Mesej utama
-
Bukti daripada satu kajian (1355 wanita) menunjukkan penambahan kalsium sebelum hamil boleh menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan kepada pra-eklampsia (komplikasi kehamilan) atau kegagalan kehamilan, dan pra-eklampsia. Bukti daripada 633 wanita yang hamil semasa kajian menunjukkan keputusan yang sama kecuali pengurangan sedikit pra-eklampsia atau kehilangan kehamilan.
-
Kajian tersebut tidak memberi bukti untuk kesan kalsium yang tidak diingini atau kematian bayi semasa hamil dan di awal kehidupan.
-
Kami perlukan lebih banyak penyelidikan untuk memutuskan sama ada penambahan kalsium yang dimulakan sebelum hamil membantu wanita mengelakkan tekanan darah tinggi, pra-eklampsia dan komplikasi lain. Penyelidikan juga harus menangani bagaimana wanita boleh terima penambahan kalsium.
Mengapa tekanan darah tinggi menjadi masalah semasa hamil, dan bagaimanakah kalsium boleh membantu?
Tekanan darah tinggi semasa hamil adalah akibat utama kematian dan penyakit yang teruk dalam kalangan ibu dan bayi. Pra-eklampsia adalah komplikasi yang paling serius. Ia didiagnosis apabila wanita hamil mengalami tekanan darah tinggi dengan tanda-tanda kerosakan pada uri dan organ lain seperti buah pinggang atau hati. Pada masa ini tiada rawatan untuk pra-eklampsia selain melahirkan bayi. Kalsium boleh membantu menurunkan tekanan darah. Ramai orang, terutamanya di negara berpendapatan rendah, tidak mendapat kalsium yang cukup dalam diet mereka, oleh itu pemberian kalsium tambahan sebelum hamil boleh mencegah pra-eklampsia dan boleh menyelamatkan ramai ibu dan bayi.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu jika memberi penambahan kalsium kepada wanita sebelum mereka hamil boleh membantu mencegah tekanan darah tinggi, pra-eklampsia dan masalah kesihatan serius yang lain untuk ibu dan bayi. Kami juga berminat dengan sebarang kesan sampingan penambahan kalsium yang tidak diingini .
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan penambahan kalsium sebelum hamil dengan plasebo (ubat palsu) atau penjagaan biasa . Wanita dalam kajian perlu merancang kehamilan. Mereka boleh sebarang umur dan tinggal di mana sahaja di dunia. Pemakanan biasa mereka boleh termasuk apa-apa jumlah kalsium, dan mereka mungkin menghadapi sebarang risiko tekanan darah tinggi . Kajian boleh memberi sebarang dos kalsium untuk sebarang tempoh masa, selagi penambahan bermula sebelum hamil. Kami melihat kepada bukti untuk semua wanita dalam kajian, dan hanya untuk wanita yang hamil semasa kajian.
Kami membanding dan meringkaskan keputusan kajian - kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor - faktor seperti kaedah dan saiz - saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami temui satu kajian dengan 1355 wanita. Mereka semua mengalami pra-eklampsia dalam kehamilan terbaharu mereka, oleh itu berisiko tinggi untuk mendapatnya lagi. Mereka diberi kalsium tambahan atau tablet plasebo setiap hari sehingga 20 minggu kehamilan. Selepas 20 minggu, semua wanita ditukar kepada kalsium tambahan harian sehingga melahirkan. Mereka tinggal di Argentina, Afrika Selatan, dan Zimbabwe.
Penambahan kalsium sebelum hamil boleh memberi sedikit perbezaan atau tiada perbezaan kepada:
-
pra-eklampsia atau kehilangan kehamilan;
-
pra-eklampsia;
-
kehilangan kehamilan; dan
-
kelahiran bayi sebelum 37 minggu.
Kami tidak pasti tentang kesan kalsium tambahan sebelum hamil terhadap kematian ibu, kematian atau penyakit teruk ibu dan kelahiran mati.
Keputusan untuk 633 wanita yang hamil semasa kajian adalah sangat serupa, kecuali terdapat sedikit pengurangan dalam pra-eklampsia atau kehilangan kehamilan.
Tiada bukti tentang kesan tidak diingini, kematian bayi semasa hamil dan di awal kehidupan, kematian bayi baru lahir, kematian bayi baru lahir dalam 7 hari pertama kehidupan, atau kematian atau penyakit teruk bayi baru lahir.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti daripada kajian ini adalah terhad kerana hampir satu pertiga daripada wanita yang disertakan dalam kajian tidak disusul atau menarik diri daripada kajian tersebut. Kami tidak tahu sama ada wanita-wanita itu hamil dan apakah hasil mereka.
Adakah bukti ini mutakhir?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).