Langkau ke kandungan utama

Sejauh manakah ketepatan soal selidik HADS-A dalam mengesan gangguan kebimbangan dalam kalangan orang dewasa?

Mesej utama
Keputusan yang diperolehi oleh kajian-kajian yang dijalankan adalah sangat berbeza di atas sebab yang kami tidak ketahui. Ini mungkin bermakna aplikasi Hospital Depression and Anxiety Scale Anxiety subskala (HADS-A) dalam praktis mungkin lebih baik atau teruk jika diamalkan.
Walau bagaimanapun, berdasarkan gabungan keputusan kajian, dalam praktis, ramai yang akan dilabelkan sebagai positif walhal mereka tidak dan ini mungkin memberi lebih banyak tekanan kepada sistem kesihatan.

Mengapakah pengesanan yang tepat untuk gangguan kebimbangan ini penting?
Gangguan kebimbangan ini adalah agak lazim tetapi kebiasaannya tidak dapat dikesan, walaupun dalam kalangan mereka yang mungkin mendapat manfaat melalui rawatan. Melalui proses saringan, mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan; mereka yang memperolehi keputusan ujian positif dan negatif. Mereka yang mempunyai keputusan ujian positif memerlukan penilaian lanjut. Diagnosis akhir akan dibuat oleh pegawai perubatan yang kompeten. Namun demikian, proses saringan boleh memberikan keputusan yang salah. Kegagalan untuk mengesan gangguan kebimbangan walhal ia wujud dipanggil keputusan negatif palsu. Ini mungkin menyebabkan kehilangan peluang untuk memberi rawatan tepat pada masanya. Keputusan positif palsu merupakan keputusan yang menunjukkan gangguan kebimbangan walhal ia tidak wujud. Ini mungkin membebankan pesakit dan sistem kesihatan awam dengan kebimbangan, ujian lanjut serta rawatan yang tidak perlu. Saringan untuk gejala kebimbangan meliputi keadaan yang berbeza, di mana ia diringkaskan sebagai sebarang gangguan kebimbangan (AAD). Ini termasuklah, antara lain, gangguan kebimbangan umum (GAD) dan gangguan panik. Kami akan melihat tiga situasi dalam ulasan kami.

Apakah subskala ‘HADS-A’?
Hospital Anxiety and Depression Scale (HADS) merupakan suatu soal selidik. Soal selidik ini bertujuan untuk mengesan kebimbangan dan kemurungan dalam kalangan mereka yang mempunya masalah perubatan. Ia mempunyai dua bahagian iaitu: Subskala kemurungan ( HAD-S) dan subskala kebimbangan ( HAD-A). Setiap subskala mempunyai tujuh soalan. Soalan akan dijawab pada skala 0 hingga 3. Selepas semua soalan dijawab, markah akan dijumlahkan untuk mendapatkan jumlah skor. Jumlah markah pada atau melebihi skor tertentu (titik ambang) , mencadangkan kewujudan gangguan kebimbangan. Markah HADS-A yang disyorkan untuk kemungkinan adanya kebimbangan adalah 8 atau lebih tinggi ( manakala, 11 atau lebih untuk kebimbangan yang pasti). HADS-A memberikan keputusan yang mudah dan cepat, maka individu yang mempunyai skor HADS-A yang tinggi boleh dirujuk untuk penilaian selanjutnya.

Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sejauh mana HADS-A dapat mengesan bahawa orang dewasa tersebut mempunyai gangguan kebimbangan atau tidak.

Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menggunakan HADS-A untuk mengesan kebimbangan. Kemudian, kami menggabungkan keputusan kajian-kajian tersebut.

Apakah yang kami temui?
Ulasan ini meliputi keputusan daripada 67 kajian dengan seramai 18, 467 peserta. Lima puluh empat kajian mempunyai maklumat mengenai HADS-A dalam mengesan AAD, 35 kajian mempunyai maklumat mengenai GAD dan 10 mengenai gangguan panik.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Gabungan keputusan untuk AAD sahaja menunjukkan bahawa jikalau HADS-A diberikan kepada 1000 individu dan 170 daripada mereka disahkan mempunyai AAD, maka:
daripada 325 individu yang diuji positif untuk AAD, 199 daripada mereka akan disalah labelkan sebagai AAD ( positif palsu) dan 126 adalah dilabelkan dengan betul ( positif benar).
Daripada 675 individu yang diuji negatif, 44 akan dilabel secara salah sebagai tidak mempunyai AAD ( negatif palsu) dan 631 akan dilabelkan dengan betul negatif ( negatif benar) .

Apakah batasan bukti?
Contoh di atas adalah daripada hasil gabungan semua kajian. Namun demikian, keputusan dalam semua kajian adalah pelbagai. Juga terdapat masalah dengan cara kebanyakan kajian dijalankan. Akhirnya, tidak semua kajian memberikan maklumat yang mencukupi untuk kami rumuskan samada mereka telah melibatkan individu yang mempunyai aduan kesihatan mental. Justeru itu, kami tidak pasti sama ada HADS-A akan sentiasa memberikan keputusan yang sepadan dengan hasil gabungan keputusan kajian.

Sejauh manakan bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 10 Julai 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lim Kah Yen, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Fomenko A, Dümmler D, Aktürk Z, Eck S, Teusen C, Karapetyan S, Dawson S, Löwe B, Hapfelmeier A, Linde K, Schneider A. Hospital Anxiety and Depression Scale Anxiety subscale (HADS-A) for detecting anxiety disorders in adults. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 7. Art. No.: CD015456. DOI: 10.1002/14651858.CD015456.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan