Langkau ke kandungan utama

Sejauh manakah keberkesanan intervensi yang direka untuk mengurangkan jatuh dalam kalangan warga emas di pusat jagaan?

Mesej utama

  • Kejadian jatuh di fasiliti jagaan berkemungkinan dapat dikurangkan melalui intervensi pelbagai faktor (terdiri daripada beberapa bahagian) yang dilaksanakan dengan bantuan kakitangan fasiliti dan disampaikan mengikut keadaan individu penghuni (cth, hidup dengan demensia); senaman; dan pengambilan suplemen vitamin D. Bilangan orang yang jatuh mungkin dapat dikurangkan melalui: peningkatan hidangan tenusu di dalam rekaan dengan bantuan pakar pemakanan; dan senaman bagi penghuni dengan kemerosotan kognitif. Tidak jelas sama ada intervensi tunggal bertujuan menambah kesesuaian pemberian ubat mengurangkan jatuh.

  • Intervensi pelbagai faktor dan senaman mungkin berkesan dari segi kos. Walau bagaimanapun, jika senaman tidak diteruskan, kesannya terhadap jatuh adalah tidak berterusan. Meningkatkan hidangan tenusu dalam rekaan menu dengan bantuan pakar pemakanan mungkin mengurangkan bilangan orang yang mengalami patah tulang akibat jatuh.

  • Terdapat maklumat terkini tentang cara mencegah jatuh di fasiliti jagaan; kami kebanyakannya sederhana yakin terhadap bukti yang ada. Masih terdapat keperluan untuk kajian lanjut mengenai cara mencegah jatuh dalam kalangan orang yang tinggal di fasiliti jagaan, terutamanya berkaitan senaman yang paling berkesan dan intervensi untuk menambah baik pemberian ubat.

Bagaimana kami melaporkan intervensi yang digunakan untuk menilai jatuh, dan mengapa ianya penting?

Kejadian jatuh dalam kalangan warga emas di fasiliti jagaan, contohnya rumah jagaan, adalah biasa dan boleh menyebabkan kehilangan mandiri, kecederaan, dan kadangkala kematian akibat kecederaan. Oleh itu, intervensi yang berkesan untuk mencegah jatuh adalah penting.

Kajian mengenai sebarang intervensi yang direka untuk mengurangkan jatuh dalam kalangan warga emas berbanding dengan kumpulan orang yang tidak menerima intervensi telah dikumpulkan mengikut jenis, berdasarkan sistem klasifikasi pencegahan jatuh (taksonomi) yang dibangunkan oleh Prevention of Falls Network Europe (ProFaNE). Intervensi diatur seperti berikut:

  • Intervensi pelbagai faktor: gabungan dua atau lebih kategori intervensi seperti senaman, menyemak ubat-ubatan, dan pengambilan vitamin D yang diberikan mengikut tahap risiko seseorang untuk jatuh;

  • intervensi tunggal: hanya satu kaedah digunakan dan diberikan kepada semua peserta dalam kumpulan;

  • intervensi pelbagai: gabungan intervensi yang sama diberikan kepada semua peserta dalam kumpulan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui intervensi mana yang dapat mengurangkan jatuh dalam kalangan warga emas yang tinggal di pusat jagaan, dari segi bilangan orang yang jatuh dan bilangan jatuh yang dialami. Kami juga melihat kepada risiko patah tulang, kesan tidak diingini intervensi, dan hasil ekonomi.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian tentang intervensi untuk mengurangkan jatuh dalam kalangan warga emas yang tinggal di pusat jagaan. Kami bandingkan dan ringkaskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 104 kajian (68,964 warga emas) dengan purata umur 84 tahun, dan 72% daripadanya adalah wanita. Kajian-kajian dijalankan di 25 negara, dan melihat kepada intervensi pelbagai faktor; intervensi tunggal (senaman, mengoptimumkan ubatan (menambahbaik penggunaan ubat), pengambilan vitamin D, nasihat pakar pemakanan dan rekaan menu untuk menambah pengambilan produk tenusu, penggunaan teknologi bantuan (alat untuk membantu fungsi warga emas), latihan kakitangan, serta cara berbeza dalam memberi penjagaan); dan intervensi pelbagai.

