Mesej utama
-
Orang yang mengalami lelasan kornea (calar pada lapisan pelindung luar mata yang telus) berisiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan okular.
-
Kami melakukan kemas kini ulasan yang diterbitkan sebelum ini tetapi tidak menemui bukti yang mencukupi sama ada ubat titis mata atau salap yang mengandungi antibiotik mempunyai manfaat berbanding plasebo (rawatan dummy), atau antibiotik lain untuk mencegah jangkitan mata atau mempercepatkan penyembuhan berikutan lelasan kornea.
-
Bilangan yang sama mengalami kesan ringan tidak diingini daripada antibiotik, seperti kerengsaan atau tindak balas alahan, tanpa mengira antibiotik menerima.
Apakah lelasan kornea?
Kornea ialah lapisan luar yang lutsinar dan merupakan pelindung mata. Lelasan kornea adalah calar pada kornea, biasanya disebabkan oleh trauma mekanikal, objek asing di mata, luka bakar kimia, atau kanta sentuh.
Bagaimanakah lelasan kornea dirawat?
Lelasan kornea menyebabkan kesakitan dan kerengsaan, jadi profesional penjagaan kesihatan yang merawat memberikan ubat penahan sakit untuk membantu mengurangkan kesakitan. Sesetengah juga mungkin memberi antibiotik untuk mencegah jangkitan mata.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada titisan mata atau salap antibiotik boleh mencegah jangkitan mata berikutan lelasan kornea. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini. Kami juga ingin mengetahui sama ada antibiotik mengakibat kesan tidak diingini.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari literatur perubatan untuk kajian yang menguji antibiotik bagi mencegah jangkitan mata berikutan lelasan kornea. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui empat kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta ditugaskan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan sejumlah 998 orang. Dua kajian dijalankan di United Kingdom, satu di Denmark, dan satu di Korea Selatan. Kebanyakan peserta mengalami lelasan kornea yang disebabkan oleh trauma atau berikutan penyingkiran objek asing dari mata. Kajian membandingkan titisan mata atau salap yang mengandungi antibiotik dengan antibiotik lain atau plasebo bukan antibiotik (rawatan dummy). Semua kajian telah dijalankan lebih daripada dua dekad yang lalu. Dua kajian menerima sokongan daripada syarikat farmaseutikal.
Kajian menunjukkan bukti yang sangat tidak pasti tentang sama ada antibiotik membantu mencegah jangkitan mata dalam kalangan orang dengan lelasan kornea. Dalam satu kajian, antibiotik mungkin telah meningkatkan sedikit bilangan orang yang mengalami jangkitan mata, tetapi bukti tidak cukup kuat untuk membuat kesimpulan yang kukuh. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam penyembuhan dalam masa 48 jam antara orang yang menggunakan antibiotik dan mereka yang menggunakan plasebo atau jenis antibiotik yang lain. Tiada kajian meneliti pengurangan sakit sebanyak separuh atau lebih selepas satu hari, perubahan penglihatan pada satu bulan, perubahan tahap sakit semasa hari pertama, dan sebarang masalah yang disebabkan oleh lelasan kornea semasa tempoh kajian.
Kesan tidak diingini daripada rawatan, seperti kerengsaan atau tindak balas alahan, secara amnya adalah ringan dan berlaku dalam bilangan yang sama dalam semua kumpulan rawatan. Dalam satu kajian, sekitar satu daripada tiga peserta mengalami ketidakselesaan atau kegatalan, tanpa mengira rawatan menerima.
Secara keseluruhan, keputusan menunjukkan tiada bukti berkualiti tinggi yang mencukupi untuk menyokong atau menafikan penggunaan antibiotik topikal untuk mencegah jangkitan atau meningkatkan penyembuhan kepada orang dengan lelasan kornea.
Apakah yang ingin dimaksudkan oleh bukti?
Disebabkan oleh kekurangan bukti yang kukuh, kami tidak tahu sama ada penggunaan antibiotik boleh mencegah jangkitan mata kepada orang yang mengalami lelasan kornea atau sama ada satu antibiotik lebih baik daripada yang lain untuk tujuan ini.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 28 Mac 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).




