Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan risiko vaksin human papillomavirus (HPV) yang berbeza dalam mencegah kanser serviks dan penyakit berkaitan HPV yang lain?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

- Dalam kalangan wanita dan rekanak-kanak perempuan berumur 15 hingga 25 tahun yang menerima vaksin human papillomavirus (HPV) seperti Cervarix, Gardasil atau Gardasil-9, berbanding mereka yang tidak menerima vaksin HPV, terdapat sedikit pengurangan dalam lesi pra-kanser serviks tahap tinggi (sel yang kelihatan tidak normal dan boleh menjadi kanser jika tidak dirawat) selepas empat hingga enam tahun. Dalam kalangan mereka yang menerima vaksin Gardasil atau Gardasil-9 berbanding yang tidak divaksin, terdapat sedikit pengurangan dalam pra-kanser pada vulva dan vagina selepas empat tahun. Vaksinasi HPV mengurangkan risiko ketuat anogenital dan keperluan rawatan bagi penyakit berkaitan HPV. Tiada kajian yang berlangsung cukup lama untuk melaporkan perkembangan kanser.

- Sedikit kesakitan dan bengkak di tempat suntikan adalah biasa selepas vaksinasi HPV, tetapi kami tidak menemui sebarang kesan sampingan tidak diingini yang serius.

- Kebanyakan kajian melibatkan individu berumur 15 tahun ke atas, yang lebih cenderung telah terdedah kepada jangkitan dan oleh itu kurang berkemungkinan mendapat manfaat daripada vaksinasi. Kajian tersebut terlalu singkat untuk mengukur hasil jangka panjang seperti perkembangan kanser.

Apakah itu papillomavirus manusia (HPV)?

HPV adalah jangkitan biasa. Ia berjangkit antara orang melalui hubungan rapat, termasuk seks faraj, dubur atau oral. Terdapat banyak jenis HPV. Sesetengah jenis boleh menyebabkan kanser. Kanser serviks ialah jenis yang paling biasa, tetapi ia juga boleh menyebabkan kanser faraj, vulva, zakar, dubur, serta kanser kepala dan leher, dan ketuat anogenital, jadi HPV boleh menjejaskan lelaki dan wanita. Kanser serviks biasanya mengambil masa lebih daripada 10 tahun untuk berkembang selepas jangkitan awal. Kanser lain yang berkaitan dengan HPV berkembang dengan lebih perlahan.

Bagaimanakah vaksin HPV boleh membantu?

Vaksin HPV bertujuan untuk mencegah jenis jangkitan HPV yang kadangkala menyebabkan kanser dan ketuat anogenital. Vaksin HPV tidak berfungsi dengan baik pada orang yang telah terdedah kepada HPV, oleh itu kebanyakan program vaksinasi adalah untuk orang muda sebelum mereka menjadi aktif secara seksual.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada vaksin HPV:

- mencegah kanser dan pra-kanser (sel yang kelihatan tidak normal yang boleh menjadi kanser jika tidak dirawat);

- kurang keperluan untuk rawatan penyakit berkaitan HPV;

- mencegah ketuat anogenital

- mengakibatkan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan:

- vaksin HPV dibanding sama ada plasebo (vaksin tiruan), vaksin bukan HPV atau tiada vaksin; atau

- vaksin HPV berbeza atau bilangan dos vaksin HPV.

Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian. Kami disokong oleh Kumpulan Penasihat Bebas, termasuk pengguna.

Apakah yang ditemukan?

Kami mendapati 60 kajian dengan 157,414 orang. Kajian terbesar melibatkan 34,412 orang dan yang paling kecil melibatkan 11 orang. Mereka diikuti dari 4 hari hingga 11 tahun. Kajian telah dijalankan di seluruh dunia. Kebanyakannya bertahan selama 12 bulan. Syarikat farmaseutikal membiayai 44 daripada kajian tersebut.

Keputusan utama

- Kajian-kajian ini tidak cukup panjang untuk memberitahu kita secara langsung tentang pencegahan kanser dan tertumpu pada hasil jangka pendek.

- Bagi wanita dan kanak-kanak perempuan berumur 15 hingga 25 tahun, Cervarix dan Gardasil mengurangkan semua pra-kanser serviks tahap tinggi (CIN2+) dalam jangka pendek. Pada wanita berumur 25 tahun, terdapat sedikit atau tiada perbezaan.

- Dalam orang yang berumur 15 hingga 25 tahun, terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam pra-kanser dubur atau zakar tahap tinggi dalam jangka pendek. Vaksin Gardasil dan Gardasil-9 mengurangkan pra-kanser faraj atau vulva tahap tinggi dalam kumpulan ini.

- Vaksinasi HPV mengurangkan risiko ketuat anogenital dan bilangan orang berumur 15 hingga 25 tahun yang memerlukan rawatan bagi kemungkinan kanser berkaitan HPV pada peringkat awal.

- Sedikit sakit dan bengkak adalah perkara biasa selepas semua vaksin HPV, tetapi tiada kesan serius tidak diingini. Kami tidak tahu sama ada terdapat perbezaan risiko antara vaksin berbeza.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami mempunyai beberapa kebimbangan tentang cara beberapa kajian dijalankan, yang mungkin mempengaruhi beberapa keputusan. Kami mempunyai keyakinan sederhana terhadap bukti bagi kesan sampingan serius, rawatan penyakit berkaitan HPV, pra-kanser serviks, faraj dan vulva, serta ketuat anogenital. Kami kurang yakin dengan bukti berkaitan kanser dan pra-kanser zakar dan dubur kerana terdapat sedikit kes, tempoh kajian terlalu singkat untuk mengukur kanser, dan orang dalam kajian adalah lebih tua daripada orang yang menerima vaksin.

Banyak kajian dibiayai oleh industri, namun kami tidak menemui perbezaan berbanding kajian yang dibiayai secara bebas.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 18 September 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Wilfred Mok Kok Hoe (Institut Kesiharan Negara). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Bergman H, Henschke N, Arevalo-Rodriguez I, Buckley BS, Crosbie EJ, Davies JC, Dwan K, Golder SP, Loke YK, Probyn K, Petkovic J, Villanueva G, Morrison J. Human papillomavirus (HPV) vaccination for the prevention of cervical cancer and other HPV-related diseases: a network meta-analysis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 11. Art. No.: CD015364. DOI: 10.1002/14651858.CD015364.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan