Bolehkah rawatan antibiotik okular menghalang jangkitan mata berikutan lelasan kornea?

Apakah matlamat ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui sama ada rawatan antibiotik okular (diberikan pada mata) boleh mencegah jangkitan mata berikutan lelasan kornea. Kami telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan telah menjumpai dua kajian.

Mesej utama

Kami tidak menemui bukti yang membandingkan antibiotik dengan plasebo (rawatan dummy) atau tiada rawatan. Kami tidak dapat mencari bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaan satu antibiotik berbanding antibiotik yang lain untuk mencegah jangkitan mata dengan lelasan kornea.

Apakah lelasan kornea?

Kornea ialah lapisan luar yang lutsinar dan merupakan pelindung mata. Lelasan kornea adalah calar pada kornea, biasanya disebabkan oleh trauma mekanikal, objek asing di mata, luka bakar kimia, atau kanta sentuh.

Bagaimanakah lelasan kornea dirawat?

Lelasan kornea menyebabkan kesakitan dan kerengsaan, jadi doktor yang merawat memberikan ubat penahan sakit untuk membantu mengurangkan kesakitan. Sesetengah doktor juga mungkin memberi antibiotik untuk mencegah jangkitan mata.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada antibiotik boleh mencegah jangkitan mata berikutan lelasan kornea.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari literatur perubatan untuk kajian yang menguji antibiotik bagi mencegah jangkitan mata berikutan lelasan kornea.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menjumpai dua kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan sejumlah 527 kanak-kanak dan orang dewasa. Satu kajian di Denmark telah menguji gel topikal kloramfenikol (sejenis antibiotik) dan asid fusidik (jenis antibiotik lain) (kekerapannya tidak dilaporkan dengan jelas). Kajian kedua menggunakan gel okular kloramfenikol (sejenis antibiotik) dan klotrimazol (sejenis ubat antikulat) atau kloramfenikol dan plasebo (semuanya tiga kali sehari) di India.

Dalam kajian Denmark, perkadaran peserta yang pulih daripada lelasan kornea dan tidak mempunyai jangkitan adalah serupa antara kumpulan. Walau bagaimanapun, kajian ini melaporkan bahawa satu pertiga daripada peserta dalam setiap kumpulan rawatan mengalami kegatalan dan ketidakselesaan mata.

Penulis kajian India melaporkan bahawa 1% peserta mengalami kesan buruk kecil seperti kerengsaan dan bengkak ringan pada kelopak mata dan permukaan mata, dan tindak balas imunologi di tapak.

Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan antibiotik dengan plasebo atau tiada rawatan.

Apakah hasil dari bukti kajian?

Disebabkan oleh kekurangan bukti yang kukuh, kami tidak tahu sama ada penggunaan antibiotik boleh mencegah jangkitan mata pada orang yang mengalami lelasan kornea atau sama ada satu antibiotik lebih baik daripada yang lain untuk tujuan ini.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti adalah terkini hingga 25 April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information