapa kajian daripada analisis kami disebabkan kami telah menganggap kajian mereka tidak cukup mantap. Akhir sekali, apabila kajian yang tidak memberikan keputusan, kami telah mengiranya sendiri, di mana yang mungkin menambahkan sedikit ketidakpastian.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini terkini sehingga 6 Jun 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.