Mesej utama
-
Orang yang mengalami strok boleh mengambil bahagian dalam program senaman yang melibatkan latihan kekuatan otot secara selamat.
-
Melalui latihan kekuatan otot, orang yang mengalami strok dapat meningkatkan kekuatan otot dan meningkatkan keseimbangan.
Apakah strok?
Strok berlaku apabila bekalan darah ke bahagian otak terganggu, dan ini menyebabkan kerosakan di beberapa kawasan otak. Kesan strok boleh mengubah hidup dan berbeza-beza bergantung pada keterukan kerosakan dan di mana ini berlaku di otak. Kesan strok boleh bersifat fizikal dan psikologi, bukan sahaja mempengaruhi kemampuan bergerak, tetapi juga secara seseorang berfikir, berkelakuan, dan merasakan. Kesan ini boleh berterusan sepanjang hayat selepas strok. Salah satu kesan fizikal strok ialah kecergasan aerobik dan kekuatan otot boleh menurun; ini menjadikan pergerakan fizikal lebih sukar, dan ini boleh menyekat aktiviti harian yang bermakna.
Apa yang berlaku semasa pemulihan selepas strok?
Selepas strok, ramai pesakit akan menerima pemulihan, misalnya, dari ahli fisioterapi atau profesional kesihatan yang lain untuk membantu mengatasi masalah fizikal dengan aktiviti seharian. Terapi ini boleh melibatkan pelbagai jenis senaman dan ini boleh termasuk latihan kekuatan. Jenis senaman ini, yang juga disebut 'latihan rintangan', boleh melibatkan mengangkat berat atau menarik rintangan elastik. Latihan kekuatan dapat meningkatkan kecergasan dengan menguatkan otot yang penting untuk aktiviti seperti mengangkat objek, berdiri, atau berjalan. Pesakit juga boleh dinasihatkan untuk melakukan senaman di rumah. Oleh itu, proses pemulihan biasa selepas strok boleh melibatkan unsur-unsur latihan kekuatan otot.
Apakah yang ingin diketahui?
Oleh kerana kekuatan otot sering rendah selepas strok, latihan kekuatan dapat meningkatkan kecergasan dan mengurangkan kesan masalah fizikal selepas strok yang timbul daripada ini.
Kami ingin mengetahui sama ada latihan kekuatan otot bermanfaat pada bila-bila masa selepas strok - sama ada lebih awal, di hospital atau kemudian, selepas pulang ke rumah. Secara khusus, kami ingin menentukan sama ada latihan kekuatan selepas strok selamat, sama ada ia meningkatkan kekuatan otot, meningkatkan pergerakan (termasuk berjalan dan keseimbangan), mengubah cara orang merasakan (termasuk kemurungan, kualiti hidup) dan sama ada ia mengurangkan peluang mengalami strok lain.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang menguji senaman kekuatan pada orang selepas strok. Kami hanya memasukkan kajian jika program senaman yang terlibat hanya berdasarkan latihan kekuatan otot; kami mengecualikan kajian jika mereka melibatkan jenis latihan yang lain seperti latihan aerobik (senaman memerlukan udara). Kami membanding dan merumus keputusan kajian-kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan beberapa faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 27 kajian yang melibatkan 1004 orang dengan strok, yang kebanyakannya dapat berjalan secara independent. Sebilangan besar program latihan kekuatan bermula lebih dari enam bulan selepas strok, dan kebanyakannya pendek (kurang dari 12 minggu). Program latihan kekuatan boleh diselesaikan oleh kebanyakan orang; program-program ini menggunakan pelbagai jenis peralatan senaman, seperti mesin senaman, tali elastik atau hanya berat badan untuk memberikan rintangan.
Keputusan utama
Peserta boleh mengambil bahagian dalam program senaman kekuatan tanpa meningkatkan peluang kecederaan atau masalah kesihatan. Kami tidak tahu sama ada senaman kekuatan melindungi daripada kemungkinan kematian atau strok lain dalam jangka pendek atau jangka panjang.
Latihan kekuatan jelas meningkatkan kekuatan otot di kaki dan lengan. Latihan kekuatan boleh meningkatkan keseimbangan. Ini penting kerana kurang kemungkinan orang yang mengalami strok, jatuh. Terdapat sedikit atau tiada kesan pada kelajuan berjalan yang disukai dan selesa, mungkin kerana, walaupun latihan mungkin menguatkan kaki, ia tidak melibatkan tindakan berjalan. Kami tidak dapat membuat kesimpulan mengenai kesan latihan kekuatan terhadap ukuran keseluruhan kecacatan (bagaimana kita menyelesaikan aktiviti kehidupan seharian).
Tidak banyak yang diketahui mengenai faedah psikologi walaupun ini penting bagi orang yang menghidap strok. Walau bagaimanapun, data kami menunjukkan bahawa latihan kekuatan mungkin mengurangkan kemurungan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kebanyakan kajian melibatkan orang yang boleh berjalan. Ini bermakna sedikit yang diketahui mengenai orang dengan strok yang mempunyai mobiliti yang lebih terhad.
Kebanyakan kajian dilakukan di negara-negara perindustrian berpendapatan tinggi. Ini bermakna sedikit yang diketahui mengenai wilayah yang lain di dunia.
Terdapat banyak ketidakpastian dan bukti yang tidak mencukupi mengenai kesan latihan kekuatan.
Adakah bukti ini yang terkini?
Kajian ini mengemas kini bukti dari versi sebelum ulasan ini (yang dalam format yang berbeza menggabungkan tiga program berasingan). Bukti ini dikemas kini sehingga Januari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.