Mesej utama
- Bilangan hernia yang kembali (berulang) adalah serupa selepas pembedahan terbuka dan laparoskopi (lubang kunci) pada kanak-kanak.
- Kanak-kanak yang pernah menjalani pembedahan lubang kunci mempunyai masalah ringan (contohnya penyembuhan luka yang terjejas atau bengkak) selepas pembedahan berbanding dengan kanak-kanak yang menjalani pembedahan terbuka.
Apakah hernia inguinal?
Hernia inguinal ialah benjolan atau bengkak di bahagian lipatan paha (antara perut dan paha) yang disebabkan oleh tisu yang menolak melalui titik lemah pada otot. Gejala mungkin satu benjolan pada bahagian lipatan paha, perut yang penuh, dan muntah. Sekitar 6.6% kanak-kanak lelaki dan 0.7% perempuan terjejas oleh hernia inguinal antara kelahiran dan umur 15 tahun. Ia adalah salah satu daripada keadaan yang paling biasa yang memerlukan rawatan pembedahan pada kanak-kanak. Organ-organ di dalam perut (contohnya usus) boleh prolaps ke dalam hernia dan berisiko terperangkap (dikenali sebagai ‘penginkarseratan’) yang seterusnya menyebabkan organ-organ tersebut tercekik. Kadar penginkarseratan pada bayi dan kanak-kanak dengan hernia inguinal adalah sekitar 12%. Oleh itu, apabila hernia didiagnosis, pembaikan disyorkan untuk semua kes.
Apakah pilihan rawatan yang ada?
Doktor boleh merawat hernia sama ada secara pembedahan laparoskopi (pembedahan lubang kunci dengan kamera dan peralatan kecil melalui potongan kecil di bahagian perut) atau pembedahan terbuka (satu potongan kecil pada lipatan paha). Kedua-duanya bertujuan untuk menutup bukaan hernia dan menghentikannya daripada kembali.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada satu kaedah pembedahan adalah lebih baik daripada yang lain untuk mencegah hernia daripada berulang, mengurangkan masalah semasa atau selepas pembedahan, dan mengurangkan sakit selepas pembedahan.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan lubang kunci dan pembedahan hernia terbuka pada kanak-kanak. Kami hanya menyertakan kajian di mana kanak-kanak ditugaskan secara rawak untuk satu jenis pembedahan atau yang lain. Kami telah melihat kekerapan hernia kembali, sama ada terdapat sebarang masalah semasa atau selepas pembedahan, berapa banyak sakit yang dialami oleh kanak-kanak, dan berapa lama mereka dipantau selepas pembedahan.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 12 kajian yang membandingkan pembedahan hernia lubang kunci dan pembedahan hernia terbuka pada 1247 kanak-kanak. Keputusan telah menunjukkan bahawa kedua-dua jenis pembedahan mempunyai kadar hernia berulang, iaitu hernia yang kembali. Walau bagaimanapun, kami tidak begitu yakin bahawa ini menggambarkan realiti dengan baik, kerana hanya terdapat beberapa pengulangan dalam kedua-dua kumpulan. Tiada kecederaan serius semasa pembedahan telah dilaporkan, dan tiada kanak-kanak yang perlu bertukar daripada pembedahan lubang kunci kepada pembedahan terbuka (tetapi kami juga tidak yakin terhadap keputusan tersebut disebabkan tiada peristiwa-peristiwa yang boleh dikira). Kanak-kanak yang telah menjalani pembedahan lubang kunci mempunyai masalah ringan yang kurang (contohnya penyembuhan luka yang terjejas atau bengkak) berbanding dengan mereka yang menjalani pembedahan terbuka. Kami menemui tiada perbezaan yang jelas dalam sakit jangka pendek antara dua kaedah (tetapi keyakinan kami terhadap penemuan ini sangat rendah). Tiada kajian yang melihat kepada sakit jangka panjang.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Sesetengah kajian tidak melaporkan dengan jelas bagaimana kanak-kanak dipilih atau disusuli. Sakit dan komplikasi tidak selalunya diukur dengan cara yang sama. Kebanyakan kajian mempunyai masa susulan yang pendek, dan tiada kajian yang telah melaporkan sakit yang berlarutan lebih daripada beberapa minggu. Secara keseluruhan, tidak banyak kajian yang wujud yang membandingkan lubang kunci dan pembedahan hernia terbuka pada kanak-kanak. Oleh itu, kajian tambahan diperlukan untuk membuat kesimpulan yang lebih boleh dipercayai.
Apakah yang ingin dimaksudkan?
Kedua-dua pembedahan lubang kunci dan terbuka boleh serupa dari segi manfaat dan risiko peristiwa-peristiwa yang memudaratkan untuk merawat hernia inguinal pada kanak-kanak. Pembedahan lubang kunci boleh menyebabkan lebih sedikit masalah kecil selepas pembedahan. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk membantu kita memahami kesan jangka panjang dan bagaimana kedua-dua kaedah tersebut dibandingkan dari semasa ke semasa.
Adakah bukti ini yang terkini?
Pencarian terbaru telah dijalankan pada Jun 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.