Langkau ke kandungan utama

Adakah rangsangan elektrik bermanfaat untuk meningkatkan kekuatan dan prestasi aktiviti harian selepas strok?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Rangsangan elektrik berkesan dalam meningkatkan kekuatan pada individu yang mengalami kelemahan selepas strok.

  • Apabila seseorang itu kembali memperoleh pergerakan dan mampu mencuba aktiviti seharian, penambahan rangsangan elektrik semasa latihan aktiviti tersebut hanya memberi manfaat yang kecil.

  • Kajian tambahan adalah diperlukan untuk membandingkan rangsangan elektrik bagi kelemahan dengan rawatan kekuatan yang lain.

Apakah rangsangan elektrik?

Dalam rangsangan elektrik, pad yang dipanggil elektrod diletakkan di kulit dan disambungkan ke mesin kecil untuk menghantar arus elektrik ke otot supaya otot mengecut.

Bagaimanakah rangsangan elektrik digunakan selepas strok?

Rangsangan elektrik boleh digunakan dalam dua cara selepas strok. Rangsangan elektrik kitaran (CES) boleh digunakan pada otot yang lemah untuk meningkatkan kekuatan otot. Rangsangan elektrik berfungsi (FES) boleh digunakan pada otot semasa melakukan sesuatu aktiviti untuk meningkatkan prestasi aktiviti tersebut.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada CES adalah lebih baik daripada tiada rawatan atau rawatan kekuatan lain untuk meningkatkan kekuatan otot, dan jika FES adalah lebih baik daripada tiada rawatan atau latihan aktiviti yang sama tanpa rangsangan untuk meningkatkan prestasi aktiviti tersebut. Kami juga ingin mengetahui kesan rangsangan elektrik terhadap penyertaan dalam komuniti dan kualiti hidup, dan jika ia dikaitkan dengan sebarang kesan tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang meneliti kesan CES atau FES pada orang dewasa selepas strok. Kami kemudian membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 89 kajian yang melibatkan sejumlah 2905 orang dewasa yang pernah mengalami strok. Tiga puluh empat kajian dengan 1176 peserta meneliti CES, dan 55 kajian dengan 1729 peserta meneliti FES.

  • Dalam 23 kajian, CES menunjukkan manfaat sederhana dalam kekuatan otot berbanding tanpa rawatan. Dua puluh daripada kajian ini juga menunjukkan peningkatan dalam prestasi aktiviti seharian, seperti mencapai objek atau berjalan.

  • Hanya satu kajian membandingkan CES dengan rawatan kekuatan lain, dan keputusannya adalah tidak jelas.

  • Dalam 12 kajian, FES menunjukkan peningkatan sederhana dalam keupayaan untuk melakukan aktiviti berbanding tanpa rawatan.

  • Dalam 35 kajian, FES hanya menunjukkan sedikit manfaat tambahan berbanding latihan aktiviti yang sama tanpa rangsangan.

  • Banyak kajian tidak melaporkan sama ada orang mengalami kesan tidak diingini daripada rangsangan elektrik. Bagi yang melaporkan, hanya sedikit kesan tidak diingini dilaporkan, dan tiada yang serius.

  • Sangat sedikit kajian meneliti sama ada rangsangan elektrik meningkatkan penyertaan dalam komuniti atau kualiti hidup. Oleh itu, kami tidak dapat mengatakan sama ada ia mempunyai kesan terhadap hasil tersebut.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami yakin sehingga sederhana yakin bahawa CES berkesan berbanding tanpa rawatan, dan FES berkesan berbanding tanpa rawatan, tetapi FES hanya sedikit lebih baik berbanding latihan sahaja. Di mana tahap keyakinan kami terhadap bukti hanya sederhana, hal ini disebabkan oleh bilangan peserta yang kecil dalam kajian tersebut.

Kami hanya sederhana yakin bahawa CES dan FES tidak menyebabkan kesan tidak diingini, kerana tidak banyak kajian melaporkan maklumat ini.

Kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap bukti untuk CES berbanding dengan bentuk kekuatan yang lain disebabkan oleh bilangan kajian yang kecil dalam perbandingan ini. Kami juga mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap bukti kesan rangsangan elektrik terhadap penyertaan dalam komuniti dan kualiti hidup, kerana hasil ini sering tidak dipertimbangkan.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Wilfred Mok Kok Hoe (Institut Kesihatan Negara). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Scrivener K, Ada L, Glinsky JV, Dorsch S, Jamieson S, Brighton-Hall SM, McCredie L, Hanekom A, Lannin NA. Electrical stimulation of the motor system after stroke. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 12. Art. No.: CD015338. DOI: 10.1002/14651858.CD015338.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan