Mesej utama
-
Ibu yang kontak kulit-ke-kulit dengan bayi mereka pada jam pertama selepas lahir mungkin lebih cenderung untuk menyusui secara eksklusif sehingga satu bulan kemudian dan dari enam minggu hingga enam bulan kemudian.
-
Kontak kulit-ke-kulit antara ibu dan bayi yang baru lahir mungkin membantu bayi baru lahir menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar rahim dan memastikan suhu badan mereka stabil dan meningkatkan paras gula darah mereka. Ia juga boleh membantu pernafasan dan kadar degupan jantung mereka.
-
Kontak kulit-ke-kulit boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam tempoh uri dikeluarkan. Kesan terhadap kehilangan darah ibu selepas kelahiran faraj adalah tidak jelas.
Apakah isunya?
Kumpulan kesihatan global utama seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menasihatkan sejurus selepas lahir, bayi baru lahir harus diletakkan terus pada kulit ibu yang terdedah. Bayi harus berbogel dan berada di situ tanpa gangguan selama sekurang-kurangnya satu jam, sebaik-baiknya sehingga selepas penyusuan pertama . Ini dipanggil kontak kulit-ke-kulit. Walau bagaimanapun, dalam banyak persekitaran, adalah menjadi amalan lazim untuk memisahkan bayi baru lahir daripada ibu mereka, membedung atau berpakaian, atau meletakkan mereka di dalam buaian terbuka atau di bawah pemanas sinar. Kontak kulit-ke-kulit kurang lazim di negara berpendapatan rendah dan negara-negara berpendapatan sederhana rendah. Oleh kerana amalan ini boleh membantu ibu menyusu dengan jayanya, kadar kontak kulit-ke-kulit yang lebih rendah boleh menjadi salah satu sebab tahap penyusuan berbeza-beza antara negara dengan tahap pendapatan yang berbeza .
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin kembangkan pemahaman kami tentang cara kontak kulit-ke-kulit semasa lahir mempengaruhi tempoh penyusuan eksklusif serta peralihan bayi kepada kehidupan di luar rahim. Secara khusus, kami ingin tahu jika kontak kulit ke kulit lebih baik daripada kontak standard bagi memperbaik:
-
penyusuan susu ibu eksklusif;
-
suhu badan bayi;
-
paras gula darah bayi;
-
pernafasan dan kadar degupan jantung bayi ;
-
masa untuk pengeluaran uri;
-
perdarahan ibu selepas kelahiran faraj .
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak tentang kontak kulit-ke-kulit segera (bermula kurang daripada 10 minit selepas lahir) dan kontak kulit-ke-kulit awal (antara 10 minit dan 24 jam selepas lahir) dalam pangkalan data utama. Dalam kajian rawak, peserta dimasukkan secara rawak ke dalam dua atau lebih kumpulan untuk memastikan kumpulan adalah serupa. Kami ringkaskan keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap penemuan mereka berdasarkan faktor seperti saiz dan kaedah kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami temui 69 kajian dengan 7290 pasangan ibu-bayi. Kebanyakan kajian membandingkan kontak kulit ke kulit serta-merta (dalam masa 10 minit selepas lahir) dengan penjagaan hospital standard untuk wanita dengan bayi cukup bulan yang sihat. Dalam 15 kajian, wanita yang melahirkan secara caesar, dan dalam 10 kajian, bayi adalah sihat tetapi lahir pramasa (dari 34 minggu tetapi sebelum 37 minggu hamil). Tiga puluh dua kajian telah dijalankan di negara berpendapatan tinggi, 25 di negara-negara berpendapatan sederhana tinggi, dan 12 di negara-negara berpendapatan sederhana rendah, termasuk India, Nepal, Pakistan, Vietnam dan Zambia. Tiada kajian dijalankan di negara berpendapatan rendah.
Keputusan utama
Wanita dengan kontak kulit-ke-kulit segera dengan bayi baru lahir mungkin lebih cenderung untuk menyusu secara eksklusif semasa discaj hospital dan sehingga satu bulan selepas kelahiran (12 kajian, 1556 pasangan ibu-bayi) dan dari enam minggu hingga enam bulan selepas kelahiran (11 kajian, 1135 pasangan ibu-bayi).
Bayi yang mendapat kontak kulit-ke-kulit segera dengan ibu mereka mungkin mempunyai suhu badan lebih tinggi 30 minit hingga 2.5 jam selepas lahir, walaupun perbezaan adalah tidak bermakna secara klinikal (11 kajian, 1349 bayi baru lahir). Kontak kulit-ke-kulit mungkin meningkatkan tahap glukosa darah bayi (3 kajian, 144 bayi baru lahir) dan mungkin memperbaik pernafasan dan kadar degupan jantung mereka (2 kajian, 81 bayi baru lahir). Kontak kulit-ke-kulit mungkin ada sedikit atau tiada kesan terhadap masa hingga uri dikeluarkan (4 kajian, 450 wanita) atau perdarahan ibu selepas kelahiran faraj (2 kajian, 143 wanita), walaupun keputusan untuk perdarahan maternal adalah sangat tidak pasti.
Apakah batasan bukti?
Kami sederhana yakin dengan kebanyakan penemuan, kurang yakin dengan keputusan untuk pernafasan dan kadar degupan jantung dan masa uri dikeluarkan, dan tidak yakin dengan keputusan untuk perdarahan maternal. Penerangan dan definisi kontak kulit-ke-kulit , penyusuan susu ibu, intervensi lain dan kontak standard adalah tidak konsisten antara kajian-kajian. Tambahan juga, para ibu dan kakitangan mengetahui ibu mana yang menerima kontak kulit-ke-kulit, yang boleh mempengaruh keputusan. Akhirnya, kebanyakan kajian adalah kecil, dengan kurang daripada 100 wanita dan bayi baru lahir mengambil bahagian.
Adakah bukti ini mutakhir?
Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga 22 Mac 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Normi Mustapha. Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).