Mesej utama
– Adalah tidak jelas sama ada merawat orang dengan masalah penggunaan opiod di tetapan penjagaan primer berbanding klinik pakar membuat perbezaan dalam pengekalan dalam program rawatan atau kesan tidak diingini yang utama Pengurusan penjagaan primer boleh menyebabkan pengurangan yang lebih besar terhadap pengambilan opioid tanpa preskripsi.
– Keyakinan dalam dapatan ini adalah rendah atau sangat rendah, sebahagian besarnya adalah kerana penglibatan klinik penjagaan primer dan pesakit yang agak tidak tipikal —yang menjadikannya sukar untuk menyamaratakan dapatan kami kepada kebanyakan amalan penjagaan primer dan kebanyakan orang dengan masalah penggunaan opioid.
Apakah masalah penggunaan opioid?
Sesetengah ubat opioid ditetapkan untuk merawat rasa sakit (contohnya, morfin, oksikodon, hidromorfon), tetapi ubat opiod yang lain boleh dikilangkan dan digunakan secara haram (contohnya, heroin dan fentanyl, walaupun fentanyl juga tersedia melalui preskripsi). Masalah penggunaan opioid ialah apabila penghidap berulang kali menggunakan ubat opioid dengan cara yang boleh menimbulkan risiko bahaya kepada diri sendiri atau orang lain, selalunya kerana mereka mempunyai gejala seperti keinginan terhadap opioid atau gejala penarikan semula opioid (yang boleh merangkumi gejala seperti cemas, berpeluh, sakit otot, masalah tidur, berasa tidak sihat, sakit perut, dan kemurungan).
Bagaimanakah masalah penggunaan opioid dirawat?
Masalah penggunaan opioid biasanya dirawat di klinik pakar di mana pelbagai saluran rawatan sering tersedia. Ianya boleh berpotensi melibatkan 'detoksifikasi' (bantuan semasa menjalani penarikan semula daripada ubat), kaunseling, dan perkhidmatan sokongan (sebagai contoh, sokongan dengan perumahan, pekerjaan, atau isu undang-undang). Walau bagaimanapun, rawatan utama adalah melibatkan ubat-ubatan — yang selalunya adalah pemberian opioid berpanjangan yang memberikan kesan yang serupa dengan opioid yang lain (contohnya, metadon), atau kesan yang disenyapkan (sebahagian) (contohnya, buprenorfin). Apabila opioid bertindak panjang diberikan untuk tujuan ini, ia dirujuk sebagai terapi agonis opioid.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin tahu adakah pemberian terapi agonis opioid melalui klinik penjagaan primer, dan bukannya di klinik pakar, memberikan keputusan yang serupa atau lebih baik bagi penghidap masalah penggunaan opioid. Secara khususnya, kami ingin mencari perbezaan sama ada para penghidap:
– meneruskan rawatan ('pengekalan dalam rawatan ');
– mengelakkan penggunaan opioid ('berhenti mengambil opioid tanpa preskripsi');
– mempunyai kesan tidak diingini yang utama (seperti kematian atau kemasukan ke hospital);
– meninggalkan kajian disebabkan oleh kesan yang tidak diingini;
– mempunyai penambahbaikan kualiti hidup;
– mempunyai pertambahan dalam kepuasan pesakit;
– meninggal dunia atas apa jua sebab;
– meninggal dunia disebabkan oleh opioid (contohnya, dos berlebihan);
– telah dimasukkan ke hospital atau bilik kecemasan atas apa jua sebab;
– telah dipenjarakan atas apa jua sebab (iaitu, dimasukkan ke dalam penjara); dan
– mengalami kesan sampingan kecil yang tidak diingini (sebagai contoh, gejala penarikan semula).
Mengapakah kami fikir perkara ini mungkin bermanfaat?
Klinik penjagaan primer tersedia di pelbagai kawasan, yang menjadikannya berpotensi lebih mudah diakses. Stigma sosial mungkin berkurangan apabila seseorang dilihat menghadiri klinik penjagaan primer, dan menghadiri klinik penjagaan primer secara berkala boleh memberikan peluang yang lebih besar untuk perbincangan dan rawatan untuk pelbagai keadaan perubatan yang tidak berkaitan dengan gangguan penggunaan opioid.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan penghidap masalah penggunaan opioid yang menerima terapi opioid agonis dalam tetapan penjagaan primer dengan yang dalam tetapan penjagaan klinik pakar. Kami menilai kualiti kajian dan merumuskan keputusan mereka.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui tujuh kajian dengan 1952 orang dewasa yang menghidap masalah penggunaan opioid yang rawatannya diuruskan sama ada di tetapan penjagaan primer atau pakar. Lima kajian telah dijalankan di AS, satu di Perancis, dan satu di Ukraine. Purata umur peserta adalah 38 tahun, dan tiga daripada setiap empat adalah lelaki. Kajian-kajian tersebut mengecualikan orang yang 'berisiko tinggi' seperti mereka yang hamil, tiada tempat tinggal, ketagihan alkohol, atau didiagnosis dengan masalah kesihatan mental yang lain .
Adalah tidak jelas sama ada pengekalan dalam program rawatan berbeza antara kumpulan (7 kajian, 1952 orang). Pesakit yang diuruskan dalam tetapan penjagaan primer lebih berkemungkinan mengelak pengambilan opioid bukan preskripsi (5 kajian, 428 orang), dan ianya tidak jelas sama ada terdapat sebarang perbezaan dalam kesan utama yang tidak diingini (1 kajian, 93 orang).
Pesakit yang dirawat di penjagaan primer mungkin lebih berpuas hati dengan penjagaaan mereka berbanding mereka yang dirawat dalam penjagaan pakar, tetapi masih tiada perbezaan yang jelas dalam kualiti hidup, kematian oleh apa jua sebab, dan kesan sampingan kecil yang tidak diingini. Tiada maklumat tentang langkah-langkah lain yang ingin kami telitikan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kepastian kami terhadap bukti secara keseluruhannya adalah rendah, sebahagian besar kerana orang dan klinik penjagaan primer adalah berbeza-beza. Penghidap cenderung untuk berisiko rendah dan lebih stabil berbanding umum, dan klinik penjagaan primer selalunya telah mempunyai pengalaman terdahulu dengan masalah penggunaan opioid, atau hubungan dengan klinik pakar yang mungkin tidak tersedia dengan meluas. Tidak jelas sama ada keputusan ini boleh digunapakai kepada kebanyakan orang dengan gangguan penggunaan opioid (sebahagian daripadanya boleh kurang stabil dan risiko lebih tinggi), dan kebanyakan penyedia penjagaan primer (sebahagian daripadanya boleh tiada atau sedikit pengalaman dalam merawat gangguan penggunaan opioid).
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 7 Mac 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Noor Aini binti Mansor (Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Kota Setar/Pendang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).