Langkau ke kandungan utama

Adakah cyproterone acetate berkesan dan selamat untuk merawat pertumbuhan rambut yang tidak diingini dalam kalangan wanita?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

• Tiada perbezaan penting dalam pertumbuhan rambut yang tidak diingini atau paras hormon di antara cyproterone acetate dan kebanyakan rawatan lain yang dibandingkan.

• Terdapat perbezaan dalam impak hormon dari pelbagai jenis ubat yang boleh dijelaskan melalui cara ia berfungsi.

Apakah itu cyproterone acetate?

Pertumbuhan rambut yang tidak diingini di bahagian muka, perut atau dada wanita akibat peningkatan paras hormon seks, yang paling utama ialah testosteron. Hormon ini dihasilkan di dalam ovari. Ubat yang dipanggil cyproterone acetate menurunkan paras testosteron dalam badan dan mengurangkan pertumbuhan rambut yang tidak diingini, tetapi ia ada kesan tidak diingini termasuk penambahan berat badan, kemurungan (rasa sedih), keletihan (rasa penat), payudara bengkak atau sakit, rambut gugur dari kulit kepala dan masalahan dengan aktiviti seksual. Terbaru, rawatan lain telah diperkenalkan, dan ulasan ini melaporkan bukti kajian-kajian yang membandingkan rawatan-rawatan ini.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu sama ada cyproterone acetate lebih baik daripada jenis ubat-ubatan lain dalam mengurangkan pertumbuhan rambut yang tidak diingini, diukur melalui ujian, atau yang dilapor oleh wanita yang menjalani rawatan, dan melalui paras hormon. Kami juga mencatat kesan-kesan tidak diingini dan jika wanita memutuskan untuk berhenti menjalani rawatan.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melihat cyproterone acetate dan jenis ubat lain dalam kalangan wanita dengan kehadiran rambut yang tidak diingini di bahagian muka, perut atau dada. Kami bandingkan dan rumuskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami temui 23 kajian kecil melibatkan 1557 wanita dengan pertumbuhan rambut yang tidak diingini .

Bagi wanita yang perlukan terapi untuk pertumbuhan rambut tidak diingini sama ada akibat yang tidak diketahui atau akibat paras testosteron yang tinggi, tiada bukti menunjukkan perbezaan antara penggunaan cyproterone acetate dan kebanyakan ubat-ubatan lain yang digunakan dalam mengurangkan pertumbuhan rambut, menurunkan paras hormon atau menyebabkan kesan-kesan tidak diingini.

Cyproterone acetate mungkin lebih berkesan selepas enam bulan rawatan berbanding ubat yang dipanggil spironolactone (apabila kedua-dua kumpulan juga menerima ethinylestradiol (hormon wanita yang kerap diguna dalam pil kontraseptif)) dan lebih berkesan pada 24 bulan berbanding ubat yang dipanggil finasteride (apabila kedua-dua kumpulan juga menerima ethinylestradiol). Satu lagi ubat, flutamide, lebih berkesan berbanding cyproterone acetate dalam satu kajian dengan tempoh 12 bulan.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Terdapat perbezaan dalam bilangan wanita yang terlibat, dan masa pengukuran antara kajian-kajian, oleh itu kami tidak dapat membandingkan kajian-kajian ini. Kebanyakan kajian melibatkan bilangan wanita yang sedikit.

Tiada cukup bukti untuk membandingkan kesan-kesan rawatan yang tidak diingini.

Kajian-kajian berskala besar diperlukan untuk memberi hasil yang lebih bermakna. Bukti semasa menyokong penggunaan cyproterone acetate atau spironolactone yang digabung dengan ethinylestradiol sebagai rawatan terbaik untuk pertumbuhan rambut yang tidak diingini.

Adakah bukti ini yang terkini?

Maklumat ini adalah terkini sehingga Disember 2022.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (Universiti Perubatan Antarabangsa). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Matjila MJ, Le Roux PA, van der Spuy ZM. Cyproterone acetate for hirsutism. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 11. Art. No.: CD001125. DOI: 10.1002/14651858.CD001125.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan