Langkau ke kandungan utama

Apakah faktor yang mempengaruhi pandangan dan tindakan penjaga dan remaja mengenai vaksinasi human papillomavirus (HPV) untuk remaja?

Mesej utama

Banyak faktor kompleks boleh mempengaruhi pandangan dan tindakan penjaga dan remaja tentang vaksinasi human papillomavirus (HPV) untuk remaja. Kami membahagikannya kepada 8 tema yang berkaitan dengan pengetahuan dan persepsi individu, hubungan keluarga dan sosial, dan konteks yang lebih luas bagi kehidupan penjaga dan remaja.

Perancang dan penggubal dasar penjagaan kesihatan boleh menggunakan tema untuk membantu mereka memahami konteks khusus di mana orang membuat keputusan tentang vaksinasi HPV. Ini boleh membantu mereka membentuk cara yang lebih relevan dan berkesan untuk menggalakkan penerimaan dan pengambilan vaksin.

Apakah itu human papillomavirus (HPV), dan mengapa perlu vaksin terhadapnya?

HPV adalah penyebab utama kanser serviks dalam kalangan wanita dan juga menyebabkan ketuat alat kelamin dan beberapa jenis kanser kepada semua jantina. Pemberian vaksin kepada remaja (orang muda berumur dari 9 hingga 19 tahun) adalah salah satu cara paling berkesan untuk mencegah penyakit ini.

Mengapakah penting untuk memahami perkara yang mempengaruhi keputusan penjaga dan remaja mengenai vaksinasi HPV?

Untuk berjaya, program vaksinasi bergantung pada tahap pemvaksinan yang tinggi. Walau bagaimanapun, di seluruh dunia, ramai remaja tidak menerima vaksinasi HPV. Terdapat beberapa sebab untuk ini. Vaksin mungkin tidak tersedia, atau ibu bapa mungkin mengalami kesukaran mengakses perkhidmatan vaksinasi; contohnya kerana perkhidmatan kesihatan yang tidak berkualiti, jarak dari fasiliti kesihatan, atau kekurangan wang. Sesetengah penjaga dan remaja mungkin tidak bersetuju dengan vaksinasi HPV.

Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui faktor yang mempengaruhi pandangan dan tindakan penjaga dan remaja mengenai vaksinasi HPV. Kami berminat dengan faktor-faktor yang mungkin 'meningkatkan' atau 'mengurangkan' penerimaan vaksinasi.

Apa yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang meneroka pandangan, pengalaman dan tindakan penjaga atau remaja yang berkaitan dengan vaksinasi HPV untuk remaja, di semua negara di mana vaksinasi HPV disediakan. Peserta kajian hendaklah melibatkan remaja atau penjaga yang bertanggungjawab untuk memutuskan sama ada seorang remaja perlu diberi vaksin.

Apa yang kami temui?
Kami menemui 206 kajian yang berkaitan dan menganalisis keputusan daripada 71 kajian tersebut. Kajian berlaku di seluruh dunia, dan melibatkan lokasi bandar dan luar bandar, serta mereka yang tinggal di negara dan komuniti berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah.

Keputusan utama
Kami menemui bahawa banyak faktor kompleks yang boleh mempengaruhi pendapat penjaga dan remaja tentang vaksinasi HPV dan tindakan yang mereka ambil. Kami membahagikan ini kepada 8 tema.

1. Kurang pengetahuan perubatan

2. Kepercayaan dan idea tentang risiko dan faedah vaksinasi HPV

3. Pandangan atau pengalaman vaksin dan program vaksinasi yang lain

4. Peranan yang dimainkan oleh remaja dan penjaga utama mereka dalam membuat keputusan

5. Pandangan dan tindakan tentang vaksinasi HPV ahli keluarga yang lain atau ahli komuniti sosial mereka yang lain, seperti rakan sebaya, pemimpin tradisional atau agama, dan media

6. Kepercayaan sosial atau budaya yang lebih luas tentang remaja, seksualiti, jantina, keibubapaan dan kesihatan

7. Kepercayaan atau ketidakpercayaan terhadap institusi atau orang yang berkaitan dengan vaksinasi, seperti guru dan sekolah, industri farmaseutikal, kerajaan dan profesional penjagaan kesihatan

8. Akses kepada, dan pengalaman, program dan perkhidmatan vaksinasi HPV, seperti kemudahannya, kos vaksin, atau halangan yang berkaitan dengan bahasa.

Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah kebanyakannya sederhana hingga tinggi. Walau bagaimanapun, kaedah atau penemuan beberapa kajian tidak begitu jelas, dan sesetengahnya memfokuskan pada satu keadaan atau negara, jadi berpotensi tidak relevan untuk keadaan atau negara yang lain. Semua kajian yang terlibat diterbitkan dalam bahasa Inggeris, jadi kami mungkin terlepas penemuan yang tidak diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga Februari 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Cooper S, Schmidt B-M, Jama NA, Ryan J, Leon N, Mavundza EJ, Burnett RJ, Tanywe AC, Wiysonge CS. Factors that influence caregivers’ and adolescents’ views and practices regarding human papillomavirus (HPV) vaccination for adolescents: a qualitative evidence synthesis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 4. Art. No.: CD013430. DOI: 10.1002/14651858.CD013430.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan