Langkau ke kandungan utama

Apakah kesan pengudaraan ayunan berfrekuensi tinggi (jenis pengudaraan mekanikal) dibandingkan dengan pengudaraan konvensional (jenis pengudaraan mekanikal lain) pada bayi yang mengalami masalah paru-paru yang teruk, yang lahir cukup atau hampir cukup ...

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Adalah tidak jelas sama ada penggunaan pengudaraan ayunan berfrekuensi tinggi (HFOV) adalah lebih baik daripada pengudaraan konvensional untuk mengurangkan kegagalan rawatan, kematian atau komplikasi pada bayi yang mengalami disfungsi paru-paru yang teruk.

  • Kajian tambahan yang direkabentuk dengan baik adalah diperlukan untuk melihat keberkesanan HFOV dibandingkan dengan pengudaraan konvensional pada bayi cukup atau hampir cukup bulan (bayi yang dilahirkan selepas hamil pada atau hampir sembilan bulan).

Apakah penyakit paru-paru yang teruk , dan bagaimana ia dirawat?

Masalah paru-paru yang teruk pada bayi-bayi yang baru lahir adalah serius dan boleh menyebabkan kegagalan paru-paru, di mana badan tidak boleh mendapatkan oksigen yang mencukupi dan mengeluarkan karbon dioksida, atau boleh menyebabkan kematian. Rawatan selalunya melibatkan pengudaraan mekanikal. Dalam sesetengah kes, terapi tambahan seperti mesin jantung-paru-paru (dikenali sebagai pengoksigenan membran ekstracorporeal), atau jenis gas perubatan yang disedut (nitrik oksida yang disedut), mungkin diperlukan untuk sokongan fungsi pernafasan.

Apakah pengudaraan konvensional?

Pengudaraan konvensional ialah jenis pengudaraan mekanikal yang digunakan pada bayi yang penyakit paru-paru yang teruk. Ia digunakan untuk menghantar pernafasan kepada paru-paru bayi. Ia boleh beroperasi dalam beberapa mod dengan mengawal samada tekanan atau isipadu yang dihantar. Kadar pernafasan yang digunakan biasanya dari 30 hingga 80 nafas seminit.

Apakah pengudaraan ayunan berfrekuensi tinggi?

Pengudaraan ayunan berfrekuensi tinggi (HFOV) ialah satu lagi jenis pengudaraan mekanikal. Pernafasan yang sangat cepat dan kecil dihantar ke paru-paru pada kadar kira-kira 300 hingga 900 kali seminit.

Apakah yang ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada HFOV lebih berkesan daripada pengudaraan konvensional dalam meningkatkan hasil dan mengurangkan komplikasi, termasuk kematian, pada bayi cukup dan hampir cukup bulan (bayi yang dilahirkan selepas hamil pada atau hampir sembilan bulan) dengan masalah paru-paru yang teruk.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan HFOV dengan pengudaraan konvensional pada bayi-bayi baru lahir, yang lahir hampir atau cukup bulan dengan masalah paru-paru yang teruk . Kami menganalisis dan meringkaskan penemuan kami dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui tiga kajian yang melibatkan sejumlah 368 bayi. Dua kajian telah dilakukan di negara berpendapatan tinggi, dan satu kajian daripada negara berpendapatan sederhana atas. Kajian-kajian diterbitkan antara 1994 dan 2016. HFOV telah digunakan sama ada sebagai rawatan menyelamat apabila kaedah pengudaraan yang lain gagal atau sebagai rawatan awal. Bayi dalam kedua-dua kumpulan rawatan boleh ditukar daripada satu jenis ventilator kepada jenis ventilator yang lain jika rawatan gagal. Dua hasil pertama kami ialah sama ada rawatan gagal pada ventilator yang diberikan pada mulanya dan kematian.

Keputusan utama

Berdasarkan bukti tersedia , kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan mengenai penggunaan HFOV berbanding pengudaraan konvensional pada bayi hampir atau cukup bulan dengan masalah paru-paru yang teruk. Kami sangat tidak pasti tentang kesannya terhadap terapi yang gagal, dan ia mungkin meningkatkan risiko kematian. Kami sangat tidak pasti tentang kesan HFOV terhadap kejadian tusukan paru-paru yang menyebabkan pengumpulan udara tidak normal di dada (pneumothorax) atau pada bilangan hari pada pengudaraan mekanikal. Kajian yang disertakan tidak melaporkan perkembangan, pendengaran, atau penglihatan bayi apabila mereka semakin berumur.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami mempunyai keyakinan yang rendah hingga sangat rendah terhadap bukti. Alasan utama untuk ini ialah orang yang berada di dalam kajian mengetahui rawatan yang telah diterima oleh bayi, yang boleh mempengaruhi keputusan. Di samping itu, kajian adalah sangat kecil, dan tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan keputusannya. Akhir sekali, kajian telah dilakukan terhadap jenis bayi yang berbeza.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 13 Mei 2024. Ulasan ini ialah kemaskini daripada ulasan akhir yang diterbitkan pada tahun 2009.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Siti Aishah Salim (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Phattraprayoon N, Ho JJ, Fiander M, Priyadarshi M. High-frequency oscillatory ventilation versus conventional ventilation for infants with severe pulmonary dysfunction born at or near term. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 11. Art. No.: CD002974. DOI: 10.1002/14651858.CD002974.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan