Apakah matlamat ulasan ini?
Laluan klinikal (clinical pathways, CPW) ialah alat berasaskan dokumen yang menyediakan kaitan antara bukti tersedia dan amalan klinikal yang terbaik. Mereka menyediakan cadangan, proses dan jangka masa untuk pengurusan keadaan perubatan atau intervensi tertentu. Kemas kini ulasan ini bertujuan untuk meringkaskan bukti dan menilai kesan laluan klinikal terhadap hasil pesakit (kematian di hospital, kematian (sehingga 6 bulan), komplikasi di hospital, dan kemasukan semula hospital (sehingga 6 bulan)), tempoh penginapan hospital, kos dan caj hospital, serta amalan profesional (iaitu profesional penjagaan kesihatan mengikuti amalan yanf disyorkan), berbanding kepada penjagaan hospital yang biasa. Selain itu, kami mengenal pasti dan membandingkan strategi pelaksanaan yang berbeza. Kami menyertakan pesakit di hospital yang dirawat mengikut (1) cadangan CPW, atau (2) CPW yang telah dilaksanakan bersama-sama dengan intervensi yang lain, seperti pengurus kes atau inisiatif peningkatan kualiti. Kami menganalisis 58 kajian (24,841 pesakit dan 2027 profesional penjagaan kesihatan), di mana 27 telah disertakan dalam ulasan diterbitkan sebelum ini (Rotter 2010) dan 31 tealh diambil untuk kemas kini ini. Ini adalah kemas kini pertama ulasan sebelumnya.
Mesej utama
CPW mungkin mempunyai potensi untuk menambahbaikan hasil pesakit, dan mengurangkan tempoh penginapan hospital, kos hospital dan memperbaiki kepatuhan kepada amalan yang disyorkan. Walau bagaimanapun, kami memerlukan lebih banyak kajian berkualiti tinggi yang melaporkan tentang strategi pelaksanaan yang digunakan semasa pembangunan dan pelaksanaan laluan klinikal.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Pengambilan keputusan di hospital telah berkembang daripada berasaskan pendapat kepada berdasarkan bukti saintifik yang kukuh (seperti amalan berasaskan bukti). Hospital menggabungkan bukti ke dalam laluan klinikal supaya diikuti oleh profesional kesihatan. Laluan-laluan klinikal telah dilaksanakan di seluruh dunia tetapi bukti tentang kesannya daripada percubaan tunggal adalah bercanggah. Penerbitan bukti baharu yang berterusan digabung dengan permintaan amalan harian menjadikan sukar bagi para profesional kesihatan untuk mengikuti perkembangan terkini.
Reka bentuk kajian yang disertakan ialah kajian rawak individu dan kelompok, kajian bukan rawak, kajian sebelum-selepas terkawal (CBA), dan kajian siri masa yang terganggu (ITS). Dalam kajian rawak individu, peserta kajian telah diperuntukkan kepada kumpulan CPW atau penjagaan biasa secara kebetulan, dipanggil pengagihan secara rawak. Kajian rawak kelompok membahagikan semua peserta kajian kepada kumpulan kecil dikenali sebagai kelompok. Kelompok ini kemudiannya diperuntukkan secara rawak kepada kumpulan CPW atau kumpulan penjagaan biasa. Untuk kajian bukan rawak, peserta telah diperuntukkan kepada kumpulan berbeza oleh penyiasat secara kuasi rawak. Pengagihan secara kuasi rawak bermakna peserta kajian diperuntukkan kepada kumpulan CPW atau penjagaan biasa berdasarkan kriteria seperti tarikh kelahiran atau hari dalam seminggu. Kajian CBA adalah kajian eksperimen tanpa proses pengagihan secara rawak atau kuasi rawak. Data dikumpulkan daripada CPW dan kumpulan penjagaan biasa sebelum CPW dilaksanakan, dan kemudian data lanjut dikumpulkan selepas CPW diperkenalkan. Kajian ITS mewakili kaedah yang teguh untuk mengukur kesan CPW sebagai trend dari semasa ke semasa.
Semua kajian yang disertakan menguji kesan laluan klinikal yang digunakan di hospital pada satu atau lebih hasil yang telah ditetapkan: kematian di hospital, kematian (sehingga 6 bulan), komplikasi di hospital, kemasukan semula hospital (sehingga 6 bulan), tempoh penginapan hospital, kos dan caj hospital, serta kepatuhan terhadap amalan yang disyorkan. Kajian menumpu perhatian kepada perubahan dalam ukuran hasil berikutan pelaksanaan laluan klinikal bersendirian atau laluan klinikal pelbagai rupa digabungkan dengan intervensi lain dibandingkan dengan penjagaan biasa.
Apakah keputusan utama ulasan?
Kami menjumpai 58 kajian yang mengukur kesan laluan klinikal pada hasil yang disertakan. Keputusan utama ialah, berbanding dengan penjagaan biasa, ia adalah tidak pasti jika pelaksanaan laluan klinikal bersendirian mempunyai sebarang kesan atas kematian di hospital serta kematian (sehingga 6 bulan) (kepastian rendah). CPW bersendirian berkemungkinan dapat mengurangkan komplikasi di hospital (kepastian sederhana) tetapi sangat tidak pasti jika ia menyebabkan sebarang perbezaan terhadap kemasukan semula hospital (sehingga 6 bulan) (kepastian yang sangat rendah). CPW bersendirian berkemungkinan mengurangkan tempoh tinggal di hospital (kepastian sederhana). Kos dan caj kebanyakan lebih rendah dalam CPW dalam sembilan daripada sepuluh kajian yang disertakan dalam perbandingan ini (kepastian yang sangat rendah). CPW bersendirian juga dapat meningkatkan sedikit kepatuhan kepada amalan yang disyorkan (kepastian rendah).
Jika laluan klinikal pelbagai rupa dibandingkan dengan penjagaan biasa, ia adalah tidak pasti sama ada terdapat pengurangan dalam kematian di hospital (kepastian rendah) dan ia boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap kematian (sehingga 6 bulan) (kepastian rendah). Ia tidak pasti sama ada CPW yang digabungkan dengan intervensi lain mengurangkan komplikasi dalam hospital (kepastian rendah) atau kemasukan semula hospital (sehingga 6 bulan) (kepastian rendah). Ia juga tidak pasti sama ada CPW yang digabungkan dengan intervensi lain mengurangkan tempoh tinggal di hospital (kepastian rendah), kos dan caj hospital (kepastian sangat rendah), dan kepatuhan kepada amalan yang disyorkan (kepastian rendah), berbanding dengan penjagaan biasa.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini pencarian kajian baharu sehingga 26 Julai 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.