Intervensi untuk pengurusan obesiti terhadap pengidap gangguan bipolar

Mengapakah ulasan ini penting?

Gangguan bipolar adalah salah satu penyakit mental serius yang paling biasa dan memberi kesan kepada mood, pemikiran, tingkah laku, fungsi, dan kualiti hidup. Kira-kira 60 juta orang seluruh dunia dijejas oleh gangguan bipolar. Obesiti biasanya dikaitkan dengan penyakit ini, dan apabila ini berlaku, ia boleh menyebabkan keadaan kesihatan fizikal lain seperti diabetes dan penyakit kardiovaskular, yang membawa kepada kematian pramatang. Banyak pendekatan digunakan untuk menguruskan obesiti dalam gangguan bipolar, tetapi setakat ini, kami tidak pasti sama ada mana-mana satu atau gabungan pendekatan yang berkesan.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Pakar psikiatri dan ahli pasukan pelbagai disiplin yang menjaga individu yang mengalami gangguan bipolar dan obesiti komorbid. Penemuan daripada ulasan ini juga akan menarik minat penyelidik dan orang yang mengalami gangguan bipolar serta keluarga mereka.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Ulasan ini bertujuan untuk menilai keberkesanan intervensi yang digunakan untuk menangani masalah obesiti dalam gangguan bipolar.

Kajian manakah yang disertakan dalam ulasan ini?

Kami mencari pangkalan data sehingga Februari 2019 untuk kajian intervensi yang digunakan untuk menguruskan masalah obesiti pada individu dengan gangguan bipolar. Tiada kajian yang disemak memenuhi kriteria kemasukan.

Apakah yang ditunjukkan oleh bukti-bukti daripada ulasan?

Terdapat ketiadaan bukti terhadap keberkesanan intervensi farmakologi, bukan farmakologi atau pembedahan untuk pengurusan obesiti pada individu dengan gangguan bipolar.

Apakah yang patut berlaku seterusnya?

Terdapat keperluan mendesak untuk menjalankan kajian rawak terkawal untuk menilai keberkesanan pendekatan bukan farmakologi, farmakologi atau pembedahan untuk rawatan obesiti pada populasi dengan gangguan bipolar. Kajian harus merangkumi hanya orang yang mempunyai diagnosis klinikal gangguan bipolar dan obesiti komorbid.

Kesimpulan pengarang

Implikasi kepada amalan

Penemuan daripada ulasan ini menunjukkan tiada bukti untuk menyokong pendekatan bukan farmakologi, farmakologi atau pembedahan untuk pengurusan obesiti dengan gangguan bipolar.

Implikasi untuk penyelidikan

Terdapat keperluan untuk menjalankan kajian rawak terkawal yang direka dengan baik bagi intervensi bukan farmakologi, farmakologi, serta/atau pembedahan untuk menangani obesiti dengan gangguan bipolar. Kajian mesti menumpukan kepada peserta bipolar sahaja, yang berbeza daripada populasi campuran dengan penyakit mental yang serius, dan semua peserta kajian mesti telah menerima diagnosis obesiti komorbid. Kami telah mengenal pasti beberapa kajian yang sedang dijalani yang mungkin disertakan dalam kemas kini ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information