Langkau ke kandungan utama

Apakah faedah dan risiko apabila ubat selesema dan alergi biasa (dekongestan atau antihistamin) digunakan untuk merawat kanak-kanak dengan jangkitan telinga tengah akut?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Kadang-kadang, ubat dekongestan atau antihistamin diberikan kepada kanak-kanak dengan jangkitan telinga tengah akut (otitis media akut).

  • Tidak jelas sama ada dekongestan atau antihistamin adalah rawatan yang berkesan atau mempunyai kesan sampingan yang tidak diingini apabila digunakan untuk merawat jangkitan otitis media akut.

  • Oleh sebab bukti yang sedia adalah sangat tidak pasti, kajian berskala besar berkemungkinan tidak berbaloi.

Apakah jangkitan otitis media akut?

Otitis media akut (AOM) adalah jangkitan bakteria pada bahagian telinga tengah. Ia adalah jangkitan bakteria yang paling kerap dalam kalangan kanak-kanak dan merupakan sebab utama antibiotik diberikan sebagai rawatan kepada kanak-kanak di seluruh dunia. Jangkitan biasanya terjadi semasa atau selepas selesema biasa. Gejala termasuk sakit telinga secara tiba-tiba, demam, kerengsaan/ tak selesa, dan kadang-kadang bendalir keluar dari saluran telinga. Cecair kadang-kadang terkumpul di bahagian tengah telinga selepas jangkitan, yang boleh merosakkan/ menghalang pendengaran.

Bagaimanakah jangkitan telinga tengah akut dirawat?

Secara tradisinya, AOM dirawat dengan penggunaan antibiotik. Walau bagaimanapun, jangkitan boleh sembuh tanpa sebarang rawatan, dan komplikasi (seperti jangkitan merebak ke tengkorak atau otak) jarang berlaku. Kebanyakan garis panduan untuk rawatan pada masa kini mengesyorkan pemerhatian berterusan semasa jangkitan berlaku tanpa sebarang penggunaan ubatan, yang bermakna tidak memberikan antibiotik dengan segera tetapi menunggu untuk melihat apakah keadaan menjadi lebih teruk atau tidak menunjukkan apa-apa perubahan dalam dua atau tiga hari. Kanak-kanak yang mengalami kesakitan dan demam sering diberi ubat penahan sakit seperti paracetamol atau ibuprofen. Beberapa penyelidik telah mencadangkan bahawa ubat tanpa preskripsi yang lain seperti dekongestan dan antihistamin mungkin dapat membantu merawat jangkitan AOM dengan mengurangkan keradangan pada bahagian tengah telinga yang disebabkan oleh jangkitan. Dekongestan biasanya digunakan untuk merawat hidung yang tersumbat, dan antihistamin biasanya digunakan untuk melegakan gejala-gejala alahan. Ubat-ubatan ini boleh didapati dalam bentuk tablet, sirap, dan semburan hidung.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan dekongestan dan antihistamin, samada satu ubat sahaja atau secara kombinasi, berkesan sebagai rawatan bagi jangkitan AOM dalam kalangan kanak-kanak untuk:

  • penyembuhan dari jangkitan AOM;

  • kesakitan pada bahagian telinga;

  • bilangan komplikasi akibat jangkitan; dan

  • kehadiran cecair pada bahagian tengah telinga selepas jangkitan.

Kami juga ingin mengetahui sama ada dekongestan atau antihistamin dikaitkan dengan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang membandingkan kesan rawatan dekongestan dan antihistamin dalam kalangan kanak-kanak dengan AOM. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut, dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami telah menilai 15 kajian yang melibatkan 3066 peserta dalam ulasan kami. Daripada 12 kajian yang kami nilai, kanak-kanak yang terlibat berumur tiga bulan hingga 15 tahun. Beberapa orang dewasa telah terlibat dalam satu kajian yang lain, dan satu kajian lagi mungkin melibatkan kanak-kanak berusia 18 tahun. Kajian ini dijalankan antara tahun 1965 dan 2003 dan berlangsung dalam jangka masa satu hingga lima tahun. Beberapa kajian tidak melaporkan tempoh kajian dijalankan. Kajian-kajian ini dilakukan di Amerika Syarikat, Denmark, Kanada, dan UK. Lapan kajian membandingkan dekongestan atau antihistamin dalam bentuk tablet atau sirap dengan rawatan plasebo (dummy) atau tiada rawatan langsung. Kami menganggap ini sebagai perbandingan utama ulasan kami. Tiada kajian yang menyiasat dekongestan dalam bentuk semburan hidung atau antihistamin. Dalam 12 kajian, kanak-kanak dalam kedua-dua kumpulan juga menerima ubat antibiotik.

Tidak jelas jika dekongestan dikaitkan dengan lebih banyak kesan sampingan yang tidak diingini atau mempunyai kesan pada sakit telinga atau kehadiran cecair telinga tengah selepas jangkitan. Kami tidak menemui sebarang kajian untuk membantu kami menjawab sama ada dekongestan mempunyai kesan terhadap penyembuhan dari jangkitan AOM. Dekongestan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko komplikasi yang teruk.

Tidak jelas jika antihistamin mempercepatkan penyembuhan dari jangkitan telinga AOM, atau dikaitkan dengan kesan sampingan yang tidak diingini, atau mengurangkan sakit pada bahagian telinga. Antihistamin mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko komplikasi yang teruk atau risiko kehadiran cecair telinga pada bahagian tengah telinga selepas jangkitan.

Tidak ada kajian yang masih berjalan yang menyiasat soalan ini.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami tidak yakin dengan bukti mengenai faedah dan bahaya dekongestan dan antihistamin sebagai rawatan tambahan untuk jangkitan AOM kepada kanak-kanak. Saiz kajian-kajian pada umumnya terlalu kecil dan kajian menggunakan kaedah yang mungkin mempunyai kesilapan dalam pengukuran hasilnya, contohnya seperti kanak-kanak atau penilai mengetahui ubat-ubatan yang diterima oleh peserta kajian.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini hingga 19 Februari 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Darlison P, Moresco L, Nussbaumer-Streit B, Bruschettini M, Gisselsson-Solen M, supported by Cochrane Sweden and Cochrane Austria. Decongestants and antihistamines for acute otitis media in children. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 11. Art. No.: CD015839. DOI: 10.1002/14651858.CD015839.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan