Mesej utama
• Bagi pesakit dengan kanser payudara triple-negatif awal (TNBC) (iaitu kanser payudara berpotensi boleh diubati, peringkat 1 hingga 3), penambahan perencat PD-1 atau PD-L1 (imunoterapi) kepada kemoterapi sebelum pembedahan meningkatkan peluang untuk tidak mempunyai tanda-tanda kanser pada masa pembedahan, tempoh hidup tanpa kanser kembali aktif, dan tempoh masa dari diagnosis atau rawatan bermula sehingga kematian akibat sebarang akibat, dibandingkan kemoterapi sahaja. Walau bagaimanapun, penambahan imunoterapi berkemungkinan meningkatkan risiko kesan tidak diingini yang serius. Kualiti hidup dan kesan tidak diingini secara keseluruhan boleh jadi sama antara kedua-dua rawatan.
• Nampaknya tiada peningkatan dalam hasil survival apabila imunoterapi ditambah kepada kemoterapi selepas pembedahan.
• Kajian masa depan harus melihat bagaimana perencat PD-1 atau PD-L1 berfungsi dalam kumpulan berbeza dan memberi tumpuan kepada hasil seperti kualiti hidup semasa dan selepas rawatan.
Apakah perencat PD-1 atau PD-L1?
Perencat PD-1 dan PD-L1 ialah ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan kanser sebagai sebahagian daripada jenis terapi yang dipanggil imunoterapi. Ia berfungsi dengan membantu sistem imun bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap kanser. Sesetengah sel kanser boleh mengelak daripada disedari oleh sistem imun dengan menggunakan isyarat yang melibatkan dua protein yang dipanggil PD-1 dan PD-L1. Perencat PD-1 dan PD-L1 menyekat isyarat tersebut, menjadikannya lebih mudah untuk sistem imun mencari dan bertindak balas terhadap sel-sel kanser.
Mengapakah ini penting bagi pesakit dengan kanser payudara triple-negatif (TNBC) awal?
TNBC ialah jenis kanser payudara yang agresif yang membentuk kira-kira 12% hingga 17% daripada kes kanser payudara. Ia boleh menjadi lebih sukar untuk dirawat berbanding jenis kanser payudara yang lain. Kemoterapi, yang diberikan sebelum atau selepas pembedahan, adalah rawatan standard, dan boleh membantu meningkatkan survival. Walau bagaimanapun, sekitar 30% hingga 40% orang dengan TNBC awal masih akan mempunyai kanser yang merebak ke bahagian badan yang lain (metastasis).
Rawatan baharu sedang dikaji yang menggabungkan kemoterapi dengan perencat PD-1 atau PD-L1, yang membantu sistem imun bertindak balas terhadap kanser. Penyelidikan menunjukkan bahawa kombinasi ini boleh meningkatkan hasil rawatan. Memahami sama ada kombinasi ini selamat dan berkesan adalah penting supaya doktor dan pesakit boleh membuat keputusan termaklum tentang penjagaan.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin tahu sama ada menggabungkan perencat PD-1 atau PD-L1 dengan kemoterapi berfungsi lebih baik daripada kemoterapi sahaja untuk orang dengan TNBC awal dan sama ada ia selamat.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang dibandingkan perencat PD-1 atau PD-L1 yang digabungkan dengan kemoterapi dan kemoterapi sahaja. Kami membandingkan dan merumuskan hasil-hasil tersebut serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui tujuh kajian melibatkan 4341 pesakit. Dua kajian menggunakan perencat PD-1 (iaitu pembrolizumab) dan lima kajian menggunakan perencat PD-L1 (iaitu durvalumab, atezolizumab). Enam kajian memberikan rawatan sebelum pembedahan, dan satu kajian memberikan rawatan selepas pembedahan.
Dalam kajian yang membandingkan perencat PD-1 atau PD-L1 yang digabungkan dengan kemoterapi, dengan kemoterapi sahaja sebelum pembedahan, pesakit yang menerima terapi gabungan:
• lebih cenderung untuk tidak menunjukkan tanda-tanda kanser semasa pembedahan (kira-kira 1.5 kali ganda bilangan orang yang mengalami keputusan ini dibandingkan mereka yang menerima kemoterapi sahaja);
• hidup lebih lama tanpa kanser kembali; dan
• hidup lebih lama dari permulaan diagnosis atau rawatan, sehingga kematian akibat sebarang sebab.
Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan dalam kualiti hidup. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan dalam keseluruhan kesan tidak diingini atau kematian berkaitan rawatan. Kesan tidak diingini serius adalah lebih biasa dan berkaitan dengan imunoterapi dibandingkan kemoterapi sahaja.
Dalam satu kajian yang membandingkan perencat PD-1 atau PD-L1 yang digabungkan dengan kemoterapi dengan kemoterapi sahaja selepas pembedahan, nampaknya tiada peningkatan dalam hasil survival dalam kumpulan terapi gabungan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Walaupun kami yakin hingga sederhana yakin bahawa penambahan perencat PD-1 atau PD-L1 kepada kemoterapi sebelum pembedahan dapat meningkatkan hasil survival, kami hanya mempunyai keyakinan kecil-sederhana terhadap hasil penggunaan ubat-ubatan ini selepas pembedahan kerana bilangan pesakit dalam satu kajian disertakan adalah terlalu kecil untuk membuat kesimpulan yang kukuh, dan ada kemungkinan orang dalam kajian tersebut tahu rawatan yang mereka terima.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini setakat 6 November 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah ( Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




