Mesej utama
-
Terapi gelombang kejutan intensiti rendah mungkin boleh meningkatkan ereksi dalam jangka panjang.
-
Terapi gelombang kejutan intensiti rendah mungkin boleh meningkatkan ketegangan dan kekerasan zakar (ketegaran zakar) dalam jangka pendek.
-
Kesan sampingan yang berkaitan dengan rawatan dan pemberhentian awal rawatan disebabkan oleh kesan sampingan adalah jarang berlaku dalam jangka pendek.
Apakah disfungsi erektil?
Disfungsi erektil adalah isu biasa yang mana seorang lelaki menghadapi kesukaran untuk mengalami atau mengekalkan ereksi semasa hubungan seksual. Ianya boleh disebabkan oleh banyak perkara, seperti keadaan kesihatan yang lain, rawatan perubatan (seperti ubat-ubatan atau pembedahan pada prostat), gaya hidup yang tidak sihat (seperti merokok, pemakanan yang tidak betul dan kurang senaman), serta kemurungan dan kebimbangan.
Bagaimana disfungsi erektil dirawat?
Terdapat beberapa cara berbeza untuk merawat disfungsi erektil. Pertama, doktor mungkin mencadangkan perubahan gaya hidup, seperti lebih banyak bersenam, makan pemakanan seimbang, atau berhenti merokok. Jika ini tidak berkesan, doktor mungkin akan mencadangkan beberapa ubatan. Kadangkala, jika masalah tersebut lebih kepada perasaan atau hubungan dengan pasangan seksual, doktor mungkin mencadangkan untuk merujuk kepada ahli terapi. Terdapat rawatan-rawatan yang lain, seperti peranti, suntikan atau pembedahan. Dalam ulasan Cochrane ini, kami sedang melihat kaedah rawatan baharu menggunakan gelombang kejutan.
Apakah itu terapi gelombang kejutan?
Terapi gelombang kejutan intensiti rendah menggunakan gelombang bunyi untuk membantu aliran darah yang lebih baik ke zakar, yang boleh membantu ereksi. Ianya adalah rawatan yang mudah. Seorang doktor menggunakan alat kecil pada beberapa bahagian yang berbeza pada zakar. Rawatan itu tidak menyakitkan, dan tiada ubat diperlukan untuk mengebaskan kawasan tersebut. Rawatan mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit dan berlaku beberapa kali dalam tempoh beberapa minggu.
Istilah terapi gelombang kejutan intensiti rendah menyerlahkan sifat selamat terapi ini. Gelombang kejutan intensiti tinggi adalah kuat dan digunakan untuk memecahkan perkara seperti batu buah pinggang , tetapi gelombang intensiti rendah adalah lembut dan cukup berkesan untuk berfungsi tanpa mendatangkan bahaya.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada terapi gelombang kejutan intensiti rendah berfungsi lebih baik daripada rawatan palsu (peranti yang berpura-pura menggunakan gelombang kejutan). Kami melihat:
-
seberapa baik terapi gelombang kejutan membantu dengan ereksi;
-
sama ada orang menghentikan terapi gelombang kejutan lebih awal daripada terapi palsu;
-
jika terdapat sebarang kesan tidak diingini;
-
jika pesakit dan pasangan mereka gembira dengan hasil rawatan;
-
jika terapi gelombang kejutan menjadikan zakar lebih tegar; dan
-
jika terapi gelombang kejutan menjadikan kehidupan seksual lebih baik.
Apa yang kami lakukan?
Kami telah mencari semua kajian perubatan yang membandingkan terapi gelombang kejutan intensiti rendah dengan rawatan palsu pada lelaki yang mengalami disfungsi erektil. Kami menyemak keputusan kajian ini dan meringkaskan keputusan dan menilai keyakinan kami terhadapnya berdasarkan faktor-faktor seperti prestasi mereka.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 21 kajian dengan 1357 lelaki yang menerima sama ada terapi gelombang kejutan intensiti rendah atau rawatan palsu. Para lelaki ini berumur antara 39 dan 65 tahun dan mengalami disfungsi erektil antara 3 hingga 68 bulan.
Keputusan utama
Kami menemui bahawa dalam jangka pendek (3 bulan atau kurang), terapi gelombang kejutan intensiti rendah mungkin boleh mempunyai sedikit kesan penambahbaikan pada ereksi, tetapi kesan itu mungkin tidak cukup besar untuk disedari oleh lelaki. Dalam jangka panjang (lebih daripada 3 bulan), ianya boleh meningkatkan ereksi. Dalam jangka pendek, ianya boleh meningkatkan betapa tegar zakar menjadi. Dalam jangka masa panjang, ianya juga boleh mempunyai kesan yang kecil terhadap betapa tegarnya zakar, tetapi sekali lagi kesan ini mungkin tidak cukup besar untuk disedari oleh lelaki. Semua rawatan hanya digunakan dalam jangka pendek, tetapi beberapa keputusan dilaporkan dalam jangka panjang. Dalam kedua-dua jangka pendek dan jangka panjang, terapi gelombang kejutan intensiti rendah mungkin boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kesan sampingan daripada rawatan atau pemberhentian rawatan. Kami tidak menemui sebarang maklumat tentang kebahagiaan pesakit dan pasangan mereka dengan hasil rawatan atau tentang kehidupan seksual mereka.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap keputusan-keputusan ini, terutamanya kerana:
-
kajian tidak dilakukan dengan baik;
-
bukti-bukti tidak meliputi semua orang, rawatan atau titik akhir yang kami berminat;
-
kajian telah dilakukan ke atas lelaki yang mengalami disfungsi erektil dan menggunakan cara yang berbeza untuk menyampaikan gelombang kejutan; dan
-
keputusan adalah sangat berbeza dalam setiap kajian.
Sembilan daripada 21 kajian menerima wang daripada syarikat yang membuat peranti yang memberikan rawatan gelombang kejutan. Lima kajian mengatakan mereka tidak menerima apa-apa wang daripada industri, dan kajian-kajian lain tidak menyatakan sama ada mereka menerima apa-apa wang atau tidak.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini adalah terkini sehingga 7 Julai 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).