Langkau ke kandungan utama

Penapis-penapis

Evidence

Handbooks/Manuals

Berita

Apakah kebaikan dan kemudaratan terapi senaman untuk ketidakstabilan bahu pelbagai arah (di mana sendi bahu beralih dari kedudukan asal dalam lebih dari satu arah)?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Kebaikan dan kemudaratan terapi senaman untuk ketidakstabilan bahu pelbagai arah pada masa ini adalah tidak diketahui, memandangkan tidak ada bukti daripada kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta ditugaskan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan).

  • Kajian masa hadapan perlu terdiri daripada kajian rawak yang menilai kebaikan dan kemudaratan terapi senaman dalam kalangan orang dengan ketidakstabilan bahu pelbagai arah berbanding dengan kumpulan kawalan (sekumpulan orang yang tidak menerima rawatan, menerima plasebo (rawatan ‘dummy’ atau palsu), tiada rawatan, diletakkan dalam senarai menunggu, atau menerima rawatan biasa).

Apakah ketidakstabilan bahu pelbagai arah?

Bahu adalah sendi yang sangat mudah bergerak yang bergantung pada otot, ligamen, dan kapsul sendi (tisu lembut yang mengelilingi dan menstabilkan sendi) untuk mengekalkan kestabilan. Ketidakstabilan pelbagai arah berlaku apabila kepala tulang humerus (bola sendi bahu) bergerak secara berlebihan dalam pelbagai arah disebabkan oleh struktur penstabil yang lemah. Ini boleh menyebabkan ketidakselesaan, kesakitan, kelonggaran, atau ketidakstabilan sendi bahu. Ketidakstabilan pelbagai arah sering dikaitkan dengan kelonggaran sendi (kelenduran sendi yang membolehkannya bergerak secara berlebihan), yang mungkin bersifat kongenital (sejak lahir) atau terbentuk melalui pergerakan berulang tangan melebihi aras kepala apabila bersukan atau melakukan aktiviti yang lain.

Apakah maksud terapi senaman ?

Terapi senaman biasanya disyorkan sebagai pilihan rawatan pertama untuk pesakit dengan ketidakstabilan pelbagai arah. Ia memberi tumpuan kepada meningkatkan kedua-dua kekuatan dan pengerahan otot rotator cuff (sejauh mana pengaktifan dan penggunaan otot-otot ini) serta otot skapula (tulang bahu besar yang berbentuk segitiga) untuk meningkatkan kestabilan bahu. Senaman boleh memasukkan latihan rintangan, latihan proprioseptif (senaman yang membantu badan mengesan kedudukan dan pergerakan sendi), dan pembetulan pergerakan skapula. Pakar percaya bahawa senaman bersasar dapat membantu mengawal pergerakan bahagian kepala tulang humerus yang berlebihan dan meningkatkan kestabilan fungsi. Namun begitu, kebaikan dan kemudaratan terapi senaman masih kurang jelas.

Apakah yang ingin diketahui?

Ulasan ini bertujuan untuk menentukan sama ada terapi senaman mengurangkan kesakitan, ketidakstabilan bahu dan meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan pesakit ketidakstabilan pelbagai arah, dan sama ada ia boleh mengakibatkan sebarang kemudaratan.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian rawak dalam kalangan individu dengan ketidakstabilan pelbagai arah, sama ada traumatik atau bukan traumatik (dengan atau tanpa kecederaan tertentu), yang menilai kebaikan dan kemudaratan terapi senaman. Kajian-kajian tersebut perlu membandingkan kumpulan individu yang menjalankan terapi senaman dengan kumpulan yang menerima intervensi plasebo atau kumpulan yang tidak menerima rawatan, jagaan biasa, atau diletakkan dalam senarai menunggu untuk rawatan. Kami merancang untuk membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian ini serta menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami tidak menemui sebarang kajian rawak terkawal yang menilai terapi senaman dalam kalangan individu dengan ketidakstabilan bahu pelbagai arah.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami tidak menemui sebarang bukti daripada kajian rawak terkawal.

Adakah bukti ini yang terkini?

Kami mencari kajian sehingga Mei 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Chua Li-Shun (IHT Rehabilitation Centre Kuala Lumpur). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Karasuyama M, Imai T, Gotoh M, Kawakami J, Ariie T, Yamamoto S. Exercise for multidirectional instability of the shoulder. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 2. Art. No.: CD015450. DOI: 10.1002/14651858.CD015450.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan