Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah manfaat dan kemudaratan kemoterapi yang diberikan melalui arteri berbanding vena, atau melalui gabungan vena dan arteri berbanding arteri, pada pesakit retinoblastoma (kanser mata)?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

- Satu kajian yang direka bentuk dengan baik menunjukkan bahawa kemoterapi melalui arteri berbanding vena mungkin lebih baik dalam menyelamatkan mata daripada dibuang dan mungkin tidak memberi perbezaan langsung kepada terselamat. Ia boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada tumor berulang atau bilangan peristiwa tidak diingini atau memudaratkan yang serius atau sangat serius.

- Kajian lain dengan reka bentuk yang kurang baik menunjukkan bahawa kemoterapi melalui gabungan vena dan arteri berbanding arteri mungkin tidak banyak memberi perbezaan dalam menyelamatkan mata daripada dibuang atau terselamat.

- Lebih banyak kajian besar dengan reka bentuk yang baik diperlukan dan definisi hasil kajian yang jelas dan dipersetujui harus digunakan.

Apakah retinoblastoma dan bagaimana ia dirawat?

Retinoblastoma merupakan kanser mata yang paling biasa berlaku kepada kanak-kanak dan juga boleh (jarang) berlaku kepada dewasa. Bersama rawatan lain, kemoterapi yang diberikan melalui arteri atau vena adalah rawatan utama yang digunakan untuk mengecilkan tumor dan menyelamatkan mata dan penglihatan.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui manfaat dan kemudaratan kemoterapi melalui arteri berbanding vena kepada orang dengan retinoblastoma. Kami juga melihat kepada kombinasi kemoterapi melalui arteri dan vena berbanding arteri. Kami terutamanya berminat dalam kawalan tumor, menyelamatkan mata daripada dibuang, kemandirian, kanser baru yang muncul selepas kanser pertama, tumor berulang, kanser merebak ke bahagian badan yang lain, dan bilangan peristiwa tidak diingini atau memudaratkan yang serius atau sangat serius.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan rawatan ini, meringkaskan dan menilai hasilnya, dan dinilai keyakinan kami terhadap bukti.

Apakah yang ditemukan?

Kami melibatkan enam kajian: tiga membandingkan kemoterapi melalui arteri dengan pemberian melalui vena (210 peserta, 214 mata); tiga membandingkan kemoterapi melalui arteri dan vena dengan pemberian melalui arteri (599 peserta, 681 mata). Semua peserta dalam kajian-kajian tersebut adalah wanita.

Keputusan utama

Keputusan utama adalah untuk janjitemu susulan jangkamasa sederhana sehingga tiga tahun.

Kemoterapi melalui arteri berbanding melalui vena

Satu kajian menempatkan peserta secara rawak dalam kumpulan (143 peserta). Kemoterapi melalui arteri mungkin lebih baik daripada melalui vena dalam menyelamatkan mata daripada dibuang dan mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam terselamat. Ia boleh menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam tumor berulang dan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan peristiwa tidak diingini atau memudaratkan yang serius atau sangat serius.

Daripada kajian yang tidak menempatkan peserta secara rawak dalam kumpulan (2 kajian, 67 peserta), bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan kemoterapi melalui arteri berbanding melalui vena terhadap kawalan tumor (mengelakkan pembedahan pembuangan mata) atau radioterapi untuk menyasarkan tumor. Kanser baru yang muncul selepas kanser pertama tidak dilaporkan. Ia mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap penyebaran kanser ke bahagian badan yang lain, tetapi bukti sangat tidak pasti.

Kemoterapi melalui arteri dan vena berbanding melalui arteri

Kemoterapi melalui arteri dan vena berbanding pemberian melalui arteri (3 kajian, 599 peserta) mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kawalan tumor (mengelakkan pembedahan pengeluaran mata) atau radioterapi untuk menyasarkan tumor, tetapi bukti sangat tidak pasti. Ia memutuskan samada sedikit atau tiada perbezaan dalam menyelamatkan mata daripada dibuang atau terselamat. Kanser baru yang muncul selepas kanser pertama tidak dilaporkan. Kami tidak tahu tentang kesannya terhadap tumor berulang, penyebaran kanser ke bahagian badan yang lain, atau bilangan peristiwa tidak diingini atau memudaratkan yang serius atau sangat serius kerana bukti sangat tidak pasti.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kemoterapi melalui arteri berbanding melalui vena

Bagi kajian yang menempatkan peserta secara rawak ke dalam kumpulan, kami agak yakin dengan bukti untuk menyelamatkan mata daripada dibuang dan selamat. Sebab utama kami kurang yakin adalah bilangan peserta yang kecil. Kami kurang yakin dengan bukti mengenai tumor berulang dan bilangan peristiwa tidak diingini atau memudaratkan yang serius atau sangat serius kerana, selain maklumat di atas, beberapa data hilang, menjadikan keputusannya kurang boleh dipercayai.

Kami tidak yakin dengan bukti daripada kajian di mana peserta tidak diletakkan secara rawak ke dalam kumpulan; bilangan peserta juga kecil.

Kemoterapi melalui arteri dan vena berbanding melalui arteri

Kami kurang yakin dengan bukti untuk menyelamatkan mata daripada dibuang atau terselamat, kerana peserta tidak diletakkan secara rawak ke dalam kumpulan. Kami tidak yakin dengan bukti untuk hasil yang lain atas sebab yang sama. Di samping itu, kajian-kajian tersebut mentakrifkan dan melaporkan hasil secara berbeza dan terdapat masa susulan berbeza antara kumpulan.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 10 September 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Rokohl AC, Lohmann N, Reinking N, Skoetz N, Heindl LM. Intravenous chemotherapy versus intra-arterial chemotherapy for retinoblastoma. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 2. Art. No.: CD013695. DOI: 10.1002/14651858.CD013695.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan