Peraturan kerajaan bagi insurans kesihatan swasta

Apakah tujuan utama ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai kesan peraturan-peraturan kerajaan terhadap insurans kesihatan swasta. Penulis ulasan mencari semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini.

Mesej utama

Kami tidak tahu apakah kesan peraturan kerajaan terhadap insurans kesihatan swasta kerana kepastian bukti adalah sangat rendah. Kami memerlukan lebih banyak kajian daripada tetapan yang berbeza, menilai jenis peraturan yang berbeza, dan jenis insurans kesihatan swasta yang berbeza.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Dalam banyak tetapan, orang perlu membayar untuk penjagaan kesihatan mereka sendiri. Ini bermakna orang yang berpendapatan rendah selalunya tidak mampu mendapatkan penjagaan kesihatan yang mereka perlukan. Untuk menyelesaikan masalah ini, sesetengah kerajaan menjalankan program insurans kesihatan awam. Kerajaan biasanya membayar program-program ini melalui cukai, tetapi program-program ini rumit dan mahal untuk dijalankan. Oleh itu, sesetengah kerajaan juga bergantung kepada syarikat insurans kesihatan swasta untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang mereka perlukan.

Keahlian dalam skim insurans kesihatan swasta dibayar secara langsung oleh individu itu sendiri atau oleh majikan mereka. Syarikat insurans kesihatan swasta kadangkala dijalankan untuk keuntungan dan kadangkala bukan keuntungan. Tetapi kebanyakan syarikat mungkin lebih suka ahli yang muda dan sihat kerana mereka memerlukan kurang penjagaan kesihatan. Oleh itu, kerajaan cuba mengawal selia syarikat-syarikat ini untuk memastikan sesiapa sahaja boleh menyertai dan penjagaan kesihatan yang ditawarkan adalah berkualiti. Kerajaan melakukan ini dengan mewujudkan undang-undang yang perlu dipatuhi oleh syarikat, dengan memantau sama ada syarikat mengikutinya dan dengan menghukum mereka yang tidak mematuhinya. Peraturan kerajaan boleh meningkatkan akses rakyat kepada penjagaan kesihatan dan menjimatkan wang kerajaan. Tetapi peraturan-peraturan juga boleh menyebabkan syarikat insurans ditutup.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penulis ulasan menemui tujuh kajian yang relevan. Semua kajian melihat kesan undang-undang negeri yang bertujuan untuk mengawal selia syarikat untung di Amerika Syarikat.

- Penulis ulasan menilai bukti ini sebagai berkepastian sangat rendah. Oleh itu, kami tidak tahu sama ada peraturan kerajaan bagi insurans kesihatan swasta mempunyai sebarang kesan pada penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan oleh orang ramai atau pada kos penjagaan kesihatan yang disediakan oleh syarikat insurans swasta

- Tiada kajian melihat kesan peraturan kerajaan pada kualiti penjagaan yang disediakan oleh syarikat insurans swasta atau pada kesihatan rakyat.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga November 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information