Mesej utama
Berbanding dengan plasebo (rawatan dummy), antibiotik boleh sedikit mengurangkan sakit belakang dan boleh mempunyai kesan yang baik dalam meningkatkan kekurangan upaya dalam jangka pendek pada orang dengan sakit belakang yang berkaitan dengan plat belakang yang rosak (lapisan antara cakera dan vertebra) dan pecah cakera. Adalah tidak jelas jika antibiotik meningkatkan risiko kejadian yang tidak diingini dan kejadian serius yang tidak diingini dibandingkan dengan plasebo.
Kita memerlukan kajian jangka panjang yang lebih berkualiti tinggi untuk mengesahkan faedah dan bahaya antibiotik. Kajian masa depan harus meneroka pelbagai jenis antibiotik, cara alternatif untuk menyampaikannya (seperti suntikan), dan populasi di pelbagai bahagian dunia untuk mengambil kira ketahanan antibiotik.
Apakah sakit belakang dan sakit radikula?
Sakit belakang adalah sakit atau ketidakselesaan di kawasan antara bahagian bawah tulang rusuk dan lipatan di bawah punggung. Sakit radikular lumbar, kadang-kadang dikenali sebagai sciatica atau radikulopati, merujuk kepada sakit yang merebak ke kaki dari belakang. Penyebab sakit radikula yang paling biasa adalah kerengsaan akar saraf di tulang belakang lumbar (lima vertebra bawah). Sakit belakang dan radikula boleh mengehadkan kemampuan orang untuk bekerja, menikmati hobi, dan kekal mandiri.
Bagaimanakah sakit belakang dan sakit radikula dirawat?
Terdapat banyak rawatan yang tersedia untuk sakit belakang dan sakit radikula, termasuk pendidikan, penjagaan diri, ubat tahan sakit, dan fisioterapi. Beberapa kajian menunjukkan bahawa sakit belakang dan sakit radikula boleh berpunca daripada jangkitan pada cakera tulang belakang yang disebabkan oleh bakteria Cutibacterium acnes (C. acnes), yang biasanya ditemui pada kulit manusia dan paling terkenal dengan peranannya dalam jerawat. Atas sebab ini, sesetengah pakar berpendapat bahawa rawatan antibiotik untuk C. acnes (cth. Penisilin) boleh memperbaiki sakit belakang, sakit radikula, atau kedua-duanya.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada antibiotik lebih baik daripada plasebo (rawatan dummy) atau rawatan yang lain untuk mengurangkan sakit dan kekurangan upaya yang berkaitan dengan belakang, dan sama ada antibiotik ini mempunyai kesan yang tidak diingini, pada orang yang mengalami sakit belakang, sakit radikula, atau kedua-duanya.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang menyiasat antibiotik berbanding dengan plasebo pada orang yang mengalami sakit belakang, sakit radikula, atau kedua-duanya. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemui?
Kami memasukkan tiga kajian dengan 402 orang (kebanyakannya wanita); umur purata antara 45 tahun dan 51 tahun. Kajian-kajian ini berlaku di Denmark, Belgium, dan Norway.
Keputusan utama
Berbanding dengan plasebo, antibiotik boleh sedikit memperbaiki sakit belakang selepas 12 hingga 14 minggu pada orang dengan sakit belakang yang berkaitan dengan pecah cakera dan kerosakan pada hujung vertebra (lapisan antara cakera dan vertebra). Dua kajian mengukur hasil ini pada 255 peserta. Rata-rata, orang yang mengambil antibiotik menilai sakit mereka sebagai 50.6 daripada 100, berbanding dengan 59 daripada 100 dalam kalangan mereka yang mengambil plasebo.
Berbanding dengan plasebo, antibiotik boleh mengakibatkan penambahbaikan kecil hingga sederhana dalam kekurangan upaya berkaitan belakang selepas 12 hingga 14 minggu pada orang dengan sakit belakang yang berkaitan dengan pecah cakera dan kerosakan pada hujung vertebra (2 kajian, 255 peserta). Rata-rata, orang yang mengambil antibiotik menilai kekurangan upaya berkaitan belakang mereka sebagai 45.2 daripada 100, berbanding dengan 55.7 daripada 100 dalam kalangan mereka yang mengambil plasebo (2 kajian, 255 peserta).
Kami tidak tahu sama ada orang yang mengambil antibiotik lebih cenderung mengalami sebarang kesan yang tidak diingini berbanding dengan mereka yang mengambil plasebo (2 kajian, 262 peserta). Dalam kajian ini, 76 daripada setiap 100 orang yang mengambil antibiotik melaporkan mengalami kesan yang tidak diingini, berbanding dengan 49 daripada 100 orang yang mengambil plasebo, tetapi kami sangat tidak pasti mengenai keputusan ini.
Kami tidak tahu sama ada orang yang mengambil antibiotik lebih cenderung mengalami kesan tidak diingini yang serius berbanding dengan mereka yang mengambil plasebo (2 kajian, 262 peserta). Dalam kajian ini, tiga daripada setiap 100 orang yang mengambil antibiotik melaporkan kesan serius yang tidak diingini, berbanding dengan dua daripada setiap 100 orang yang mengambil plasebo, tetapi kami sangat tidak pasti mengenai keputusan ini.
Kesan tidak diingini yang dilaporkan oleh orang yang mengambil antibiotik adalah seperti sakit perut, cirit-birit, peningkatan kentut atau sendawa, ruam, dan jangkitan kulat.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kesan antibiotik pada sakit belakang dan kekurangan upaya yang berkaitan dengan belakang, dan kami tidak yakin dengan bukti berkaitan kesan tidak diingini dan kesan tidak diingini yang serius. Isu utama adalah keputusan yang sangat berbeza-beza, dan kajian hanya menguji satu jenis antibiotik pada orang dari satu bahagian (Scandinavia).
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 26 Ogos 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Muhammad Hafizuddin Bin Hamzan, Pegawai Pergigian, KKM. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




