Mesej utama
-
Rokok elektronik nikotin (e-rokok) boleh membantu orang berhenti merokok selama sekurang-kurangnya enam bulan. Ia berfungsi lebih baik daripada terapi penggantian nikotin, dan mungkin lebih baik daripada e-rokok tanpa nikotin.
-
E-rokok mungkin berfungsi lebih baik daripada tiada sokongan, atau sokongan tingkah laku sahaja, dan mungkin tidak mempunyai kesan serius yang tidak diingini.
-
Walau bagaimanapun, kami masih memerlukan lebih banyak bukti, terutamanya tentang kesan jenis e-rokok yang lebih baharu yang mempunyai penghantaran nikotin yang lebih baik daripada jenis yang lebih lama, kerana penghantaran nikotin yang lebih baik mungkin membantu lebih ramai orang berhenti merokok.
Apakah e-rokok?
E-rokok atau 'vapes' adalah peranti pegang tangan yang berfungsi dengan memanaskan cecair yang biasanya mengandungi nikotin dan perasa. E-rokok membolehkan pengguna menghirup nikotin dalam wap dan bukannya asap. Oleh kerana ia tidak membakar tembakau, e-rokok yang dikawal selia tidak mendedahkan pengguna kepada tahap bahan kimia yang sama yang boleh menyebabkan penyakit kepada orang yang menghisap rokok konvensional.
Menggunakan e-rokok biasanya dikenali sebagai 'vaping’. Ramai orang menggunakan e-rokok untuk membantu mereka berhenti merokok tembakau. Di sini kita memberi tumpuan terutamanya kepada e-rokok yang mengandungi nikotin.
Apakah yang ingin diketahui?
Berhenti merokok menurunkan risiko banyak penyakit. Ramai orang mendapati sukar untuk berhenti merokok. Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan e-rokok dapat membantu orang berhenti merokok, dan jika orang yang menggunakannya untuk tujuan ini mengalami kesan yang tidak diingini.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang melihat kepada penggunaan e-rokok untuk berhenti merokok.
Kami khususnya ingin menilai:
· Berapa orang berhenti merokok sekurang-kurangnya enam bulan; dan
· Berapa orang mempunyai kesan yang tidak diingini, dilaporkan setelah sekurang-kurangnya satu minggu penggunaan.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 80 kajian termasuk 29,861 orang dewasa yang merokok. Sebilangan besar kajian dilakukan di Amerika Syarikat (40 kajian). Kebanyakan kajian membandingkan e-rokok nikotin dengan:
-
terapi penggantian nikotin (contohnya patch atau getah);
-
ubat-ubatan untuk membantu orang berhenti merokok (varenicline dan cytisine);
-
e-rokok tanpa nikotin;
-
tembakau yang dipanaskan (produk yang memanaskan tembakau pada suhu yang cukup tinggi untuk melepaskan wap, tanpa membakarnya atau menghasilkan asap; ini berbeza daripada e-rokok kerana memanaskan daun/lembaran tembakau);
-
kantung nikotin oral (kantung yang tidak mengandungi tembakau tetapi melepaskan nikotin apabila disimpan di dalam mulut);
-
Jenis e-rokok lain yang mengandungi nikotin (contohnya peranti pod, peranti yang lebih baru);
-
nasihat atau kaunseling (sokongan tingkah laku); atau
-
Tiada sokongan, untuk berhenti merokok.
Apakah keputusan daripada ulasan kami?
-
Lebih ramai orang berhenti merokok selama sekurang-kurangnya enam bulan dengan e-rokok berbanding terapi penggantian nikotin (11 kajian; 4114 orang);
-
Orang mungkin lebih cenderung berhenti merokok selama sekurang-kurangnya enam bulan dengan e-rokok dengan nikotin berbanding e-rokok tanpa nikotin (7 kajian, 1918 orang);
-
E-rokok nikotin mungkin membantu lebih banyak orang berhenti merokok berbanding tiada sokongan atau sokongan tingkah laku sahaja (11 kajian; 7214 orang);
-
Bagi setiap 100 orang yang menggunakan e-rokok nikotin untuk berhenti merokok, 8 hingga 10 orang mungkin berjaya berhenti, berbanding hanya 6 dari 100 orang yang menggunakan terapi penggantian nikotin, 6 daripada 100 menggunakan e-rokok tanpa nikotin, atau 5 daripada 100 orang mempunyai tiada sokongan atau sokongan tingkah laku sahaja;
-
Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara berapa banyak kesan yang tidak diingini berlaku menggunakan e-rokok nikotin berbanding terapi penggantian nikotin, tiada sokongan atau sokongan tingkah laku sahaja (walaupun kesan yang tidak diingini yang tidak serius lebih biasa berlaku pada kumpulan yang menerima e-rokok nikotin berbanding tanpa sokongan atau hanya sokongan tingkah laku);
-
Kajian yang membandingkan e-rokok nikotin dengan terapi penggantian nikotin melaporkan jumlah kesan yang tidak diingini yang rendah, termasuk kesan yang tidak diingini yang serius. Berbanding dengan e-rokok nikotin, mungkin tidak ada perbezaan dalam berapa banyak:
-
kesan yang tidak diingini yang serius berlaku pada orang yang menggunakan terapi penggantian nikotin;
-
kesan yang tidak diingini yang tidak serius berlaku pada orang yang menggunakan e-rokok bukan nikotin.
-
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
-
Kami yakin dengan bukti bahawa e-rokok nikotin membantu lebih ramai orang untuk berhenti merokok daripada terapi penggantian nikotin, tetapi kami memerlukan lebih banyak bukti mengenai e-rokok tanpa nikotin.
-
Kajian yang membandingkan e-rokok nikotin dengan tingkah laku atau tiada sokongan juga menunjukkan kadar berhenti yang lebih tinggi pada orang yang menggunakan e-rokok nikotin, tetapi kami tidak pasti sangat tentang data tersebut kerana orang dalam kajian tersebut menyedari setiap rawatan yang mereka terima.
-
Sebilangan besar keputusan kami untuk kesan yang tidak diingini boleh berubah apabila lebih banyak bukti tersedia, kerana sering terdapat beberapa kes kesan yang dilaporkan dengan keptusan yang tidak jelas.
Adakah bukti ini yang terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu, yang diterbitkan pada tahun 2025. Kami akan mengemas kini sekali lagi apabila bukti baru tersedia. Bukti dalam ulasan ini adalah terkini setakat 1 Januari 2026.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




