Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan risiko vaksin human papillomavirus (HPV) yang berbeza dalam mencegah kanser serviks dan penyakit berkaitan HPV yang lain?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

Vaksinasi HPV

- mengurangkan kejadian kanser serviks sebanyak kira-kira 80% pada orang yang menerima vaksin pada atau sebelum umur 16 tahun;

- mengurangkan kejadian lesi pra-kanser serviks gred tinggi, serta ketuat anogenital;

- tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko kesan sampingan jangka panjang atau ketidaksuburan;

- lebih berkesan apabila diberikan pada atau sebelum umur 16 tahun, sebelum bermulanya aktiviti seksual.

Apakah itu HPV?

Human papillomavirus (HPV) boleh berjangkit antara orang melalui hubungan seksual, termasuk seks faraj, dubur atau oral. Terdapat banyak jenis HPV. Sesetengah jenis adalah tidak berbahaya, tetapi jenis lain boleh menyebabkan kanser. Kanser serviks ialah jenis kanser paling biasa yang disebabkan oleh HPV, tetapi ia juga boleh menyebabkan kanser faraj, vulva, zakar, dubur, serta kanser kepala dan leher, selain ketuat anogenital (sejenis jangkitan kelamin yang disebabkan oleh jenis papillomavirus manusia tertentu). Dari masa jangkitan HPV, kanser serviks biasanya mengambil masa lebih daripada 10 tahun untuk berkembang, dan kanser lain mengambil masa yang lebih lama.

Bagaimanakah vaksin HPV boleh memberi manfaat?

Bagi kanak-kanak perempuan dan lelaki, vaksin HPV bertujuan untuk mencegah jangkitan HPV, yang kadangkala boleh menyebabkan kanser dan ketuat anogenital. Vaksin HPV tidak berfungsi dengan baik pada orang yang telah terdedah kepada HPV. Atas sebab ini, kebanyakan program vaksinasi bertujuan untuk menawarkan vaksin kepada golongan muda sebelum mereka menjadi aktif secara seksual.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami mahukan lebih maklumat mengenai persoalan berkaitan kesan jangka panjang dan kejadian yang jarang berlaku yang tidak dapat dijawab oleh ujian terkawal secara rawak (kajian di mana peserta diagihkan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan):

- Apakah kesan pengenalan vaksinasi HPV terhadap kadar kanser serviks, faraj, vulva, dubur dan zakar dalam komuniti, dan peringkat pra-kanser semasa perkembangan penyakit menjadi kanser?

- Apakah kesan pengenalan vaksinasi HPV terhadap bilangan orang yang menghidap ketuat anogenital dan bilangan orang yang menjalani rawatan untuk penyakit berkaitan HPV?

Kami juga ingin tahu sama ada vaksin HPV dikaitkan dengan sebarang kesan memudaratkan, terutamanya yang sering dibincangkan di media sosial.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang menilai kesan vaksinasi HPV terhadap tahap populasi bagi kanser serviks dan kanser lain, lesi pra-kanser gred tinggi (perubahan sel abnormal yang berlaku selepas jangkitan HPV berisiko tinggi yang berterusan dan boleh berkembang menjadi kanser jika tidak dirawat), ketuat anogenital, kadar rawatan, jangkitan HPV, serta kejadian yang tidak diingini atau memudaratkan. Ini termasuk kajian yang mengikuti kumpulan orang selepas menerima vaksin HPV dan kajian yang memerhati perubahan dalam penyakit ini selepas pelaksanaan vaksinasi HPV di peringkat kebangsaan.

Kami juga telah mencari laman media sosial (WebMD dan X (dahulunya Twitter)) untuk mengenal pasti kejadian buruk yang sering disebut berkaitan vaksinasi HPV. Kami telah mencari dan memasukkan kajian yang menilai kesan vaksinasi HPV terhadap peristiwa ini.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 225 kajian yang sesuai dari seluruh dunia yang melaporkan manfaat dan kemudaratan vaksinasi HPV, melibatkan lebih daripada 132 juta orang.

Vaksinasi HPV mungkin mengurangkan kejadian kanser serviks sebanyak kira-kira 80% dalam orang yang divaksin pada atau sebelum umur 16 tahun. Pengurangan ini adalah lebih rendah bagi individu yang divaksin kemudian.

Vaksinasi HPV mungkin mengurangkan kejadian lesi pra-kanser serviks gred tinggi (CIN3+, CIN3, CIN2+ dan CIN2), serta ketuat anogenital. Sekali lagi, pengurangan adalah lebih besar pada orang yang menerima vaksin HPV pada atau sebelum umur 16 tahun.

Terdapat bukti dengan kepastian yang lebih rendah mengenai kesan vaksinasi HPV terhadap penyakit yang jarang berlaku dan mengambil masa lebih lama untuk berkembang, seperti adenokarsinoma in situ, lesi pra-kanser lain, serta kanser lain yang berkaitan dengan HPV (contohnya kanser faraj, vulva, dubur dan zakar). Kami mengenal pasti lebih sedikit kajian mengenai hasil ini.

Bagi kebanyakan peristiwa buruk khusus yang kami teliti, termasuk sindrom takikardia ortostatik postural, sindrom keletihan kronik/myalgic encephalomyelitis, lumpuh, sindrom kesakitan serantau kompleks, sindrom Guillain-Barré dan ketidaksuburan, terdapat bukti tahap kepastian sederhana bahawa vaksinasi HPV berkemungkinan tidak meningkatkan risiko untuk mengalaminya. Vaksinasi HPV juga tidak meningkatkan aktiviti seksual.

Vaksinasi HPV juga dilihat dapat mengurangkan kadar rawatan berkaitan penyakit HPV, meningkatkan kehadiran ke program saringan serviks, serta mengurangkan jangkitan HPV.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami mempunyai tahap keyakinan sederhana terhadap keputusan kami bagi kanser serviks, penyakit serviks tahap tinggi, ketuat anogenital dan kemudaratan tertentu. Walau bagaimanapun, kajian yang lebih baik dan lebih besar boleh menunjukkan hasil yang lebih boleh dipercayai dan lebih tepat mengenai tahap perlindungan.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti ini terkini sehingga September 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Wilfred Mok Kok Hoe (Institut Kesihatan Negara). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Henschke N, Bergman H, Buckley BS, Crosbie EJ, Dwan K, Golder SP, Kyrgiou M, Loke YK, McIntosh HM, Probyn K, Villanueva G, Morrison J. Effects of human papillomavirus (HPV) vaccination programmes on community rates of HPV-related disease and harms from vaccination. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 11. Art. No.: CD015363. DOI: 10.1002/14651858.CD015363.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan