Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah manfaat dan risiko menurunkan tekanan darah secara lebih intensif berbanding kawalan tekanan darah standard selepas rawatan untuk memulihkan aliran darah pada pesakit yang mengalami strok?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Dalam kalangan orang dewasa yang menjalani rawatan untuk membuka semula arteri otak yang tersumbat, penurunan tekanan darah secara sangat intensif (kebiasaannya di bawah 160 mmHg) tidak meningkatkan peluang untuk hidup berdikari tiga bulan selepas strok berbanding sasaran tekanan darah standard (kebiasaannya di bawah kira-kira 180 mmHg). "Hidup berdikari" bermaksud mampu berjalan dan mengurus kebanyakan aktiviti harian tanpa bantuan.

  • Penurunan tekanan darah secara intensif berkemungkinan meningkatkan risiko kematian dan pemulihan yang kurang baik selepas strok. Perbezaan kejadian pendarahan otak antara strategi penurunan tekanan darah secara intensif dan strategi standard adalah kecil.

  • Kebanyakan peserta dalam kajian-kajian tersebut menerima rawatan di hospital di negara berpendapatan sederhana tinggi dan berpendapatan tinggi yang mempunyai perkhidmatan strok khusus. Kami tidak mengetahui sama ada keputusan ini adalah sama di negara yang mempunyai sumber yang lebih terhad atau dalam semua kumpulan pesakit yang mengalami strok iskemia (akibat penyumbatan saluran darah).

Apakah itu strok iskemia?

Strok berlaku apabila bekalan darah ke sebahagian otak terhenti secara tiba-tiba. Dalam strok iskemia, gangguan ini berlaku apabila bekuan darah menyumbat arteri di otak. Ia boleh menyebabkan pelbagai masalah neurologi, seperti kelemahan, penurunan deria, gangguan koordinasi, dan kesukaran bertutur.

Bagaimanakah strok dirawat?

Doktor kadangkala dapat membuka semula arteri yang tersumbat menggunakan ubat pelarut bekuan darah yang diberikan melalui vena, atau dengan menjalankan prosedur untuk mengeluarkan bekuan darah menggunakan tiub halus yang dimasukkan melalui saluran darah (sering dikenali sebagai trombektomi mekanikal). Rawatan ini dikenali sebagai rawatan reperfusi kerana ia memulihkan aliran darah ke otak.

Selepas reperfusi, ramai pesakit mengalami tekanan darah yang sangat tinggi, yang boleh meningkatkan risiko pendarahan di otak. Walau bagaimanapun, menurunkan tekanan darah terlalu banyak atau terlalu cepat boleh mengurangkan aliran darah ke tisu otak yang masih berisiko, sekali gus membahayakan otak.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada penurunan tekanan darah secara intensif selepas rawatan reperfusi, berbanding kawalan tekanan darah standard:

  • meningkatkan pemulihan dan keupayaan untuk hidup berdikari;

  • meningkatkan kualiti hidup berkaitan kesihatan;

  • meningkatkan kelangsungan hidup;

  • meningkatkan atau mengurangkan risiko pendarahan di otak;

  • mengurangkan tempoh kemasukan ke hospital;

  • mempengaruhi kekerapan kesan sampingan lain.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian klinikal (di mana peserta dibahagikan kepada kumpulan secara rawak) yang melibatkan orang dewasa dengan strok iskemia yang telah menerima rawatan reperfusi menggunakan ubat pelarut bekuan darah, trombektomi mekanikal, atau kedua-duanya, dan membandingkan sasaran tekanan darah yang lebih intensif (kurang daripada 160 mmHg) dengan sasaran standard (kurang daripada 180 mmHg) sejurus selepas reperfusi.

Kami menggabungkan dan merumuskan keputusan daripada kajian-kajian tersebut. Kami juga menilai cara kajian-kajian tersebut dijalankan, bilangan peserta yang terlibat, serta persamaan dan perbezaan antara kajian untuk menentukan tahap keyakinan kami terhadap keputusan yang diperoleh.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui sembilan kajian yang melibatkan 4381 orang dewasa dengan strok iskemia yang telah menerima rawatan reperfusi. Kebanyakan peserta menerima rawatan di hospital di negara berpendapatan tinggi, manakala sebilangan kecil lagi dirawat di hospital di negara berpendapatan sederhana. Tiada satu pun kajian dijalankan di negara berpendapatan rendah. Dalam kebanyakan kajian, strategi intensif bertujuan mengekalkan tekanan darah sistolik (bacaan nombor atas dalam pengukuran tekanan darah) di bawah 140 mmHg, manakala strategi standard bertujuan mengekalkannya di bawah kira-kira 180 mmHg.

Keputusan utama

  • Penurunan tekanan darah secara intensif memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap peluang untuk hidup berdikari kira-kira tiga bulan selepas strok, berbanding kawalan tekanan darah standard.

  • Penurunan tekanan darah secara intensif berkemungkinan memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kualiti hidup berkaitan kesihatan.

  • Perbezaan kejadian pendarahan otak (termasuk pendarahan teruk yang memburukkan gejala) antara strategi penurunan tekanan darah secara intensif dan strategi standard adalah kecil serta tidak pasti.

  • Penurunan tekanan darah secara intensif berkemungkinan meningkatkan risiko kematian dan berkemungkinan meningkatkan kemungkinan pemulihan yang kurang baik selepas strok.

Secara keseluruhan, keputusan menunjukkan bahawa menurunkan tekanan darah ke paras yang sangat rendah selepas reperfusi berkemungkinan tidak memberikan manfaat tambahan dan mungkin memudaratkan sesetengah pesakit, berbanding mengekalkan tekanan darah dalam julat sasaran standard.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Bukti ini mempunyai beberapa batasan penting, seperti bilangan peserta yang agak kecil dalam sesetengah kajian, yang mengurangkan kebolehpercayaan keputusan. Selain itu, kebanyakan peserta menerima rawatan di pusat rawatan khusus di negara berpendapatan sederhana dan tinggi; tiada bukti daripada negara berpendapatan rendah. Sesetengah kumpulan mungkin kurang diwakili (contohnya, warga emas yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan lain), dan banyak kajian tidak melaporkan keputusan secara berasingan mengikut jantina bagi wanita dan lelaki.

Oleh sebab batasan-batasan ini, keputusan tersebut perlu ditafsirkan dengan berhati-hati. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan sama ada kumpulan pesakit tertentu mungkin mendapat manfaat daripada sasaran tekanan darah yang berbeza.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Mac 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Varela LB, Escobar Liquitay CM, Díaz Menai S, Rodriguez JP, Quarteroni E, Ivaldi D, Burgos MA, Meza N, Garegnani LI. Blood pressure management in reperfused ischemic stroke. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 7. Art. No.: CD016085. DOI: 10.1002/14651858.CD016085.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan