Langkau ke kandungan utama

Penapis-penapis

Evidence

Handbooks/Manuals

Berita

Sejauh manakah vaksin virus papilloma manusia berkesan untuk wanita yang telah atau menjalani prosedur pembedahan untuk membuang sel-sel tidak normal dalam serviks, dan adakah ia mempunyai sebarang kesan tidak diingini?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Vaksinasi virus papilloma manusia (HPV) berbanding dengan tanpa vaksinasi HPV pada wanita dengan konisasi (pembuangan kon tisu yang mengandungi sel-sel tidak normal, juga dikenali sebagai biopsi kon) mungkin mengurangkan risiko perubahan sel serviks prakanser (terutamanya CIN 2+).

  • Disebabkan data yang terhad, kami tidak pasti sama ada vaksinasi HPV (diberikan sejurus sebelum, semasa, atau selepas konisasi) berbanding dengan tanpa vaksinasi HPV pada wanita dengan konisasi boleh mempengaruhi risiko kanser serviks atau jangkitan HPV yang berterusan.

  • Kajian berkualiti tinggi selanjutnya diperlukan untuk menilai keberkesanan dan kesan tidak diingini vaksinasi HPV pada wanita dengan konisasi. Kajian ini juga harus mempertimbangkan kumpulan tertentu, seperti wanita yang sebelumnya telah menerima vaksin HPV dan kumpulan umur yang berbeza.

Apakah virus papilloma manusia dan bagaimana ia dirawat?

Kanser serviks (kanser pangkal rahim) adalah kanser keempat paling kerap menyerang wanita di seluruh dunia. Ia disebabkan oleh jangkitan berterusan dengan jenis tertentu virus papilloma manusia (HPV). Walaupun jangkitan HPV adalah biasa dan biasanya sembuh tanpa sebarang masalah, jangkitan HPV yang berterusan boleh berkembang menjadi perubahan sel yang tidak normal dalam serviks (iaitu, keadaan prakanser), yang dipanggil neoplasia intraepitelium serviks (cervical intraepithelial neoplasia, CIN). Keadaan prakanser ini boleh dikelaskan sebagai lesi gred rendah (dipanggil CIN 1) dan lesi gred tinggi (dipanggil CIN 2 dan CIN 3). Walaupun lesi gred rendah biasanya berkurang secara spontan tanpa rawatan, lesi gred tinggi mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk berkembang menjadi kanser serviks. CIN 3 sepadan dengan karsinoma in situ (sel-sel abnormal yang terhad di tempat ia pertama terjadi), dan adenokarsinoma in situ (sel-sel abnormal yang telah berpindah ke kelenjar); adalah diterima meluas bahawa keadaan-keadaan ini berlaku sejurus sebelum kanser serviks.

Terdapat lebih daripada 200 jenis HPV, dan lebih 40 daripadanya menjangkiti kawasan genital. Tujuh daripada 10 kanser serviks disebabkan oleh HPV jenis 16 dan 18. Wanita yang didiagnosis dengan CIN 2 dan CIN 3 biasanya dipertimbangkan untuk konisasi serviks (juga dikenali sebagai biopsi kon), iaitu prosedur pembedahan untuk membuang sel-sel tidak normal bagi mencegah perkembangannya ke kanser serviks.

Di Eropah, terdapat tiga vaksin HPV yang diluluskan: vaksin bivalen (yang melindungi daripada dua jenis HPV), vaksin kuadrivalen (yang melindungi daripada empat jenis HPV), dan vaksin nonavalen (yang melindungi daripada sembilan jenis HPV). Vaksinasi HPV digunakan untuk mencegah kanser serviks, tetapi keberkesanannya untuk wanita dengan konisasi masih belum pasti. Perlu diingatkan, kami menggunakan istilah 'dengan konisasi' secara bergantian untuk merujuk kepada bila-bila masa vaksinasi HPV diberikan sekitar masa prosedur konisasi, iaitu sebelum, semasa, atau selepas prosedur.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sejauh mana vaksinasi HPV berkesan untuk wanita yang telah atau menjalani konisasi untuk membuang lesi serviks prakanser, dan sama ada ia mempunyai sebarang kesan tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian yang menyelidik kesan vaksinasi HPV pada wanita dari sebarang peringkat umur dengan konisasi untuk merawat perubahan sel serviks prakanser yang disebabkan oleh HPV. Kami merumuskan keputusan, menilai kebolehpercayaan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.

Apakah yang ditemui?

Kami menemui 13 kajian yang melibatkan 21,453 wanita dengan konisasi. Kajian-kajian tersebut berbeza-beza dari segi reka bentuk dan kualiti. Kebanyakan kajian dijalankan di Eropah (10 kajian) dan menggunakan vaksin HPV kuadrivalen (tujuh kajian) atau nonavalen (satu kajian). Beberapa kajian memantau wanita selama lebih daripada 60 bulan.

Keputusan utama

  • Vaksinasi HPV berbanding dengan tiada vaksinasi HPV pada wanita dengan konisasi mungkin mengurangkan risiko lesi prakanser. Walau bagaimanapun, keputusan perlu ditafsirkan dengan berhati-hati.

  • Kami tidak pasti sama ada vaksinasi HPV berbanding dengan tanpa vaksinasi HPV pada wanita dengan konisasi mempunyai kesan terhadap kanser serviks dan jangkitan HPV yang berterusan.

  • Tiada data untuk jangkitan HPV baharu, adenokarsinoma in situ, dan kualiti hidup, dan bukti yang selebihnya sebahagian besarnya adalah tidak konklusif.

  • Kesan yang tidak diingini termasuk reaksi ringan (kemerahan dan ruam: 92 dalam setiap 100 wanita; sakit kepala: 8 dalam setiap 100 wanita) dan alahan teruk (1 dalam setiap 100 wanita).

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Bukti tersebut kebanyakannya diperoleh daripada kajian yang mempunyai potensi masalah dengan cara ia dijalankan. Hanya dua kajian direka untuk menghasilkan bukti yang lebih kukuh. Kajian-kajian tersebut tidak memberikan maklumat yang mencukupi untuk mengetahui sama ada vaksinasi HPV terdahulu bermakna yang vaksinasi lain dan waktunya yang berkait dengan prosedur konisasi memberikan hasil berbeza. Kami juga perlu mengetahui lebih lanjut tentang kesannya terhadap kumpulan umur yang berbeza.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah yang terkini sehingga Mei 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Muhammad Hafizuddin Hamzan (Pegawai Pergigian). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Petikan
Kapp P, Schmucker C, Siemens W, Brugger T, Gorenflo L, Röbl-Mathieu M, Grummich K, Thörel E, Askar M, Brotons M, Andersen PH, Konopnicki D, Lynch J, Ruta S, Saare L, Swennen B, Tachezy R, Takla A, Učakar V, Vänskä S, Zavadska D, Adel Ali K, Olsson K, Harder T, Meerpohl JJ. Human papillomavirus (HPV) vaccination in women with conisation. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 9. Art. No.: CD016121. DOI: 10.1002/14651858.CD016121.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan