Pembedahan penggantian pinggul pada orang dewasa

Ulasan ini menilai bukti dari kajian rawak terkawal (RCT) dan kuasi-RCT, mengenai perbezaan antara faedah dan kemudaratan penggantian pinggul untuk merawat patah tulang pinggul pada orang dewasa.

Latar belakang

Patah tulang pinggul adalah patah di bahagian atas tulang paha. Jenis patah tulang pinggul ini biasa berlaku pada orang tua yang tulangnya mungkin rapuh kerana keadaan yang dikenali sebagai osteoporosis. Salah satu kaedah rawatan adalah menggantikan pinggul yang patah dengan tiruan. Ini boleh dilakukan menggunakan penggantian pinggul separa (hemiarthroplasty), yang menggantikan sebahagian sendi pada pinggul (bahagian bola pada sendi). Penggantian ini boleh menjadi unipolar (sendi tiruan tunggal), atau bipolar (dengan sambungan tambahan dalam hemiarthroplasty). Sebagai alternatif, pembedahan boleh menggantikan keseluruhan sendi pinggul, yang juga termasuk soket di mana bola sendi pinggul menjadi penyambung, dikenali sebagai penggantian pinggul sepenuhnya (total hip arthroplasty). Kedua-dua jenis sendi tiruan boleh dipasang dengan atau tanpa simen.

Tarikh carian

Kami mencari RCTs (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), dan quasi-RCT (di mana orang dimasukkan ke dalam kumpulan dengan kaedah yang tidak secara rawak, seperti tarikh lahir atau nombor rekod hospital), diterbitkan sehingga 6 Julai 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 58 kajian, yang melibatkan 10,654 orang dewasa yang melibatkan 10,662 patah tulang pinggul. Purata umur peserta kajian adalah antara 63 hingga 87 tahun; 71% adalah wanita, yang lazim yang mengalami patah tulang pinggul seperti ini.

Keputusan utama

Penggantian pinggul separa bersimen berbanding dengan penggantian pinggul separa tanpa simen (17 kajian, 3644 peserta)

Kami mendapati bahawa penggantian pinggul separa bersimen meningkatkan kualiti hidup berkaitan kesihatan (HRQoL) dan mengurangkan risiko kematian pada 12 bulan selepas pembedahan. Saiz manfaat ini merangkumi kesan yang kecil hingga besar. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara rawatan dalam keupayaan untuk menggunakan pinggul (status berfungsi), tetapi bukti ini sangat tidak pasti. Sama ada atau tidak penggantian pinggul separa menggunakan simen mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada prestasi dalam aktiviti kehidupan harian (ADL) atau keupayaan untuk berjalan secara bebas, berapa ramai orang yang mengalami kekeliruan selepas pembedahan (delirium), mati dalam tempoh empat bulan selepas pembedahan, atau memerlukan pembedahan tambahan. Kebanyakan risiko komplikasi adalah serupa, tetapi kami mendapati bahawa beberapa risiko yang berkaitan secara langsung dengan pembedahan penggantian pinggul (seperti menyebabkan kepatahan semasa pembedahan) telah meningkat dengan penggantian pinggul separa tanpa simen.

Penggantian pinggul separa bipolar berbanding dengan penggantian pinggul separa unipolar (13 kajian, 1499 peserta)

Jenis penggantian pinggul separa mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan orang yang mati dalam tempoh empat bulan atau sehingga 12 bulan selepas pembedahan, dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada keperluan untuk pembedahan tambahan. Tiada kajian melaporkan status aktiviti kehidupan harian empat bulan dan status berfungsi. Buktinya sangat tidak pasti sama ada menggunakan penggantian pinggul separa bipolar atau unipolar membuat sebarang perbezaan kepada delirium atau kualiti hidup berkaitan kesihatan dalam tempoh empat bulan pembedahan. Sekali lagi, risiko komplikasi adalah serupa, dan kami tidak menemui bukti berbeza dalam risiko terkehel pinggul.

Penggantian pinggul sepenuhnya berbanding dengan penggantian pinggul separa (17 kajian, 3232 peserta)

Kami tidak pasti sama ada status aktiviti kehidupan harian, status berfungsi, delirium, mobiliti atau kematian dalam tempoh empat bulan atau sehingga 12 bulan selepas pembedahan adalah berbeza antara rawatan-rawatan ini. Bukti tidak menunjukkan perbezaan dalam risiko pembedahan tambahan tetapi kami tidak boleh mengecualikan kemungkinan manfaat penting penggantian pinggul sepenuhnya. Walaupun kebanyakan risiko komplikasi adalah serupa, terkehel pinggul meningkat dengan penggantian pinggul sepenuhnya.

Kepastian bukti

Bukti untuk kebanyakan perbandingan adalah hanya berdasarkan beberapa peserta, dan banyak kajian menggunakan kaedah yang mungkin tidak boleh dipercayai. Kebanyakan bukti untuk status aktiviti kehidupan harian, status berfungsi, kualiti hidup berkaitan kesihatan, dan berjalan bebas adalah dengan kepastian yang rendah dan sangat rendah, maka, kami tidak yakin dengan penemuan itu. Kami mempunyai keyakinan yang terhad atau cukup yakin dengan penemuan kami yang lain.

Kesimpulan

Bagi orang yang mempunyai penggantian pinggul separa, kemungkinan penggantian bersimen menghasilkan hasil yang lebih baik secara keseluruhan daripada penggantian tanpa simen. Tiada bukti yang menunjukkan bahawa penggantian pinggul separa bipolar membawa kepada hasil yang berbeza daripada penggantian pinggul unipolar. Perbezaan antara penggantian pinggul sepenuhnya dan penggantian pinggul separa adalah kecil dan mungkin tidak penting secara klinikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia), Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information