  • Secara keseluruhan, intervensi pelbagai faktor mungkin tidak mengurangkan kadar jatuh (bilangan jatuh sepanjang masa), tetapi mungkin dapat mengurangkan bilangan orang yang jatuh. Walaubagaimanapun, apabila intervensi pelbagai faktor dibuat dengan bantuan kakitangan pusat jagaan dan mengikut keadaan setiap penghuni (cth hidup dengan demensia), kesannya lebih besar dan mungkin mengurangkan kadar jatuh serta bilangan orang yang jatuh. Intervensi pelbagai faktor juga mungkin berkesan dari segi kos untuk mengurangkan jatuh.

  • Senaman aktif sebagai intervensi tunggal mungkin mengurangkan kadar jatuh dan bilangan orang yang jatuh, tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko patah tulang. Namun, jika senaman tidak diteruskan, kesannya terhadap kadar jatuh akan hilang, dan mungkin tiada kesan pada bilangan orang yang jatuh. Intervensi senaman aktif juga mungkin mengurangkan bilangan orang yang jatuh dalam kalangan penghuni dengan kemerosotan kognitif (penurunan keupayaan mental) dan mungkin berkesan secara kos untuk mengurangkan jatuh (mengikut pandangan perkhidmatan kesihatan di Australia).  

  • Secara keseluruhan, intervensi yang bertujuan menambah baik preskripsi ubat adalah berbeza-beza, dan mungkin memberi sedikit atau tiada kesan terhadap kadar jatuh serta sedikit atau tiada kesan terhadap bilangan orang yang jatuh. Kami tidak pasti tentang kesan intervensi tunggal bertujuan untuk menambahbaik kesesuaian ubatan yang diambil penghuni dengan melakukan penilaian dan memberikan cadangan. Intervensi tunggal untuk menambah baik preskripsi ubatan seperti ini mungkin tidak berkesan dari segi kos jika dijalankan secara berasingan.

  • Pengambilan vitamin D (dengan atau tanpa kalsium) mungkin mengurangkan kadar jatuh, tetapi mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan orang yang jatuh. Penghuni dalam kajian ini dilihat mempunyai tahap vitamin D yang rendah.

  • Menambah hidangan makanan tenusu untuk penghuni dengan bantuan pakar pemakanan dalam rekaan menu mungkin mengurangkan bilangan orang yang jatuh dan risiko patah tulang akibat jatuh. Tiada maklumat dilaporkan tentang kadar jatuh.

  • Kami tidak pasti akan kesan intervensi terhadap kesan tidak diingini, kerana ia keseluruhannya dilaporkan dengan lemah dalam kajian yang disertakan.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami kebanyakannya mempunyai keyakinan sederhana hingga sedikit dalam bukti yang ada. Keyakinan kami terhad kerana peserta dalam kebanyakan kajian tahu tentang rawatan yang mereka terima, dan tidak semua kajian memberikan maklumat tentang perkara yang ingin kami ketahui. Selain itu, sering terdapat masalah dengan kaedah yang digunakan dalam kajian untuk mengumpul maklumat.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini adalah kemas kini daripada versi terdahulu yang diterbitkan pada 2010, 2012, dan 2018. Bukti adalah terkini sehingga 10 Mei 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Khairunniza Gharib (IMU University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Dyer SM, Kwok WS, Suen J, Dawson R, Kneale D, Sutcliffe K, Seppala LJ, Hill KD, Kerse N, Murray GR, van der Velde N, Sherrington C, Cameron ID. Interventions for preventing falls in older people in care facilities. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 8. Art. No.: CD016064. DOI: 10.1002/14651858.CD016064.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan