Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan risiko penambahan omega-3 untuk merawat kerosakan saraf dalam kalangan orang dewasa yang mengalami diabetes?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

  • Sangat sedikit kajian klinikal yang menilai manfaat dan mudarat supplemen asid lemak omega-3 untuk merawat kerosakan saraf periferal (kerosakan terhadap saraf di luar otak dan saraf tunjang) yang berkaitan dengan diabetes.

  • Kajian yang lebih besar dan direka dengan baik diperlukan untuk memahami sama ada supplemen asid lemak omega-3 boleh mengurangkan risiko mengalami ketidakupayaan seperti kehilangan fungsi normal atau keupayaan dan gejala berkaitan dengan kerosakan saraf dalam penghidap diabetes.

  • Terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara supplemen asid lemak omega-3 dan plasebo (rawatan sulih) dalam kejadian kesan sampingan yang tidak diingini di kalangan penghidap diabetes, apabila rawatan diambil dalam tempoh enam bulan, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

Apakah polineuropati simetri distal meresap?

Polineuropati simetri distal meresap ialah gangguan saraf yang boleh berlaku pada penghidap diabetes. Ia menjejaskan saraf yang membawa sensasi dan saraf yang mengawal pergerakan otot. Gejala biasa termasuk sesemut, rasa terbakar, kebas, dan sakit di bahagian tangan dan kaki. Pesakit yang mengalami keadaan ini juga boleh mengalami kelemahan otot, kehilangan refleks, luka atau ulser pada kaki yang tidak sembuh dengan baik atau kehilangan sensasi pada tangan dan kaki, yang boleh menjejaskan koordinasi dan berjalan.

Bagaimanakah polineuropati simetri distal meresap dirawat?

Polineuropati simetri distal meresap kini dirawat dengan menguruskan gejala, seperti sakit dan mencegah kerosakan saraf selanjutnya dengan mengawal paras gula dalam darah melalui pemakanan, senaman, dan ubat diabetes. Pada masa kini, tiada rawatan yang boleh mencegah, membalikkan, atau menyembuhkan kerosakan saraf itu sendiri secara berkesan.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada supplemen oral omega-3 adalah lebih baik daripada rawatan plasebo atau tiada rawatan untuk memperbaiki ketidakupayaan dan gejala yang berkaitan dengan kerosakan saraf dalam diabetes.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian klinikal yang melihat kepada supplemen omega-3, berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan dalam penghidap diabetes dewasa dengan polineuropati simetri distal meresap. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami telah menemui dua kajian yang bila digabungkan, melibatkan 87 orang penghidap diabetes jenis 1 dan 2 yang menerima sama ada supplemen omega-3 atau rawatan plasebo selama enam bulan.

Berbanding dengan rawatan plasebo, supplemen asid lemak omega-3 yang diambil selama enam bulan mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kemerosotan neuropati periferal, gejala neuropati periferal atau kesejahteraan hidup. Walaupun bukan hasil utama ulasan ini, ada kemungkinan supplemen omega-3 mungkin meningkatkan kesihatan saraf dalam kornea (bahagian hadapan mata yang jernih) berbanding dengan supplemen plasebo. Walau bagaimanapun, penemuan tersebut adalah berdasarkan hasil daripada satu kajian klinikal kerana kajian klinikal kedua tidak mengkaji dapatan tersebut. Oleh itu kami kurang pasti sama ada penemuan tersebut boleh digeneralisasikan kepada semua penghidap diabetes atau setakat mana manfaat tersebut mungkin bermakna secara klinikal.

Supplemen asid lemak omega-3 mungkin tidak mengakibatkan lebih banyak kesan yang tidak diingini berbanding rawatan plasebo tetapi kami sangat tidak pasti tentang dapatan ini.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti disebabkan hanya dua kajian klinikal yang telah menilai manfaat dan mudarat penambahan omega-3 untuk merawat kerosakan saraf dalam penghidap diabetes dewasa, tambahan pula kedua-dua kajian hanya melibatkan bilangan pesakit yang kecil. Hanya satu daripada dua kajian yang ada merupakan penerbitan saintifik dan ia adalah satu-satunya kajian yang memberikan data tentang ukuran keberkesanan yang kami kehendaki. Bukti lanjut mungkin boleh mengubah keputusan ini.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti ini terkini sehingga Jun 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Salizawati Muhamad Salhimi (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Britten-Jones AC, Linstrom TA, Makrai E, Singh S, Busija L, MacIsaac RJ, Roberts LJ, Downie LE. Omega-3 fatty acid supplementation for distal symmetrical peripheral neuropathy in adults with diabetes mellitus. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 9. Art. No.: CD014623. DOI: 10.1002/14651858.CD014623.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan