Langkau ke kandungan utama

Apakah model penjagaan bagi kanak-kanak dan remaja yang menghidap diabetes jenis 1 di negara berpendapatan rendah dan sederhana?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

• Penyediaan penjagaan untuk kanak-kanak dan remaja dengan diabetes mellitus jenis 1 (T1DM) di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC) adalah mencabar kerana sumber dan akses kepada rawatan yang terhad.

• Banyak negara telah melaksanakan model penjagaan T1DM yang disokong oleh inisiatif antarabangsa, namun beberapa halangan, seperti kekangan kewangan dan kekurangan penjagaan komprehensif, masih berterusan.

• Usaha berterusan diperlukan bagi memastikan golongan muda yang menghidap diabetes jenis 1 (T1DM) menerima penjagaan yang konsisten dan berkesan untuk meningkatkan kualiti hidup serta hasil kesihatan mereka.

Apakah diabetes mellitus jenis 1 (T1DM)?

T1DM adalah suatu keadaan kronik di mana badan tidak dapat menghasilkan insulin, iaitu hormon yang diperlukan untuk mengawal gula dalam darah. Tanpa pengurusan yang betul, T1DM boleh menyebabkan komplikasi yang teruk, termasuk buta dan kegagalan buah pinggang, dan kematian awal.

Bagaimanakah T1DM dirawat?

Pengurusan T1DM dilaksanakan melalui terapi insulin, pemantauan gula darah secara berkala, dan pelarasan gaya hidup, termasuk pemakanan dan aktiviti fizikal. Penjagaan menyeluruh merangkumi akses kepada ubat-ubatan, pendidikan diabetes, dan sokongan daripada profesional kesihatan.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami berhasrat untuk meneroka dan merumuskan bagaimanakah penjagaan T1DM dalam kalangan kanak-kanak dan remaja (sehingga 18 tahun) disusun dan dilaksanakan di LMIC, dengan memberi tumpuan kepada aspek seperti komposisi pasukan penjagaan kesihatan, akses kepada rawatan, dan penyediaan sokongan pengurusan kendiri.

Apakah yang dilakukan?

Kami menjalankan ulasan skop pada kajian-kajian yang menerangkan model penjagaan untuk T1DM dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di LMIC. Kami menganalisis data daripada 40 kajian yang meliputi 19 buah negara merentasi enam wilayah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengenal pasti amalan dan cabaran lazim.

Apakah yang ditemukan?

Model penjagaan adalah sangat berbeza merentasi negara dan wilayah.

• Afrika: program di Cameroon, Kenya, Rwanda, Tanzania, dan Uganda telah bertambah baik dari segi infrastruktur dan menyediakan insulin, bekalan pemantauan gula dalam darah dan pendidikan secara percuma. Walau bagaimanapun, cabaran kewangan dan logistik masih berterusan.

• Amerika: Brazil dan Cuba memberikan tumpuan pada pengurangan komplikasi dan penambahbaikan sokongan psikososial, tetapi hasil pesakit tidak didokumenkan.

• Asia Tenggara: Bangladesh, India, Myanmar, Sri Lanka, dan Thailand melaksanakan model penjagaan yang disokong oleh inisiatif antarabangsa. Walau bagaimanapun, kekangan kewangan masih kekal.

• Eropah: Kazakhstan dan Turki menyediakan insulin dan bekalan dengan percuma.

• Timur Mediterranean: Maghribi memperluaskan penyampaian penjagaan ke hospital-hospital wilayah dan menekankan pendidikan pengurusan kendiri.

• Pasifik Barat: Kemboja, Malaysia, Vietnam, dan Laos menerima sokongan daripada program Action4Diabetes, yang menambahbaik akses kepada insulin dan pemantauan pesakit.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kekurangan dalam penilaian dan pelaporan yang standard telah mengehadkan ketersediaan bukti. Kebanyakan kajian tertumpu pada penerangan model penjagaan dan tidak menilai kesan jangka panjangnya terhadap kesihatan pesakit. Kemampanan kewangan dan jurang akses merupakan cabaran biasa yang dihadapi.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Noor Aini binti Mansor (Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Kota Setar/Pendang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Bongaerts B, Leuwer A, Sadiq F, Wolters B, Guo Y, Tapinova K, Alade OT, Janka H, Franco JVA. Models of care for children and adolescents with type 1 diabetes in low- and middle-income countries: a scoping review. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 9. Art. No.: CD016214. DOI: 10.1002/14651858.CD016214.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan