Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Bolehkah suplemen vitamin D membantu mengurangkan lawatan ke doktor atau hospital untuk kanak-kanak yang mengalami jangkitan saluran pernafasan dan paru-paru secara tiba-tiba (jangkitan pernafasan akut)?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Supplemen Vitamin D berbanding dengan plasebo (satu rawatan palsu) mungkin mengurangkan sedikit bilangan kanak-kanak kecil yang memerlukan lawatan ke doktor atau hospital untuk jangkitan paru-paru dan saluran pernafasan secara tiba-tiba (jangkitan pernafasan akut (ARI)). Mereka mungkin tidak mengubah kekerapan setiap kanak-kanak melawat doktor atau hospital. Dos vitamin D yang lebih tinggi berbanding dengan dos yang lebih rendah mungkin tidak mengurangkan berapa banyak kanak-kanak yang memerlukan lawatan ke doktor atau hospital untuk ARI dan tidak mengurangkan kekerapan setiap kanak-kanak melawat.

  • Suplemen vitamin D kelihatan selamat, menunjukkan sedikit atau tiada impak terhadap risiko mengalami tahap kalsium darah yang tinggi.

  • Kajian-kajian berkualiti tinggi membandingkan suplemen vitamin D dengan plasebo diperlukan untuk mengetahui sama ada vitamin D mencegah ARI dalam kalangan kanak-kanak kecil.

Apakah jangkitan pernafasan akut?

Jangkitan pernafasan akut adalah jangkitan tiba-tiba yang boleh menjejaskan hidung, telinga, tekak, saluran pernafasan, atau paru-paru dan adalah akibat utama penyakit dan kematian dalam kalangan kanak-kanak yang berumur kurang daripada umur lima tahun. Biasanya disebabkan oleh virus atau bakteria, ARI adalah sebab biasa untuk lawatan ke doktor atau hospital dalam kumpulan umur ini. Gejala-gejala kerap melibatkan batuk, selesema, sakit tekak, demam, atau kesukaran bernafas. Dalam kanak-kanak bawah lima tahun, gejala-gejala mungkin melibatkan pernafasan yang laju, berdehit, pemakanan yang kurang baik, muntah, atau mudah mengantuk atau kemarahan mudah yang luar biasa.

Apakah vitamin D, dan mengapakah ia penting?

Vitamin D merupakan nutrien yang paling dikenali untuk menyokong kesihatan tulang. Ia juga memainkan peranan dalam membangunkan sistem imun yang sihat (pertahanan badan terhadap jangkitan). Orang ramai mendapat vitamin D daripada matahari, sebilangan kecil makanan, makanan dengan vitamin D yang ditambah, atau daripada suplemen. Ramai wanita mengandung dan kanak-kanak kecil di seluruh dunia tidak mendapat vitamin D yang cukup disebabkan pendedahan matahari yang terhad, diet, atau faktor lain, yang mungkin meningkatkan risiko ARI dalam kalangan kanak-kanak.

Apakah yang ingin diketahui?

Ulasan ini bertujuan untuk mengetahui sama ada suplemen vitamin D semasa hamil atau zaman awal kanak-kanak:

  • mengurangkan bilangan kanak-kanak kecil yang memerlukan lawatan ke doktor atau hospital untuk ARI;

  • mengurangkan kekerapan setiap kanak-kanak yang perlu berjumpa dengan doktor atau kanak-kanak untuk ARI;

  • mengakibatkan kemudaratan dengan meningkatkan tahap kalsium dalam darah (hiperkalsemia) pada ibu-ibu mengandung atau kanak-kanak.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari untuk kajian yang telah membandingkan sama ada:

  • pemberian vitamin D berbanding dengan plasebo (satu rawatan palsu); atau

  • penggunaan dos vitamin D yang lebih tinggi berbanding dengan dos yang lebih rendah.

Kami telah membandingkan dan merumuskan penemuan dan menaksir sejauh mana keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan kualiti kaedah kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami telah menemui 107 kajian yang melibatkan 31,521 wanita mengandung dan kanak-kanak. Vitamin D diberikan semasa hamil, zaman awal kanak-kanak, atau kedua-duanya. Jumlah dan masa vitamin D adalah berbeza-beza. Ia paling kerap diberikan setiap hari, tetapi kadangkala kurang kerap, termasuk sebagai dos tunggal yang besar. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan di banyak negara. Untuk setiap peserta, tempoh kajian adalah antara satu hari hingga 18 bulan. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan di hospital, pusat jagaan harian, komuniti, atau rumah.

Apabila vitamin D dibandingkan kepada plasebo, supplementasi mungkin mengurangkan sedikit bilangan kanak-kanak yang memerlukan lawatan ke doktor atau hospital untuk ARI. Walau bagaimanapun, vitamin D tidak mengurangkan kekerapan setiap kanak-kanak berjumpa doktor atau hospital untuk ARI.

Apabila dos vitamin D yang lebih tinggi dibandingkan dengan dos yang lebih rendah, dos yang lebih tinggi mungkin tidak mengurangkan bilangan kanak-kanak yang memerlukan lawatan ke doktor atau hospital untuk ARI dan tidak mengurangkan kekerapan setiap kanak-kanak melawat.

Penambahan vitamin D nampaknya selamat. Tahap kalsium darah yang tinggi jarang berlaku, dan supplemen vitamin D mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko mengalami tahap kalsium darah yang tinggi dalam kalangan wanita mengandung dan kanak-kanak kecil.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti sama ada vitamin D mengurangkan lawatan ke doktor atau hospital untuk ARI. Keputusan berbeza-beza antara kajian, dengan sesetengahnya yang kecil dan yang lain tidak menunjukkan kesan yang jelas.

Banyak kajian adalah kecil, yang mengehadkan sejauh mana kebolehpercayaannya. Tambahan pula, perbezaan dalam dos vitamin D dan cara ARI telah diukur menjadikannya sukar untuk menggabungkan dan mentafsir keputusan merentas kajian.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti ini terkini sehingga 18 Mac 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
van Arragon M, Grant CC, Scragg RKR, Jordan VMB. Vitamin D for preventing acute respiratory infections in children up to five years of age. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 4. Art. No.: CD015111. DOI: 10.1002/14651858.CD015111.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan