Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah manfaat dan mudarat ubat yang digunakan untuk merawat tekanan darah yang sedikit tinggi?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Dalam kalangan orang dengan tekanan darah tinggi sedikit tetapi tiada penyakit kardiovaskular (misalnya serangan jantung) atau risiko kesihatan lain yang berkaitan (cth. diabetes), ubat penurun tekanan darah mungkin tidak mengurangkan risiko kematian atau mendapat penyakit kardiovaskular utama (jantung dan saluran darah).

  • Ubat penurun tekanan darah mungkin mengurangkan risiko strok, tetapi mungkin juga meningkatkan risiko kesan tidak diingini yang mengakibatkan penarikan diri dari kajian.

  • Penyelidikan tambahan adalah diperlukan untuk memahami kesan ubat penurun tekanan darah dalam kalangan orang dengan tekanan darah tinggi sedikit tanpa penyakit kardiovaskular atau risiko berkaitan kesihatan lain (cth. diabetes).

Apakah hipertensi?

Hipertensi adalah tekanan darah tinggi yang konsisten.

Bagaimana hipertensi dirawat?

Bergantung kepada keterukan hipertensi individu dan keadaan perubatan lain yang mereka alami, hipertensi boleh dirawat dengan gaya hidup sihat termasuk pemakanan dan aktiviti fizikal yang kerap. Ubat-ubatan juga lazimnya diberikan.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu manfaat dan risiko ubat-ubatan yang menurunkan tekanan darah yang diberikan dalam kalangan orang dengan hipertensi ringan (tekanan darah sistolik 140 hingga 159 mmHg, tekanan darah diastolik 90 hingga 99 mmHg) dan tiada penyakit kardiovaskular utama (jantung dan saluran darah) atau risiko kesihatan lain yang berkaitan.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian tentang ubat penurun tekanan darah dalam kalangan orang dengan hipertensi ringan untuk mengetahui jika ia menurunkan risiko kematian dan penyakit kardiovaskular utama (termasuk strok dan serangan jantung). Kami juga melihat pada risiko kesan tidak diingini. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami memasukkan lima kajian dengan data peserta individu untuk 9124 orang, 4593 yang menerima ubat penurun tekanan darah dan 4531 yang menerima plasebo (rawatan palsu) atau tiada rawatan. Kami menemui bahawa ubat-ubatan mungkin tidak mengurangkan risiko kematian atau penyakit kardiovaskular utama. Ubat penurun tekanan darah mungkin mengurangkan risiko strok. Salah satu kajian ini juga melihat pada kesan tidak diingini yang mengakibatkan penarikan diri daripada kajian. Walau bagaimanapun, memandangkan kami tidak mempunyai data peserta individu untuk hasil tersebut kami memasukkan semua 17354 peserta daripada kajian tersebut dalam analisis kami. Ubat penurun tekanan darah mungkin meningkatkan risiko kesan tidak diingini yang mengakibatkan penarikan diri dari kajian.

Keputusan utama

Manfaat risiko strok yang lebih rendah dengan ubat tekanan darah bagi orang dengan hipertensi ringan dan tanpa keadaan jantung lain yang meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular perlu ditimbang dengan kesan yang tidak diingini daripada ubat-ubatan ini.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami kurang yakin terhadap bukti kerana kajian tidak meliputi semua orang yang kami minati; kajian adalah sangat kecil; dan tiada kajian yang cukup untuk memastikan keputusannya. Salah satu kajian yang menunjukkan pengurangan risiko strok melihat pada orang dengan penyakit buah pinggang, jadi ia mungkin tidak berkaitan pada semua orang dengan hipertensi ringan. Hanya satu kajian yang melaporkan kesan tidak diingini bagi ubat-ubatan, dan kerana kami tidak mempunyai akses kepada data setiap orang untuk ini, kami terpaksa menggunakan keputusan daripada semua peserta dalam kajian tersebut (bukan hanya mereka yang mempunyai hipertensi ringan dan tiada penyakit kardiovaskular).

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini hingga Jun 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Diterjemah oleh Julie Yeo (Taylor’s University, Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Wang D, Wright JM, Adams SP, Cundiff DK, Gueyffier F, Grenet G, Ambasta A. Pharmacotherapy for mild hypertension. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 4. Art. No.: CD006742. DOI: 10.1002/14651858.CD006742.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan