Mesej utama
– Kami tidak tahu sejauh mana keberkesanan pembersihan telinga untuk orang dengan keradangan dan jangkitan telinga tengah (dipanggil otitis media bernanah kronik), dan sama ada ianya menyebabkan kesan-kesan tidak diingini .
– Kami sangat tidak pasti tentang bukti dalam hanya beberapa kajian mengenai topik ini. Kesan tidak diingini tidak dilaporkan dengan baik dalam kajian-kajian yang kami temui. Kami memerlukan penyelidik untuk melakukan kajian yang membandingkan pembersihan telinga dengan tanpa pembersihan, dan membandingkan teknik dan frekuensi pembersihan yang berbeza, supaya kami dapat menilai manfaat dan risiko pembersihan telinga bagi orang dengan otitis media bernanah kronik.
Apakah itu otitis media bernanah kronik ?
Otitis media bernanah kronik, juga dikenali sebagai otitis media kronik, ialah keradangan dan jangkitan pada telinga tengah yang dihidapi selama dua minggu atau lebih. Orang dengan otitis media bernanah kronik biasanya mengalami discaj dari telinga yang berulang atau berterusan (nanah yang keluar dari lubang di gegendang telinga) dan hilang pendengaran.
Bagaimanakah otitis media bernanah kronik boleh dirawat?
Terdapat beberapa pendekatan untuk membersihkan telinga yang terlibat dan membuang discaj. Ini termasuklah:
– menggunakan bulu kapas atau kertas tisu (dikenali sebagai pengelapan kering);
– menyedut keluar nanah dan cecair yang menghalang telinga dengan satu alat kecil (biasanya dilakukan di bawah mikroskop); atau
– mencuci telinga (dikenali sebagai pengairan).
Apakah matlamat ulasan ini?
Kami ingin mengetahui keberkesanan pembersihan telinga dalam merawat orang dengan otitis media bernanah kronik, dan sama ada ianya menyebabkan kesan-kesan tidak diingini. Khususnya, kami ingin mengetahui sama ada pembersihan telinga dapat menghentikan discaj telinga, dan adakah ianya mempengaruhi kualiti hidup atau pendengaran. Kami juga ingin mengetahui sama ada ianya menyebabkan kesakitan, ketidakselesaan atau kerengsaan dalam telinga; kesan tidak diingini seperti pening atau pendarahan telinga; atau sebarang komplikasi serius. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan ketekalan keputusan.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Ini adalah kemas kini pertama bagi ulasan yang diterbitkan pada tahun 2020, yang tidak menemui sebarang kajian baharu. Keseluruhannya, kami menemui tiga kajian yang melibatkan 431 orang dengan otitis media bernanah kronik. Dua kajian melibatkan kanak-kanak sahaja, manakala kajian ketiga melibatkan kanak-kanak dan dewasa. Satu kajian merekrut orang dari Kepulauan Solomon, yang dianggap sebagai kumpulan Orang Asli berisiko tinggi. Mereka diikuti selama antara enam minggu dan enam bulan selepas rawatan.
Pengelapan kering harian berbanding tanpa rawatan
Dua kajian (351 orang) menilai perbandingan ini. Kami sangat tidak pasti jika pengelapan kering menghentikan discaj telinga selepas empat minggu, dan tiada kajian melihat kepada keberadaan discaj lebih awal. Satu kajian melaporkan komplikasi serius, tetapi ianya tidak jelas sama ada mereka yang melaporkan komplikasi tersebut telah dibersihkan telinga mereka dengan pengelapan kering atau tidak, atau sama ada komplikasi tersebut terjadi sebelum atau sesudah rawatan. Oleh itu, kami tidak tahu sama ada pengelapan kering menyebabkan komplikasi serius, atau seberapa kerap hal ini berlaku. Satu kajian menilai pendengaran, tetapi tidak melaporkan keputusannya dengan cara yang dapat memberitahu kami sama ada pengelapan kering menjejaskan pendengaran atau tidak. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan kualiti hidup, kesakitan telinga, atau risiko seperti pening atau masalah keseimbangan.
Penyedutan harian dibandingkan dengan satu kali sedutan sahaja, kedua-duanya tambahan kepada titisan antibiotik telinga
Satu kajian (80 orang) menilai perbandingan ini. Kami tidak tahu sama ada sedutan harian menghentikan discaj telinga antara satu dan dua minggu dibandingkan dengan satu kali sedutan ditambah antibiotik. Keputusan untuk discaj selepas empat minggu tidak dapat ditafsirkan. Penulis hanya melaporkan bahawa tiada perbezaan antara kedua-dua kumpulan dalam keputusan pendengaran. Satu kajian menyatakan satu orang mengalami pening dalam kumpulan satu sedutan ditambah antibiotik, yang penulis kaitkan dengan penggunaan antibiotik sejuk. Kajian tidak melaporkan kualiti hidup atau kesakitan telinga.
Apakah batasan bukti?
Batasan ulasan termasuklah kekurangan bukti yang berkualiti baik, dan maklumat terhad tentang kumpulan populasi atau rawatan.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Jun 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).