Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Sejauh manakah keberkesanan intervensi yang direka untuk mengurangkan kejadian jatuh dalam kalangan warga emas di hospital?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Pendidikan yang disesuaikan (kakitangan, pesakit/keluarga dan pelbagai komponen) mungkin mengurangkan kadar kejadian jatuh dan risiko untuk jatuh.

  • Perubahan model perkhidmatan (iaitu perubahan dalam cara hospital memberikan penjagaan kepada pesakit dengan matlamat untuk mengurangkan kejadian jatuh) di hospital akut mungkin mengurangkan kadar kejadian jatuh.

  • Intervensi multifaktorial (iaitu dua atau lebih kategori intervensi yang diberikan berdasarkan penilaian faktor risiko seseorang untuk jatuh) mungkin mengurangkan kadar kejadian jatuh dan risiko untuk jatuh, walaupun terdapat juga kemungkinan bahawa intervensi ini tidak memberi kesan atau sedikit meningkatkan kejadian jatuh.

  • Senaman mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko untuk jatuh dalam persekitaran hospital secara keseluruhan.

  • Merentasi semua jenis intervensi, pendekatan pencegahan jatuh yang merangkumi integrasi dengan persekitaran setempat, penyesuaian pendekatan mengikut keperluan dan keupayaan pesakit, serta penglibatan pesakit dan/atau ahli keluarga atau penjaga mungkin mengurangkan kadar kejadian jatuh dalam kalangan warga emas di hospital.

  • Penyelidikan lanjut mengenai keberkesanan semua jenis intervensi yang bertujuan mencegah kejadian jatuh di hospital diperlukan, terutamanya bagi individu yang mengalami gangguan kognitif (masalah ingatan atau pemikiran) dan di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Mengapakah usaha mengurangkan kejadian jatuh dalam kalangan warga emas di hospital penting?

Kejadian jatuh dalam kalangan warga emas di hospital merupakan kejadian yang lazim berlaku dan boleh menyebabkan kehilangan keupayaan untuk berdikari, kecederaan, dan kadangkala kematian. Oleh itu, intervensi yang berkesan untuk mencegah jatuh adalah penting.

Bagaimanakah kami melaporkan intervensi yang digunakan untuk menilai kejadian jatuh?

Ujian kajian yang menilai intervensi yang direka untuk mengurangkan kejadian jatuh dalam kalangan warga emas dikelompokkan mengikut jenis intervensi, berpandukan sistem klasifikasi (taksonomi) pencegahan jatuh yang dibangunkan oleh Prevention of Falls Network Europe (ProFaNE).

Intervensi diklasifikasikan sebagai tunggal, multifaktorial, atau pelbagai, seperti berikut.

  • Intervensi tunggal: satu kategori intervensi diberikan kepada semua peserta dalam kumpulan tersebut. Kategori termasuk senaman, intervensi yang bertujuan menambah baik preskripsi ubat (pengoptimuman ubat), persekitaran/teknologi bantuan, pendidikan, dan perubahan model perkhidmatan (iaitu perubahan dalam cara hospital memberikan penjagaan kepada pesakit dengan matlamat untuk mengurangkan kejadian jatuh). Intervensi yang direka untuk memberikan pendidikan mengenai kejadian jatuh dan pencegahan kejadian jatuh kepada kakitangan dan/atau pesakit atau ahli keluarga dikelompokkan bersama.

  • Intervensi multifaktorial: dua atau lebih kategori intervensi diberikan berdasarkan penilaian faktor risiko seseorang untuk jatuh. 

  • Intervensi pelbagai: gabungan intervensi yang sama diberikan kepada semua peserta.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui intervensi yang dapat mengurangkan kejadian jatuh dalam kalangan warga emas di hospital dari segi kadar kejadian jatuh (bilangan sebenar kejadian jatuh dalam suatu tempoh masa) dan risiko untuk jatuh (kebarangkalian seseorang individu mengalami kejadian jatuh). Kami juga menilai kesannya terhadap risiko patah tulang, kesan sampingan yang tidak diingini, dan hasil ekonomi.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan hasil berkaitan kejadian jatuh dalam kalangan individu yang menerima intervensi pencegahan jatuh dengan hasil berkaitan kejadian jatuh dalam kalangan individu yang tidak menerima intervensi pencegahan jatuh. Kami membanding dan merumuskan keputusan-keputusan kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah-kaedah dan saiz-saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami mengenal pasti 55 kajian yang melibatkan sejumlah 104,474 peserta. Secara purata, peserta berumur 79 tahun, dan 45% ialah wanita.

  • Pendidikan (kakitangan, pesakit/keluarga dan pelbagai komponen) mungkin mengurangkan kadar kejadian jatuh dan risiko untuk jatuh.

  • Perubahan model perkhidmatan di hospital akut mungkin mengurangkan kadar kejadian jatuh. Kami tidak pasti tentang kesan perubahan model perkhidmatan terhadap risiko untuk jatuh. Tiada kajian mengenai perubahan model perkhidmatan dijalankan dalam persekitaran subakut.

  • Kami tidak pasti tentang kesan senaman terhadap kadar kejadian jatuh. Senaman mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko untuk jatuh dalam persekitaran hospital secara keseluruhan.

  • Kami tidak pasti tentang kesan pengoptimuman ubat terhadap kejadian jatuh.

  • Intervensi multifaktorial mungkin mengurangkan kadar kejadian jatuh dan risiko untuk jatuh, walaupun terdapat juga kemungkinan bahawa intervensi ini tidak memberi kesan atau sedikit meningkatkan kejadian jatuh.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami mempunyai keyakinan sederhana hingga sangat rendah terhadap bukti yang diperoleh. Keyakinan kami adalah terhad kerana peserta dalam kebanyakan ujian klinikal mengetahui rawatan yang mereka terima, dan tidak semua kajian menyediakan maklumat tentang semua perkara yang kami ingin nilai. Selain itu, terdapat masalah dalam cara data dikumpulkan dalam sesetengah kajian.

Adakah bukti ini yang terkini?

Ulasan ini adalah kemas kini daripada versi terdahulu yang diterbitkan pada 2010, 2012, dan 2018. Bukti yang tersedia adalah terkini sehingga 28 Oktober 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Sayed Musyarraf bin Sayed Ruslan (Klinik Pergigian Parit). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
McLennan C, Dyer SM, Kwok WS, Suen J, Marin TS, Haley M, Murray GR, Sutcliffe K, Kneale D, Sherrington C, Cameron ID. Interventions for preventing falls in older people in hospitals. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 5. Art. No.: CD016065. DOI: 10.1002/14651858.CD016065.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan